Pages

Tuesday, March 30, 2010

KAWAN @ KETERINGATAN


Syukri Abdullah, rakan semusim pengajian di kampus dulu. Deklamator tersohor. Pernah menang peringkat negara. Masih terngiang-ngiang suara garaunya ketika menghantar semangat juang Tok Janggut ke ruang jiwa saya dalam puisi "Tok Janggut". Suaranya bisa meremangkan bulu roma. Mahakaya Allah memberi kawan ini keindahan suara. Ada sesekali saya terdengar suaranya di IKIM. Saya, Syukri, Hassan Jaidin dan Khalil Sreederan (maaf Lil, kalau saya silap eja namamu) rapat meskipun kami berbeda latar kuliah. Mereka bertiga masih bersistem penggal dan saya geng pertama yang menjalani 'sistem semester' di UM.

Gambar di sebelah sudah berusia hampir lima belas tahun. Waktu itu tiada Hassan, tiada Khalil. Lupa, ke mana mereka berdua. Selalunya kami akan berempat (kerana kami ini pelajar tua - Hassan paling muda tapi matured). Barangkali kerana kami berempat adalah 'penulis' di jabatan (kami) Jabatan Pengajian Media UM pada masa itu. Banyak perkara yang kami kongsi bersama. Samsuddin Othman dan Maniyamin Ibrahim juga di UM ketika itu tetapi mereka di APM. Jadi, agak 'terpisah' walaupun sesekali masih sempat sekelas (mengikuti kelas-kelas kesusasteraan Melayu).

Melihat-lihat foto lama ini bermacam-macam kenangan terlayar di ingatan. Suatu hari kami di 'khianati' oleh salah seorang pensyarah. Kami benar-benar teraniaya. Kami mesyuarat, akhirnya kami membulatkan kata - mengadap dekan (yang dihormati). Kami ceritakan hal yang sebenar. Dekan yang perihatin itu mendengar dengan teliti tanpa menyampuk atau bertanya itu ini. Hanya soalan-soalan berkaitan sahaja yang disuakan ke telinga kami dalam kesuraman petang (tika itu sudah habis waktu kerja). Dan, soalan-soalan itu kami jawab juga dengan teliti. Kami menjaga 'emosi'. Kami sedaya upaya untuk tidak 'mengumpat' dan seboleh-bolehnya mengatur bicara dengan baik. Dengan berpaksikan 'niat baik' untuk tidak terus 'ditipu' dan 'dipersendakan' oleh salah seorang pensyarah di jabatan kami pada masa itu, kami sanggup berhadapan dengan risiko '(&467%$&8*)' dalam pembelajaran kerana kami yakin, kami berada di pihak benar. Hak kami 'wajib' diperjuangkan.

Namun, nasib tidak menyebelahi. Kami di (*&*^%#%&). Masih jelas di ingatan wajah dekan itu. Kami meninggalkan pejabat dekan dan senja itu jadi semakin temaram. Mengusung luka dengan bahu rebeh. Kami pulang ke jabatan. Di jabatan, kami terserempak dengan pensyarah itu yang seolah-olah sedang menanti kepulangan kami dengan satu dunia seranah. Esoknya, KJ meng'itu' meng'ini' di pejabat jabatan dan kebetulan saya masukke ruang itu. Masih saya ingat KJ bertanya kepada saya, "awak tahu sesiapa pelajar jabatan kita yang telah bertemu dekan, mengadu pasal pensyarah kita?" Saya pandang muka KJ sambil menjawab jujur, "saya." KJ menggeleng kepala dan bersuara, "awak tak patut buat begitu. Awak sepatutnya beritahu saya dulu. Apa-apa masalah di jabatan, bincang peringkat jabatan bukan terus jumpa dekan."

Saya diam tetapi dalam hati menjawab, "kerana saya agak KJ tak akan buat apa-apa sebab itu saya terus jumpa dekan dan nasib baik, kami berempat tak terus jumpa VC atau buat laporan 'penipuan pensyarah' ke akhbar. Dalam hati sahaja. Luar hati, saya tidak menyambung apa-apa lagi. Kemudiannya, saya beredar dari pejabat (waktu itu masih di premis lama).

