Pages

Tuesday, August 11, 2009

MUSIM DEMAM

MUSIM orang demam. Sekarang. Demam wabaklah, demam selsemalah, demam rindulah. macam-macam demam. Sayapun demam juga, demam puasa. Maklumlah RAmadan bakal menjelma dan puasa yang belum dibayar wajib dibayar. Tanpa alasan, tanpa apa-apa kompromi. By hook or by crook. Tetapi sedih juga bilamana ada segelintir kita yang mengaku Islam tetapi tidak mahu membayar hutang. Jika sesama manusia, masih juga boleh diselesaikan sesama manusia tetapi jika hutang dengan Tuhan, bagaimana cara kita nak bayar?
Ada orang kata jika taknak ganti puasa, bayarlah fidyah. Saya pun terfikir, alangkah mudahnya mereka memaknakan rukun agama. Taknak buat gantikan. Jadi, kalau begitu solatpun kita boleh upah orang? Boleh bayar pada orang macam kita beli gula, beli penyapu? Idea dari mana mereka ambil, hukum mana mereka ikut. Tidak pula kita tahu, pastinya justeru sebagai manusia yang mengaku Islam, sepatutnya kita tahu, tanggungjawab kita sebagai umat. Itu yang menyedihkan kita. Memang Islam itu tidak memberatkan penganut tetapi janganlah kita mengambil kesempatan pula.
Sengaja saya lampirkan gambar bubur nasi. Ramai orang yang tidak suka bubur. Mereka kata tak kenyanglah, tak serasalah, makanan orang sakitlah dan macam-macam lagi dilabelkan kepada bubur nasi. Saya kadang-kadang terfikir; apalah salah bubur. Kecil-kecil, makanan pertama selain susu - bubur. Bila tua, sakit-sakit bubur juga yang terpaksa dilalukan ke perut. Apa salahnya makan bubur masa sihat, masa segar-bugar, masa sedang bersuka-ria sebab sedikit sebanyak dapat membantu perut kita ringan berkerja. Macam bulan puasa; gunanya untuk membantu perut kita berehat setelah setahun bertungkus-lumus memberi khidmatanya kepada tubuh.
Namun kini, setelah banyak penjenamaan semula, dah moden ni, ada berbagai-bagai jenis bubur dengan berbagai-bagai jenama dihidangkan. Dan, hairan juga saya yang kata bubur itu makanan orang sakit, tau pula membeli. Apakah kerana bubur itu sudah dibungkus dengan jenama terkenal. Tak jadi makanan orang sakit pulak. Iskkk ... macam-macam.
Apapun, saya mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam di seantero dunia! Yang sakit atau yang tidak mahu sakit.

Friday, August 07, 2009

BELASUNGKAWA RENDRA

BELASUNGKAWA...buat gemulah WS RENDRA yang rakan dekat dan orang-orang di sekelilingnya memanggil beliau dengan nama Mas Willy. Ya, buat Mbak Ida dan seluruh keluarga beliau, saya ucapkan takziah. Innalillah. Kematian ini sudah benar dan selamanya akan benar sehingga kiamat. Saya tidak kenal dekat dengan tokoh teater besar dari Indonesia dan dunia-dunia yang memahami bahasa Indonesia ini. Saya cuma pernah tinggal di sanggar tetaternya di Cipayung suatu waktu kira-kira tiga belas tahun lalu. Itupun sekadar menemani teman yang terlalu kepingin ikut latihan teater di sanggarnya Mas Willy. Seingat saya, hampir atau dua minggu saya di kediaman beliau.
Pagi tadi, teman itu menghubungi saya dan memberitahu perkhabaran duka ini. Saya hanya mampu terkejut sebagaimana malam semalam saya dikejutkan dari lena yang belum jenak oleh ayah saya dengan panggilan telefon. Ayah memberitahu; emak saudara saya baru sahaja menjadi jenazah. Begitulah, hidup ini. Janji Tuhan tidak pernah mungkir. Malah tidak akan terlewat atau tercepat meski sesaat. Dua kematian dalam waktu hampir sama tetapi kedua-duanya tidak mampu saya ziarahi justeru kesihatan yang tidak mengizinkan. KL-KB atau KL-JAKARTA hanya lebih kurang sama jauhnya. Satu, dipisahkan oleh daratan dan satu dipisahkan oleh lautan.

Saya masih ingat kenangan bersama gemulah Rendra dan isterinya Ken Zuraidah yang kami panggil Mbak Ida. Budi mereka tidak mampu saya balas malah sampai kini saya masih mengenang mereka sebagai insan berbudi. Masih terngiang-ngiang kata Mbak Ida suatu hari ketika saya mahu ke Jakarta mencari Kamus Besar Indonesia, katanya, " jaga tasnya ya. Nanti dicopek." Berkali-kali dia mengingatkan saya tentang itu seolah-olah KL tiada pencopet @ penyeluk saku. Mbak Ida itu bagaikan ibu-ibu yang sangat prihatin kepada anak yang akan berpergian. Dan, sebenarnya begitulah yang diceritakan oleh anak-anak sanggarnya.

