Pages

Friday, July 31, 2009

DAPUR & PROFESOR EMERITUS




DAPUR sinonim dengan perempuan, perempuan juga sinonim dengan airmata, dengan melawa, dengan rajuk dan yang aneh-aneh. Ikut perasaan pun disinonimkan dengan perempuan sejak zaman berzaman. Sejak akhir-akhir ini saya pun terfikir; betulkah perempuan bergitu? Dan, jawapan itu akhirnya saya perolehi semalam; selepas menyelesaikan 'BENGKEL PENULISAN AKADEMIK' di DBP. Bermula 27-30 Julai 2009.
Jawapan itu tentunya berinspirasikan pemudahcara kami; Prof Emeritus Dato Asmah Haji Omar. Wah ... seorang perempuan yang berpengetahuan ke awan-awan atau ke langit. Ketika ini saya mahu sahaja mengatakan kepada pembuat istilah itu bahawa perempuan sudah jauh meninggalkan kesinoniman yang mereka bikin itu. Buktinya Saya dapati dan mengakui dengan jujur; sehingga 27/07 itu saya belum menemui individu yang begitu tajam pemikirannya sebagaimana beliau. Tak kira lelaki perempuan. Mungkin sahaja kerana saya tidak banyak bercampur. Itu mungkin silap saya tetapi apabila berbicara dengan Yang Berbagaia Prof, saya rasakan saya seperti muda dua puluh tahun. Rasa ingin membuat itu ini tanpa sedar usia sudah menuju rumah akhir kehidupan.
Saya terfikir-fikir; apakah (jika saya diberi rezeki usia) saya akan masih sekuat Yang Berbahagia Prof ketika usia merapati pagar tujuh puluh? Beliau masih mengingat perkara, subjek dan pengalaman dengan baik. Boleh mengajar dengan tenaga yang penuh. Menghibur dan sepanjang empat hari, saya benar-benar terajar. Kebalikannya saya terfikir; apakah yang telah para guru sebelum ini ajar? (Termasuk mencadangkan buku rujukan @ bercerita sesuatu yang boleh dijadikan iktibar).
Derhaka bunyinya. Tetapi, itulah yang saya dapati. Banyaknya yang tak terhadir ke ruang fikir selama ini. Saya kembalikan ke zaman pembelajaran; ternyata banyak yang Prof berikan dalam masa empat hari ini berbanding pembelajaran saya selama berpuluh tahun ini. Mengapa ya? Adakah saya tidak bertemu guru-guru yang tepat atau kejahilan sendiri? Guraunya penuh sedar, manis dan tak keterlaluan. Sesuai dengan salah satu topik diajar; 'kesantunan'. Dan, begitulah santunnya Prof mengajar hatta bergurau. Barangkali ada yang mengatakan saya keterlaluan. Tetapi, ini persepsi saya. Saya cuma menatap gambar beliau di blurb-blurb buku atau di surat khabar.
Saya, pelajar yang tak diundang. Datang sesudah majlis bermula setengah hari. Dan, yang anehnya Prof boleh mengingat nama peserta dengan pantas. Diam-diam saya malu kepada diri sendiri justeru saya sangat sukar mengingat nama pelajar sendiri. Malah sampai tahun akhirpun, kadang-kadang saya masih tidak hafal lebih-lebih lagi jika pelajar yang pasif di kelas. Beliau mengendalikan kuliah 'Penulisan Akademik' itu benar-benar seorang yang berpengetahuan. Beliau bukan hanya mengajar menulis sebaliknya pelbagai perkara.
Saya harap akan berpeluang menulisnya di sini suatu hari, apa yang telah diajarkan. Moga dapat dimanfaatkan kepada ramai. Insya-Allah.