Setahun kemudian, Hassan, Syukri dan Khalil diminta menulis skrip drama untuk dipentaskan sebagai kerja pelajar. Saya difahamkan, bermalam-malam dan berhari-hari juga mereka bertiga berpulasan idea untuk menyempurnakan naskah. Pun, malangnya kerja mereka ditolak pensyarahnya yang kebetulan adalah orang yang sama dengan 'pensyarah' yang telah 'mengkhianati' kami sebelum itu. Bukan cuma ditolak malah di (*&%#%%&^$). MasyaAllah...

Bercerita tentang pensyarah ini, saya tiba-tiba rasa mual justeru baru tadi (30/03/2010) beberapa pelajar saya datang mengadu, 'pensyarah itu' mengugut akan 'mengagalkan' mereka andai meninggalkan kelasnya untuk latihan "Pemain" yang akan dipentaskan sehari dua lagi itu.
Saya menggeleng. Kursus saya adalah kursus wajib dan saya tidak pernah mengugut pelajar dengan perkataan sebegitu. Sudah lama waktu berlalu tetapi rupanya masa tidak mengubah apa-apa. Dari zaman saya bergelar pelajar hinggalah saya sudah mengajar hampir sepuluh tahun di jabatan ini (belajar dan kemudian mengajar), dia masih juga begitu. Bercakap besar, menipu dan bermacam-macam muslihat digunakan (di bawah sedar?)

Allahuakbar ... jika saya berada di pihak yang benar; ya Allah ya Tuhanku, aku mohon pada-Mu, tunjukkanlah kebenaran itu di dunia ini supaya tidak lebih ramai pelajar-pelajar yang saya anggap macam anak-anak ini terus di'perlawakkan', di'bonekakan' dan disegala 'per' olehnya ketika anak-anak kita ini terkejar-kejar mendapatkan segulung ijazah. Wahai malaikatku yang menjaga dan mendengar doa ini, kasihanilah 'kejujuran' yang telah dirodakrabit ini. Kembalikanlah keluruhan Islami itu ke latar wajar, moga pekerjaan kami ini juga menjadi sebahagian ibadah. Amin.

