Pages

Saturday, December 05, 2009

HILANG

04 DISEMBER 2009, seorang teman yang saya letakkan dia di paras sahabat tiba-tiba hilang dari senarai. Termangu bertika-tika saya. Pelbagai renyah rasa menerak-nerak sukma untuk besar dan mengembang di situ. Ada kesal, ada resah, ada pilu dan paling besar, rasa kosong yang dalam.



Dia datang kepada saya dengan tona wajah yang tersendiri. Lidahnya tidak banyak tetapi katanya kekal berlama-lama di pelupuk qalbu saya. Nyala bernyali. Sesudah lebih 800 hari saya biarkan waktu pergi meninggalkan hari-hari saya, dia mengirimkan persahabatan. Saya sambut dengan tulus, walaupun mungkin tidak sehangat rai teman-temannya yang lain. Saya ini cuma insan kecil dan saya tidak mahu kekerdilan itu menyukarkan dia melihat saya. Saya mahu jadi sahabat kepada sesiapa sahaja tetapi belum sempat saya katakan bergini; dalam jutaan kawan itu hanya kau sahabatku. Yang aku damba untuk kekal sepanjang aku masih diberi gerak.


Dan, begitulah. Dia pergi tanpa meninggalkan bekas untuk saya kenang. Atau kesempatan untuk saya bertanya, jika saya pernah berbuat ulah. Sayapun terkenang kata seseorang yang entah siapa. Kata-kata itu, 'bila seseorang yang dekat denganmu pergi, bermakna dia memang ingin pergi dan jika dia kembali, itu juga satu ujian buatmu. Dan, saya juga teringat satu lagi kata-kata yang memang semasuk di hati saya, 'waktu aku lihat dia pergi, aku rasakan dia tidak akan kembali lagi'.



Akhirnya saya sedar, barangkali dia tiada punya ruang untuk meletakkan saya sebagai sahabatnya. Atau dia rasakan saya tidak bisa menjadi sahabatnya yang tepat. Entah di mana silap atau ini takdirnya. Dan, begitulah. Saya biarkan dia pergi kerana yakin Tuhan hadirkan dia ke hidup saya sebentar itu, agar saya mampu mengenang.