Friday, July 24, 2009

HARI INTERKASI PELAJAR BARU & PELAJAR OHIO UNIVERSITI










Bukan mudah menjadikan impian satu kenyataan. Apalagi mengumpulkan pelajar dari tahun pertama hingga tahun terakhir. Masing-masing dengan aktiviti. Ada yang begitu, yang begini. Macam-macam alasan untuk tidak datang kecuali pelajar tahun pertama yang diwajibkan sebab untuk dikenalkan dengan kakak & abang senior. Namun malam 22 Julai 2009 itu, semuanya berjalan lancar. Pelajar ramai yang datang malah lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini.
Setelah tujuh tahun menjadi penasihat pelajar, saya dapati tahun ini; penyertaan paling bagus. Pelajar bersemangat. Ada persembahan dari mereka. Pelajar-pelajar India mempersembahkan tarian mereka. Pelajar Melayu mempersembahan tarian Zapin tetapi itupun dari kami pinjam dari Pusat Kebudayaan. Alhamdulillah nampak terpesona juga pelajar dari Ohio. Seorang pelajar dari Ohio Universiti (Reyn) menyanyi rap.
Apapun, nampaklah yang persembahan Zapin itu sangat berbeza dengan budaya orang puteh. Lembut dan indah. Berbudayanya kita, berbahasanya kita. Beradab, bersopan, bersantun. Memang peluang begini amat langka berlaku tetapi tidak semestinya terbaik memandangkan batas geo yang memisahkan pelajar-pelajar ini.








Thursday, July 16, 2009

SUNGAI PAHANG & KENDURI KAHWIN 'KAKNEK'



Bersama Wan & Sem (nama yang saya panggil kepada Samsiah Mat Nor), kami bertolak dari KL ketika jam sudah melewati angka 10pagi. Sabtu 11 Julai 2009 penuh gelak ketawa. Mahu tidaknya, tiga kawan yang sukar untuk bertemu tiba-tiba dapat bersama dalam satu kereta ke Temerloh. Chenor lebih tepatnya. Dan lagi, dapat makan gulai kenduri. Saya memang suka gulai kawah. Sebabnya, jarang dapat makan gulai kawah.

Rumah pengantin dekat sungai Pahang. Betul-betul mengadap sungai besar itu. Sewaktu sampai dan nak balik, sempat bergambar-gambar depan sungai yang luas itu. Paling menarik, ada rumah rakit yang jauh ke tepian sebelah seberang. Indah di hati dan di mata. Barangkali kerana saya tidak pernah rasa berumah di rakit justeru kami ini orang kampung (bukan orang sungai). Rasa ingin bawa komputer, duduk tepi sungai dan menulis di situ. Kalaulah dapat, alangkah bahagianya (rasa berkelana tanpa sedar hari itu, hanya datang berkenduri).

Kenduri itu lauknya; gulai kawah, ayam goreng, sambal kelapa, dalca, dan paling istimewa umbuk kelapa masak lemak putih. Fuhhh ... seumur hidup saya belum pernah merasai umbuk kelapa masak lemak (walaupun saya bukan orang bandar) sedapnya mak tuan! Atau mungkin yang sedap itu kerana peluh anak baranak sekampung yang pakat-pakat memasak untuk para tamu. Bukan guna khidmat katering yang serba mudah. Suka sangat tengok bangsal penanggah. Suka sangat tengok gulai dihidang dengan cara sederhana tanpa meja vip, vvip, so and so. Semua orang sama. Memasuki perkarangan rumah tak perlu tunjuk kad jemputan dengan pakaian bertema itu atau ini, tak perlu dengar ucapan alu-aluan atau duduk dengan tertib etika, di meja bernapkin dan bersudu garfu. Ah, bebasnya hari itu. Makan gulai kenduri bawah kemah yang berlantaikan pasir.