Sunday, March 28, 2010

"PEMAIN" yang bukan main-main

Teringat, hampir sepuluh tahun lalu saya pernah berlakon teater. Pada mulanya untuk mengukur sejauh mana kemampuan diri. Terdahulu dari itu pernah mengarah. Semuanya, justeru untuk mengetahui keupayaan diri. Alhamdulillah. Lakonan semasa 'sakit tenat' itu 'menjadi'. Saya pernah ternobat 'pelakon pembantu wanita terbaik' dalam festival teater malaysia.
Masih ingat, pagi persembahan saya ke PPUM. Ujian darah untuk suatu pembedahan. Jam tiga saya bertolak ke matic. Jam enam, doktor menelefon saya meminta balik ke PPUM kerana menurut ujian darah, hb saya sudah ke paras bahaya. Sangat rendah sedangkan keesokan hari saya akan menjalani pembedahan. Tuhan!
Saya katakan kepada doktor yang merawat; saya tak mungkin tinggalkan matic malam itu kerana saya dan idham adalah watak utama. Tanggungjawab yang tak mungkin disempurnakan oleh orang lain. teater itu terpentas selepas latihan. Tiada penduanya. Bukan macam drama tv yang bila-bila masa boleh menggantikan pelakon yang dicadangkan / dipersetujui apabila pelakon tersebut tiba-tiba sakit. saya katakan kepada doktor, saya akan ke PPUM sebaik sahaja tetaer malam itu selesai. Tuan doktor pun berpesan; gerak mestilah awas. Hati-hati. Jangan bangun serta merta. Duduk juga harus perlahan-lahan. Dibimbangi darah tidak dapat sampai ke otak secara normal. Boleh pitam. Boleh seribu satu macam jadi. Baik, doktor. Saya akan ingat pesan doktor. Terima kasih banyak-banyak. Dan doktor perempuan itu mengeluh sayu di hujung talian.
Saya pun berlakon malam itu. Watak Mak Anjang hidup (barangkali). Bila turun dari pentas kawan-kawan memuji. Peliknya pujian itu tidak menderaukan darah saya. Mereka katakan saya berlakon sangat menjadi. Bukan macam masuk bertanding. Macam 'real'. Hati saya tidak juga kembang. Dalam hati masih terngiang-ngiang kata doktor. Berlakon itupun dalam keadaan berawas. Sangat berawas. Semua aksinya dalam berawas. Teringat cerita dan kenangan gemulah Mahmud June (yang pernah saya temubual semasa menyiapkan Latihan Ilmiah untuk Ijazah Pertama), pelakon dulu-dulu kalau berlakon, buat matian-matian. sakit pun berlakon. Kecuali memang tak boleh bangun.
Bila dumumkan; terkejut sakan. Sukri Abdullah dan Azman Ismail (pensyarah ASWARA) menolak saya ke pentas setelah nama saya diulang dua kali. Saya melangkah biasa. Kiri kanan ada teriakan daripada penonton yang memenuhi tempat duduk di matic 'mak anjang...mak anjang...'
Tetapi, tak jua menyimbah muka. Barangkali benarlah kata doktor yang merawat. Darah saya ketika itu rendah. Agaknya jika cukup kepasiti darah, saya telah bereaksi dalam 'galak'. Barangkali saya akan berlari-lari ke pentas atau mungkin juga akan 'riak'. Maklumlah, tak pernah mengikuti kelas lakon atau vokal, alih-alih menang. Mahunya tak besar kepala? Terbukti kata-kata seorang guru teater terkenal (semasa saya menuntut di ASK) saya 'anti sosial' tidak benar. Wah, jahatnya! (Harhar...)
Selepas menerima sijil, saya terus ke PPUM. Serasa-rasanya saya tidak sempat tukar baju (baju PPUM) seorang jururawat sudah datang dan bersedia dengan satu pek darah. Tuhan ... aku tak melengahkan kerja mereka, ampunkan aku. Aku harus menyempurnakan tanggungjawab terlebih dahulu. Dan, malam itu saya meraikan kemenangan di katil hospital. Esoknya pembedahan!
Ironinya; tiada seorangpun daripada teman-teman yang sama menyempurnakan "sang puteri' ke pentas dan menang beberapa anugerah itu datang melawat! Padahal semasa sesi latihan, itulah yang selalu diuar-uarkan. Persahabatan. Persaudaraan. Kerjasama. Dan itu. Dan ini. Kini setelah hampir sepuluh tahun berpergian, saya masih terkenang 'nilai persahabatan' yang mereka momokkan itu.Allahuakbar...yang tidak pernah mungkir itu hanya Dia.
Tentang "Pemain" ini, saya tidak berjanji banyak seperti telinga saya yang pernah menerima janji ketika berlakon dulu. "Pemain" ini merupakan sebahagian dari persiapan pelajar untuk menyempurnakan kursus mereka. Aplikasi komunikasi. Bahasa verbal dan non-verbal yang dipelajari akan diolah balik dalam versi pentas. Saya minimum menyentuh, mereka yang banyak bereksperimen dengan teks. Mudahan mereka mengerti banyak perkara di luar ruang lingkup dewan kuliah. Pengurusan dan kerjasama; itulah yang mustahak untuk dihayati. Justeru sebagai guru, saya mahu mereka faham itu dalam bentuk amali bukan teori. InsyaAllah.
Sebenarnya, pelajar-pelajar AKEA 2101:Retorik ini juga sedang bertungkus lumus menyediakan diri untuk "Minggu Media" di jababatan kami yang berlangsung dari 29-1 april. Kepada yang terlibat, syabas diucapkan sebab itu akan memberi anda peluang berkerja dan berpengalaman tetapi kepada yang 'melari-larikan diri' itu, selamat menjadi kera sumbang.

Sunday, March 21, 2010

"PEMAIN" dan PESTA BUKU KL



Latihan "pemain" semakin banyak. Pelakon nampak semakin faham dengan gerak dan langkah yang perlu. Hawa, Huda, Sal, Masitah dan Adora kian semangat berlatih. Hati saya kembang dan bimbang. Takut persembahan mereka jadi (*&^*&$@!$%). Gusar.



Pun Idham nampak yakin dengan mereka. Saya pun biarkan mereka bereksperimen dengan kehendak dan kebolehan sebenar. Mudahan semuanya selamat. Pagi tadi ada latihan sebelum saya ke PWTC (pameran buku KL). Malam ini tetiba, ada pelajar sms - latihan tiada ketika hati sedang teringat-ingat sesi 'mengata' peristiwa di pwtc tadi.
Mengata apa? Buku banyak. Penuh pepak orang. Jumpa dengan itu. Jumpa dengan ini. Macam-macam. Tapi ada sedikit 'kekurangsenangan' di pihak saya dan beberapa orang sebelah menyebelah menyebut. Sebuah telco sedang mencari pelanggan dengan membawa satu pancaragam - membingitkan telinga. Serasa-rasanya amat tidak sesuai dalam situasi ilmu begitu. Rasanya irama lembut lebih molek (jika tidak mahu situasi menjadi sunyi dan mengundang rasa mengantuk pengunjung). Berikan pengunjung sedikit ketenangan untuk menyelit dan berpusu-pusu dalam keriuhan begitu.

bersambung ...