Masih saya ingat dengan sangat (walaupun saya tidak ikut berlatih), kegiatan di sanggarnya berawal dengan meditasi selepas jemaah Subuh. Di bawah rumah gadang itu ada satu tempat duduk besar (pangkin) daripada kayu hitam. Di situlah mereka bermeditasi. Selepas acara tersebut, anak-anak sanggar yang pada masa itu ada lebih kurang 13 orang akan berminum pagi dan baca koran. Ketika sama mereka akan mengambil mana-mana keratan akhbar yang menarik untuk dibincangkan. Justeru itu mereka tidak ketinggalan isu. Selepas acara bahas isu tersebut mereka akan mulai berlatih teater. Kalau tidak silap saya latihan itu dinamakan 'olahgerak'. Jadi mereka akan berlatih bergerak dalam pelbagai posisi gerak. Dari bahagian dapur rumah, saya akan memerhati. Begitu begini. Itu ini. Ada yang tidak kena, ada yang harus diperbaiki dan ada yang harus ditambah momontum. Akhirnya fahamlah saya, bukan mudah untuk menjadi pelakon yang berstamina seperti pasangan WS Rendra dan Ken Zuraidah.

Serasa-rasa saya, 'Kereta Kencana' yang mereka lakonkan di Auditorium DBKL beberapa tahun selepas kunjungan saya ke Jakarta itu, masih ada kesannya di jiwa. Memek muka, lontaran kata, gerak, pencahayaan, kostum, set, mekap; tak boleh dinafikan 'bagus'nya. Tidak leterlaluan jika saya katakan, melihat teater monolog; masih belum ada yang setanding dengan "Kereta Kencana' Dari semua segi. Bukan memuji, tapi hakikatnya inilah yang saya rasakan pengakuan paling jujur. Masih banyak yang ingin dicatatkan tetapi ruang dan waktu yang terhad ini, saya fikir, harus sahaja saya berhenti. Gambar-gambar yang sempat dirakamkan masih banyak di simpanan. Tiba-tiba saya jadi rindu untuk semula menatap kenangan bersama gemulah yang satu ini.
Allahku, jika ada kebaikan yang telah kuperbuat dan bakal Kau berikan pahala untukku; aku sedekahkan pahalaku itu untuk gemulah yang sedang berjalan menuju rumah-Mu ini. Benarlah segala janji-Mu, Allahku. Lahir dan mati kita sendiri. Hanya hidup yang riuh; dengan pahala & dosa. Pasti sahaja, Mas akan saya masukkan ke dalam doa saya. MOga-moga Allah akan senantiasa memberi reda-Nya kepada kita; yang masih hidup atau yang sedang dalam perjalanan menuju pengadilan-Mu, Allahku.
Moga-moga Allah akan cucuri rahmat-Nya ke rohmu, Mas Willy dan kau akan dapat bersemadi dengan sejahtera dari doa-doa baik insan yang masih hidup. Sebagaimana janji-Nya; manusia yang mati itu akan bersama tiga perkara iaitu amal baik, anak-anak soleh dan ilmu yang dimanfaatkan. Saya fikir, ketiga-tiganya telah kau sempurnakan. Sejahteralah dikau ... amin!



Wednesday, August 05, 2009

MUSIM KONVOKESYEN



Rasanya baru lagi, saya melihat bunting mengalu-alukan pelajar baru ke universiti dan hari ini (05/08/2009) pelajar-pelajar sessi 06/07 sedang mengambil jubah untuk majlis konvokesyen minggu depan. Alangkah cepatnya waktu berlalu. Zuwairi, Zul, Jang, Fairus, Azuari, Mitchell, Nik, dan ramai lagi yang pernah menjadi pelajar di Media akan berkonvokesyen.
Teringat, masa mereka mula-mula menjadi pelajar dalam subjek AKEA 1126: Pengenalan Produksi Media. Alih-alih akan bergraduasi.Cepatnya masa berpergian. Dan, umur kita tambah setahun demi setahun tanpa sedar kerana kita masih rasakan masa lambat bergerak. Janji saya untuk menulis tentang pelajar baru pun, masih tidak terlaksana justeru kesuntukan ruang.
Sehingga hari ini, saya masih lagi belu menerima kehadiran mana-mana pelajar yang dulu selalu berjanji akan datang melawat pada hari mengambil jubah. Atau pada hari konvo. Tak tahulah, mungkin besok atau lusa atau hari-hari lain. Tetapi, sebenarnya begitulah. Saban tahun selama lapan tahun ini, saya mendengar janji sama. Hanya tahun lepas ada dua orang pelajar yang datang menemui saya pada hari konvo (dari ratusan janji yg masuk ke telinga).
Kenyataan ini menginsafkan saya; betapa janji amat mudah untuk dimungkiri sedangkan harapan tak pernah mungkir menanti.