Pengantin melayan tamu dengan ramah, dengan senyum yang tidak lepas dari bibir. Ada semacam 'energy' luar bisa di mukanya atau mungkin juga itulah 'rahmat' dan 'hikmah' Allah yang saya belajar pada hari itu. Masya-Allah! Sesungguh itu rezeki saya untuk hari Sabtu itu. Alhamdulillah. Saya bahagia pada hari itu.
Kak Nek, itu kakak angkat Sem semenjak puluhan tahun. Waktu itu, menurut Sem dia menyertai 'bakti siswa'. Tahun 80-an kalau tak silap. Jadi, sepanjang jalan Sem bercerita tentang kaka angkatnya itu. Katanya kak nek sangat taat kepada gemulah emaknya (hari kenduri itu bersamaan bulan ke enam emaknya meninggal) kerana menjaga emaknya sampai akhir hayat, baik hati dan paling mustahak kata Sem, dia suka kak nek. Saya pula pernah sekali menemani Sem, melawat gemulah emak kak nek di PPUM kira-kira enam bulan sebelum kematian itu. Sekali, cuma sekali tetapi saya terkejut; kak nek boleh ingat saya (dalam majlis perkahwinannya - yang pada kebiasaannya orang sibuk, lupa segala tapi kak nek masih sempat ingat saya ... masya-Allah hebatnya ingatan kak nek).
Cerita Sem, dari kak nek itulah dia mendapat ilham menulis Sejernih Lazuardi (kalau tak silap saya) sebabnya tentulah kerana keluhuran budi kak nek (kata hati saya). PAda hari itu, saya terpana oleh kekaguman. Dalam usia lima puluhan, kak nek baru dipertemukan dengan seorang insan yang akhirnya meminang dan menikahinya. Suaminya baru sahaja pencen, kata Sem. Saya sempat menjeling suaminya yang ikut beramah-tamah dengan tetamu.
Akhirnya sesi berangkat balik pun tiba. Kami sekali lagi diharukan oleh rangkulan mersa kaknek (orang kampung yang berbudi & sangat sederhana). Ada lauk pauk dibekalkan untuk kami bertiga. Empat biji durian kampung yang cukup untuk mewarnai chevrollate merah Sem selepas kami bergambar-gambar dengan kak nek di bilik pengantin yang serba indah!
Dalam perjalanan pulang; ribuan kekaguman kami terhambur. Kagum kepada perempuan yang satu ini. Kebahagiaan jelas terpancar di mukanya. 'Energy' yang saya sebut sebelum ini juga turut kami bicarakan. Dia mendatangi meja-meja tetamu, mempelawa tetamu makan, dia juga yang Walaupun dia tidak berkerjaya seperti kebanyakan kita tetapi barangkali cukuplah dia menanti mati dengan rumah pusaka yang damai di tepi sungai Pahang dan seorang suami yang boleh mendengar dia berbicara kerana selama ini suaranya hanya didengar oleh emak. Kini emak telah tiada dan Allah menggantikannya dengan seseorang yang mungkin tidak bergelar dato atau tan sri tetapi tentu cukuplah bagi kak nek, dia boleh mendengar ada suara di rumahnya untuk memberi tanda; dia masih hidup (dengan hati dan budinya yang terus).
Allah-huakbar. Besar insaf berdenak di hati saya. Sem tiba-tiba mengusik, "perasan tak, suami kak nek handsome?" Saya pandang muka Wan dan Sem dan kami serentak mengiakan pendapat Sem. Saya kata begini kemudiannya, "agaknya masa muda dulu lagi segak, kan?" Akhirnya kami ketawa bersama-sama. Jadi, moralnya ... (anda fikirlah sendiri .. hahaha...)
Buat kak nek, saya minta maaf menyertakan gambar kak nek tanpa izin. Moga-moga kak nek diberkati Allah selalu. Menjaga suami seperti mana menjaga gemulah emak dulu. Allah bersama kak nek!