Saturday, March 20, 2010

PERJALANAN

Perjalanan selalu membosankan. Kata teman saya. Mendengar tuturnya itu, memuatkan saya terfikir dalam hati sebab-sebab kebosannya. Berbagai-bagai andaian saya bolak-balikkan. Akhirnya saya membuat kesimpulan. Kebosanan itu telah disimpulkan sejak sekian lama dalam mindanya. Maka, setiap kali dia mahu memulakan perjalanan; 'bosan' itu sudah muncul di ruangan bawah sedarnya kemudian perlahan-lahan merayap ke alam sedar.
Lihat foto yang sempat saya rakam dalam satu perjalanan pulang ke kampung minggu lalu (10/03/2010). Aduh...panjang dan sunyi, jika perjalanan itu dilakukan sendirian. Paling-paling lagu-lagu sahaja yang menjadi peneman. Mungkin ayat-ayat lazim yang dari keasyikan suara Ahmad Fahmi (juara AQ1) mengalukan firman-Nya itu jadi peneman atau lagu-lagu idaman kita. Atau bernyanyi atau berzikir sendirian boleh mengelak mengantuk dan sepi atau bosan. Terpulanglah kepada kita.
Tetapi bagi saya perjalanan biasa-biasa. Sudah jenuh kali saya memacu 'kesayangan' menuju tanah lahir sendirian dan saya tidak bosan. Pernah kereta 'lama' saya meragam dan 'pengsan' di Raub. Malam hampir jam 10. Sendirian. Doa punyalah banyak, akhirnya Dia makbulkan doa itu. Satu malam yang lain, selepas tunaikan solat Isyak (juga di Raub) sekali lagi kereta tak mahu 'hidup'. Nasib baik ada seorang remaja lelaki yang sedang bermain telefon di tangga masjid. Dia tolong 'tolak'. Alhamdulillah, perjalanan diteruskan sampai KL (tanpa henti lagi dah).
Sekarang, perjalanan jadi lebih 'hidup' pabila adanya sesi 'pecut-memecut' dengan pemandu lelaki. Mereka nampaknya terlalu sinis dengan pemandu wanita (yang biasanya dikaitkan dengan 'memandu ikut perasaan'). Ya ka? Saya sempat merakam beberapa kenderaan yang menjadi 'lawan' saya di jalan namun taklah patut saya sertakan foto nakal tersebut di sini. Maklumlah selain dari jenama kenderannya yang lebih 'mahai' dari 'kesayangan' saya, nombornya juga jelas terpampang kerana saya memandu dengan kamera yang siap di sebelah. Apa-apa keadaan, saya terus merakamnya sebagai bukti. Satu lagi, bimbang juga. Manalah tau ada suku-sakat dia terbaca blog ini, maka 'tersaman' pula saya. Pelbagai spekulasi boleh direka. Jadi, kependekan kata; tak disertakan di sini fotonya.
Tentang adegan 'pecut memecut ini; semalam (19-03-2010) ketika memandu dari KB-KL. Ada dua kereta yang menjadi 'saingan'. Satunya berstatus crv dan satu lagi vios versi terdahulu. Entah kebetulan entah takdir, kedua-duanya berona kelabu. Crv itu menjadi saingan saya dari Kuala Kerai ke Gua Musang. Plet pendaftarannya wilayah dan digitnya 3385. Entahkan cemburu atau rasa tercabar tatkala saya memotongnya jadi dia memecut sehabis daya dan memotong saya. Melihat dia ralit dengan telefon, saya potong lagi dia. Sebentar saya lihat dia memotong kembali. Aksi kejar mengejar ini berlaku dalam jarak yang agak penjang. Setiap kali memotong, dia akan memandang ke arah saya. Dalam hati rasa 'tercabar' juga. Kenapa perlu memandang ke arah saya. Apakah perempuan tidak boleh memotong lelaki kerana itu bukannya di masjid yang memerlukan lelaki sebagai imam. Jalan raya pun ada makmum? Dan, perempuan tak boleh memotong? Huhu ... sadis!
Terakhir, saya potong 3385 dan dia hilang di belakang ketika saya tiba di simpang Gua Musang-KL/pusat bandar/bandar lama/taman perumahan kerana saya singgah di rumah kawan saya Bibi Rubiah di Taman Mesra. Hampir 29 tahun tidak bertemu bermacam-macam cerita kami kongsi sementara makan siang dengan sup ayam yang sangat membahagiakan dan ikan merah goreng kosong. Jam empat saya bertolak ke KL selepas mendapat 'lawaan singgahlah lagi' daripada keluarga Bibi Rubiah keturunan Pakistan yang kami sebut 'tok syeikh' itu. Masih cantik kawanku ini! Terima kasih Bi, menjamu aku.
Memulakan perjalanan ke KL dengan selesa setelah mengisi petrol tambahan di Shell Koperasi Guru-Guru Melayu. Perjalanan selepas jam 3 petang itu santai. Saya memandu dengan kelajuan 80km/jam cuma. Sedikit mengantuk. saya berkira-kira untuk berhenti di mana-mana stesen minyak untuk lelap beberapa minit. Selalunya saya berbuat begitu. Setelahnya saya segar dan dapat meneruskan pemanduan dengan selamat (alhamdulillah). Namun dalam berkira-kira begitu vios versi lama itu (haha) menonong datang. Memotong. Saya camkan plet pendaftaran. Wilayah. Digitnya senang. 5500. Kebetulan sahaja saya ingin memecut kerana tiada kenderaan lain. Dan, seperti crv yang asyik dengan telefon, pemandu kenderaan ini begitu seronok nampaknya berbual dan bergurau dengan pasangan di sebelahnya. Saya elergi dengan jenis pemandu begini. Bagi saya kalau kenderaan di depan kemalangan 'tak banyak - sikit' saya akan berkemungkinan besar ikut terlibat. Jadi, baiknya saya lari dari keadaan itu. Potong!
Dan, aksi 'kejar-mengejar' berlaku lagi. Mengatuk hilang terbang. Hati jadi jahat. Tapi masih bertasbih (tak percaya? Huhu...terpulang). Sekali lagi saya rasa diremehkan apakala pemandunya di depan dan mengintai-intai saya dari dalam cerminnya. Saya nampak dia sengaja melambatkan vios (versi lamanya). Saya macam biasa - pura-pura menyanyi.
(bersambung - harus ke latihan teater "pemain" karya Johan Jaafar yang akan dipentaskan di audi KPS UM pada 3 & 4 April nanti)