Saturday, July 11, 2009

JALAN SESAK, INTAN YANG TERCANAI & RINDU SUNYI



Saya selalu terifikir, alangkah bahagianya jika dapat memandang laut dari satu tempat sunyi. Meletakkan satu bangku kayu. Melihat senja yang akan mendakap malam dari satu penjuru dunia. Tuhan...indahnya alam!
Barangkali hilanglah resah oleh deru dan kesesakan lalu lintas. Siang tadi, saya datang dari Bangi menuju Kuala Lumpur. Sesaknya ... fuh! Tertanya-tanya kenapa jalan sudah tiada lat sibuknya? Tanpa mengira hari dan jam, laluan di kota ini sudah semakin kacau. Teringat kata Sem, barangkali orang sedang menuju destinasi sewaktu dengan kita yang keluar sesekali ini. Saya tergelak. Mungkin juga - mereka keluar kerana fikiran sama seperti kita fikirkan.
Kalau diberi pilihan; saya memilih untuk tinggal di desa. Pagi-pagi cari nasi berlauk, pergi kerja dan malamnya ke surau / pondok menadah kitab. Ada kereta buruk yang boleh membawa kita ke destinasi pun cukuplah. Sebuah rumah kecil pun memadailah, sekadar melindugi kita dari panas & hujan. Ada seorang kasih pun jadilah; untuk memberi rindu. Ada seorang dua anak (untuk dipukul @ didera ... haha) cukuplah!
Tetapi, kita tidak diberi pilihan dalam hidup, tentunya. Kita hanya menjalani takdir. Kadang-kadang saya terfikir; kereta-kereta di jalan itulah bandingan kita. Bergerak kerana dipacu. Begitu-begitu saya membanding-banding hidup; saya teringat teater yang saya tonton di DBP semalam.
Arahan Wahab Hamzah, naskhah SN Dato Noordin Hassan; INTAN YANG TERCANAI dilakonkan oleh Mardiana Alwi dan seorang pelakon lelaki yang terlupakan namanya. Turut berlakon, Ogy Ahmad Daud, Juhara Ayob dan Norzizi Zulkifli.
Seperti kebanyakan teaternya yang berkonsepkan 'teater fitrah', teater 'dato cikgu' kali ini juga saya suka. Islamnya jelas; dari kostumnya. Muzik dan lagu-lagu. Namun ada beberapa perkara yang mungkin terlepas pandang oleh pengarahnya. Beberapa perkara itu termasuklah bab perbomohan. Adegan 'geleding-geliat' seorang pelakon wanita itu agak kurang sopan. Sebabnya, dengan adegan itu (walaupun tak lama) mencemarkan persembahan 'teater fitrah' tersebut. Seksi nampaknya. Kurang manis nampaknya. Agak menjolok nampaknya (sekadar menyebut beberapa perbandingan).
Itu belum masuk perkara; membawa masuk eleman agama lain. Kavadi itu rasanya tidak sesuai untuk dimasukkan dalam cuaca keislaman teater tersebut. Apalagi dua kali. Apalagi dengan lagu-lagunya. Dengan tariannya. Aduh! Pedih...perit dan sakit!
Terlepas pandangkah? Terlepas fikirkah? Atau apa yang terlepas? Memang tidak salah berbudi kepada sesama insan hatta kepada haiwan. Tetapi apakah wajar perbandingan / metafora 'membasuh kaki' pembawa kavadi untuk menunjukkan mulianya hati penganut Islam? Atau mungkinkah bandingannya di sini lintasan sejarah perempuan dan seekur anjing di zaman silam? Kisah yang dijadikan tauladan untuk contoh 'perbuatan baik'. Ataukah itu satu kias yang dalam tentang air dari kaki yang mengalir ke hati?
Cakap-cakap tidak banyak meluruhkan / mendenakkan ingat tetapi perbuatan di pentas itu senang diingati. Oleh itu, saya fikir adalah wajar warga kerja Intan Yang Tercanai memperhatikan sosok-sosok ini. Pekerjaan kita akan dikenang justeru ada juga rakaman. Tidak salah menyanyi untuk menyesuaikan dengan konsep teater (supaya penonton tidak jemu - apalagi teater islamik) tetapi fikirkanlah juga adab-adab dalam agama. Jangan sampai merendahkan Islam (walaupun tanpa niat).
Aksi agak kurang kecuali berlari ke sana-sini. Aksi-aksi tersebut agak celaru dan hampir tidak membawa maksud. Ketika itu teringat saya kepada sebuah persembahan pentas 'Kereta Kencana' yang dilakonkan oleh W.S. Rendra & isterinya Ken Zuraidah. Pelakon hanya dua orang tetapi dengan bantuan lampu, set dan kehebatan pelakon, drama lebih satu jam itu terasa macam setengah jam. Bukan memuji 'made in Jakarta' tetapi sekadar berkongsi pendapat kerana teater yang sedemikian (mono-log) memerlukan stamina dan etos pelakon (dengan baik). Maknanya? Pelakon kita masih belum mencapai / memiliki etos seorang pelakon? Entahlah. Saya sudah lama berhenti berlakon!
Saya yakin, naskhahnya bukan begitu. Apapun, tahniah kepada warga kerja Intan Yang Tercanai kerana kesungguhan kalian. Masihkah ada ruang untuk saya bercakap-cakap dengan 'dato cikgu'? Insya-Allah.