Sunday, March 07, 2010

DAMAI AZWA

Barangkali ketika kita seusia Azwa, kita juga sepertinya. Tangisanlah yang dominan kerana dengan tangisan kita mendapat perhatian. Makin hari tangis itu semakin kurang. Dan kini, tangisan sangat jarang kita lepaskan ke penatapan orang. Barangkali malu, barangkali juga takut diejek. Atau tidak mahu dikatakan 'rapuh' hati.

Saya didatangi seorang sahabat. Menangis berkodi-kodi di sisi. Dalam esak yang cuba disembunyikan, tahulah saya dia teringat sesaorang yang telah lama pergi meninggalkan. Katanya, serasa-rasa dia sudah tak mampu menahan bahana kerinduan itu. Akunya selalu dia bertanya kepada malaikat di kiri dan kanannya, kenapa Tuhan mengambil orang yang disayanginya. Dan saya bertanya dia, adakah malaikat penjaganya menjawab? Dia menggeleng. Sebenarnya soalan tak wajar (kami sama-sama tahu). Dia terus menangis dan saya hanya memandang. Selalunya begitulah, saya. Jarang memujuk sesiapa yang menangis di dekat saya justeru teringat pesan seorang teman; biarlah sesiapa yang ingin menangis itu menangis kerana air mata itu mungkin dapat melegakan saraf di kepalanya yang kalut serabut. Maka, saya terus melukis.

Aku rindu. Serasa-rasa degap jantungku ini hanya tersebut namanya. Serasa-rasa dalam mataku ini hanya dia yang aku nampak. Malah semua orang yang kupandang bagaikan aku melihat dia. Bagaikan semua wajah-wajah yang berselisih denganku di sepanjang aspalku, ada dia. Malah dalam pejamku juga dia masih memenuhi seluruh ruang kecil itu. Aku mendengar keluh nafasnya. Aku mendengar bicaranya. Aku mendengar dia memanggil-manggilku. Hingga terjaga aku dari lena yang sedia singkat. Aku mendengar selokanya. Aku mendengar luah rindu terdalam dan sayunya di pelipisku. Aku masih mendengar dia meminta aku bersetia padanya. Masih ternampak-nampak air yang menitis di pipinya ketika melafaz ingat menunggu pertemuan. Masih semua itu ada di dalam aku. Kenapa Tuhan ambil dia dariku? Besar sangatkah permohonanku sedangkan aku sudah sedaya upaya menjadi hamba yang taat?