Thursday, July 09, 2009

SESEORANG, SEBUAH PONDOK & WAKTU ITU

Suatu hari kami sampai di sini. Kalau tak silap, selepas bandar Raub. Maksud saya perjalanan dari KL - KB. Saya turun dari kenderaan. Mengambil gambar pondok ini dan disimpan bertahun-tahun dalam kenangan. Saya katakan kepadanya, jika manuskrip saya siap, saya mahu gunakan pondok ini sebagai 'cover' untuk novel itu. Dia ketawa, katanya saya sentimental. Kami ketawa.

Tetapi, akhirnya novel saya siap dan 'cover' cadangan saya hanya jadi kenangan. Pihak penerbitan memilih foto yang lain. Tentunya mereka ada alasan sendiri. Tetapi, saya tidak kecewa kerana masih saya mampu mengabadikan pondok ini seindahnya di laman ini. Masih boleh ditatap oleh sesiapa sahaja.

Bahagia itu yang kita rasa di hati. Indah itu yang kita nikmati dengan hati. Jadi, untuk berbahagia kita harusnya tidak perlu membesarkan luka kecil di hati. Biarlah waktu itu pergi dengan rela. Mudahan Dia memberikan kita kesabaran yang akhirnya menjadikan kita sabar dan reda pada ujian. Begitulah saya menikmati hidup. Saya sudah sangat bahagia kini walaupun gambar kenangan ini tidak 'menjadi' utk dijadikan 'cover' novel saya.
Untuk novel akan datang, saya cuma serahkan kepada pihak penerbit untuk memilih konsep dan rekabentuknya. Saya cuma akan hantar manuskrip yang saya judulkan buat sementara ini dengan nama, 'PANGGILLAH AKU NAJIHA'. Nama sementara. Dalam novel ini, saya menceritakan pengalaman hidup Najiha. Pengalaman yang mungkin sama dengan hidup kita yang bukan anak orang bergelar seperti dato / datin, tan sri / puan sri tetapi anak orang kampung yang bernafas sama dengan nafas kita, yang menyanyi lagu Melayu sama seperti kita, yang ke surau atau ke baruh juga macam kita. Saya rasa, saya perlu bercerita kepada sesiapa sahaja pengalaman itu kerana tidak ramai di kalangan pembaca di Tanah Melayu kita ini terdiri daripada anak orang bergelar. Yang ramainya; orang biasa macam kita. Macam anda semua, macam saya.
Jika anda minat dan ingin melihat kenangan lama (jika pun bukan kenangan anda tapi mungkin kenangan ibu-bapa kita) jangan lupa novel terbaharu daripada saya. Insya-Allah tidak lama lagi. Semoga anda akan sabar menanti...


Wednesday, July 08, 2009

JIKA TOK JANGGUT MASIH HIDUP



PASAR SITI KHADIJAH di Kota Bharu, Kelantan tanah tersohor. Sehingga ini, beginilah yang dapat dilihat tetapi sepuluh lima belas tahun nanti barangkali sudah tidak begini. Mungkin sudah jadi sebuah 'pasar besar' yang penuh warna-warni bukan pada bunga, cili atau sayur-mayur dan pakaian pengunjung sahaja tetapi lebih dari itu.
Sekarang, masih boleh kita nampak penjualnya emak-emak yang berselimut kepalanya, berbatik kainnya namun apakah pabila pasar ini semakin besar, emak-emak ini sudah tidak 'sut' (sesuai/molek/kena) untuk menjadi penjual. Apalagi jika 'pasar besar' ini juga harus diglobalkan lalu namanya pun tidak sesuai lagi dengan nama isteri baginda Rasullulah itu. Untuk menambat hati pengunjung, kita akan terima dengan dada terbuka andaipun nama pasar ini ditukar ke bahasa Inggeris.
Saya tidak dapat bayangkan, jika Tok Janggut masih hidup. Haruskan dia berlenggang ke Jeram Linang untuk bersenang-lenang di sana sesudah mendapat sedikit habuan daripada pihak yang berwajib atau sekali lagi dia amok penjaga tanah air paduka moyangnya agar mencincang-lumat sisa-sisa peninggalan penjajah yang pernah meminta cukai di Pasir Puteh itu? Sayunya hati ...mengingat-ingat atau menjangka-jangka masa muka walaupun waktu itu, mungkin saya sudah menjadi gemulah!