Istighfar saya dalam hati. Bagaimana mampu aku katakan sesuatu jika kataku itu hanya akan menjadi sesia? Tuhan...hanya Engkau tahu jawapan itu, tentunya. Subhanallah. Alangkah damainya menjadi Azwa!

Monday, March 01, 2010

buah tangan baru


Alhamdulillah, karya kedua saya dengan Alaf 21 berada di pasaran. Sangat bersyukur saya. Mengenai novel ini, saya fikir saya sedang bercerita kepada kawan-kawan, adik-adik atau mungkin pembaca di luar sana yang telah membaca buah tangan saya yang pertama dengan Alaf21, Menanti Khalidah.

PAN tidak sekasar Khalidah. Najiha tidak segelisah Asyiqin menanti Khalidah. Najiha lembut tetapi cekal. Najiha saru tetapi masih mampu mendamaikan kerisauannya itu dalam makmur. Dia masih boleh berjaya mentadbir kerancuan mindanya dalam sedar. Najiha ini saya ilhamkan daripada kemelut di sekitar-sekitar kita, manusia kecil. Barangkali anda tertanya-tanya kenapa tiada watak-watak manusia 'bergelar' dalam PAN. Jawapannya mudah, kerana saya manusia biasa. Saya tidak pernah kenal manusia bergelar itu, lalu bagaimana saya mahu bercerita tentang mereka? Dan, orang bergelar itu tak membaca novel Melayu (kebanyakannya). Mereka membaca novel bukan Melayu. Lalu kenapa saya harus mebawa watak-watak sebegitu ke dalam karya? Kan, baiknya saya bercerita tentang kita dan kita? Kajian?

Emmm....kajian dan khayalan lebih kurang sahaja, saya fikir. Jadi, hasilnya PAN sudah di pasaran. Selamat membaca 'saudaraku' semua. Jika kelapangan, komenlah ke facebook saya atau ke mail maya saya.

BILA SEMPURNA

Mengenal atau menjadi kawan kepada orang lain, adalah lumrah kepada manusia hidup seperti kita. Kadang-kadang secara tidak sengaja kita 'terkenal' orang. Kadang yang lain kita diperkanalkan kepada orang yang sama sekali tidak kita inginkan. Dan, tentunya juga ada kebarangkalian lain yang memungkinkan kita menjadi kawan atau dijadikan kawan oleh orang lain. Begitu juga saya; suatu hari mengenal seseorang. Lalu kami rapat.

Lapan tahun kalau ditukar ke jam tentulah banyak jumlahnya. Tetapi 'kebanyakan' waktu itu rupanya bukan 'mengakrabkan' kami sebaliknya memudahkan dia menerka yang tidak-tidak kepada saya. Saya pun terdiam. Saya lihat dia berlalu pergi ke dalam harinya meninggalkan debu-debu kenangan di pintu hati saya. Lalu saya terfikir; alangkah tidak bermaknanya hari-hari kami. Membazirnya waktu itu. Allahuakbar ...

Dan, saya pun malas untuk menghubungi dia lagi. Biarlah...jika saya berada di pihak benar, Allah akan membenarkan tindakan saya ini. Begitu pendirian saya sesudah saya tak lagi dipercayai. Bukankah lebih mudah begini? Lalu di sini saya mahu katakan begini; pergilah kawanku. Telah kulepaskan ikatan persahabatan kita. Aku bukan manusia sempurna sepertimu. Aku naif dan kecil. Jika kau rasakan tindakan kau lakukan itu benar maka pergilah. Kau tentu ada pendirianmu. Ada pertimbangan. Kau juga barangkali rasakan keputusanmu itu sudah sempurna bilamana kau akui kepdaku tentang itu. Justeru, terbanglah kau semahumu. Aku bukan angin, bukan awan biru, bukan pohon cemara atau kemboja yang boleh kau tumpang berteduh tatkala kau sepi atau resah. Aku cuma seorang manusia. Titik