Pages

Wednesday, June 23, 2010

TANAH AIR BETA


MENONTON filem 'Tanah Air Beta" pada Jumaat malam 18 Jun bersama Dena. Pada mulanya saya bertanya teman ini tentang filem-filem Indonesia. Katanya filem mereka kini lebih bersifat 'bikin uang' jadi konsep cerita juga harus diselarikan dengan kehendak penonton (bukan cuma di Malaysia dan sudah barang tentu ini fenomena international kecuali di beberapa sudut dunia yang masih menganggap 'seni' itu penting.

Di tangan Ari Sihasalle, filem ini dimulai dengan moment indah sokongan senimatorgafinya. Bendera membawa lambang. Jalan-jalan panjang menghantar makna. Wajah-wajah yang dipaparkan ikut menjadi simbol dan scene-scene yang dipilih menjadikan filem ini menarik.

Tiada shot yang membazir, malah pada saya pengarahnya berjaya menutur bahasa filemnya. Membongkar resah penduduk Indonesia di satu bahagian negaranya iaitu Nusatenggara Timur. Pelakonnya tidak membawa unsur 'plastik' dengan bedak, gincu atau kuku bercat ke dalam shot-shot mereka. Malah bermuka polos kampung. Griffit Patricia yang membawa watak utama sebagai Merry (10tahun) dengan jayanya menangani watak. Begitu juga watak Mama Guru yang kukuh peribadinya. Malah watak Abu dan watak-watak lain yang disuguhkan lewat filem ini.

Ari menghantar makna filemnya lewat dialog-dialog lucu. Shot pendek dan menarik. Penuh humor. Dan pastilah unsur itu dipilih dengan alasan. Humor yang membangkit tawa. Seolah-olah Ari berkata, jika anda ketawa bermakna anda sedang ketawakan diri sendiri. Bangsamu tetapi daripada pemerhatian; filem ini indah kerana pemilihan temanya yang sadis.

Karya dimulai dengan adegan di sekolah (jika boleh dinamakan sekolah atau lebih tepat; tempat belajar) dan Mama Guru mereka sedang mengajarkan lagu Tanah Air Beta (menulis di papan hitam). Dengan suara ramai, lagu itu dinyanyikan. Syahdu. Dari situ ceritapun bermula. Dengan sindirian, dengan nasihat dengan segala permasalahan (penyakit, ketakutan, resah, rindu dsb) yang ada dalam masyarakat di situ diseluruhi. Peranan NGO, pengaman ditunjukkan.

Cerita ini dihidupkan oleh insan lucu dan buta huruf (Abu) yang punya akal, Merry, Mama Guru, dan kawan Merry. Inti ceritanya adalah kerinduan justeru terpisah. Semuanya berpaksi kepada keinginan Merry bertemu abangnya. Kesungguhan Merry untuk mencari abangnya (banyak halangan - unsur pengembaraan dalam epik) Camaro yang terpisah kerana kemerdekaan Timor Laste itu diakhiri dengan pertemuan pabila mereka menyanyikan kembali lagu Tanah Air Beta. Sebak dan rata-rata kelihatan penonton menangis. Mungkin kerana kesan lagu itu (?).

Scene jalan yang berliku-liku dalam TAB mengingatkan saya kepada filem 'children of heaven' Majid Majidi (1997). Perjalanan watak utama (remaja yang mewakili generasi baru tentunya) sangat berliku. Bgitulah serba ringkas tentang TAB. Filem yang baik dalam kategori tanpa cinta kepada pasangan. Saya kira filem ini boleh diketengahkan oleh Ari ke peringkat yang lebih jauh. Apalagi ke negara Barat yang suka mengambil sisi-sisi kemiskinan.

Teringin untuk membawa karya ini kepada teman-teman di KL tetapi masih belum ada CD @ VCD (cetakrompaknya ...hahahahahahha).

PINTU

SERASA-rasanya saya pernah terbaca; jika tertutup pintu di depanmu, nescaya telah dibukakan Allah pintu yang lain. Entah di mana. Saya terhenyak di duduk pabila membaca satu pesanan yang ditinggalkan dalam bentuk surat maya. Saya rasa-rasa dada. Ada sebak berbenang di rasa. Patutlah, ada yang tidak lepas selama ini. Ada yang seperti tersekat dalam waktu-waktu dekat ini.

Saya akan telan takdir ini. InsyaAllah hadam dengan indah. Kelak tidak menyakitkan rongga di marga perut. Kelak tidak meyesakkan sulur-sulur nafas. Kelak menjadi guruku, adalah kefahaman tentang takdir ini.

Tuhan, terima kasih menjadikan daku dalam rupa ini. Membekalkan daku segemal indah rasa syukur di tepah jiwa. Mudahan daku akan selalu istiqamah dengan sedar ini. Amin.

Waktu saya memandang ke pintu; benar telah tertutup. Salam.

Saturday, June 12, 2010

AKU INGIN

AKU ingin lena di dadamu. Di matamu. Di hatimu. Di rindumu. Di ingatmu. Di dalam rasamu. Tetapi kasih, entah di mana dikau.

Sedarlah daku, ingatku sedang kepalang rasa. Lalu, di manapun dikau aku cuma ingin kau tahu aku tidak pernah mungkir pada hatiku. Malam ini aku masih seperti aku saat terakhir mata kita bersapa.

Thursday, June 10, 2010

MEMBENARKAN

MEMBENARKAN katahati amat suka justeru kita barangkali takut silap. Membenarkan kata Tuhan lagi sukar. Benarlah, kita ini naif. Maafkan aku, tuan. Bukan menyangkalmu tetapi sebagai peringatan kepada hatiku yang degil.

Terima kasih, melukiskan rona baru di langit fahamku.

Wednesday, June 09, 2010

MEMBACA CATANMU

MEMBACA catan yang kau tinggalkan membuatkan aku jadi resah. Kalaulah aku juga dapat berbahagi duka yang sedang kau tanggung, ya ... siap aku. Sungguh aku dapat rasai sakit itu, resah itu, luka itu.
Tetapi, diam itu kiraku lebih baik. Maafkan aku, kasih.

Tuesday, June 08, 2010

TAKDIR ITU, KASIH

MAAFkan aku, cuba menyelinap ke ruangmu. Maafkan aku, mengasihimu. Maafkan aku, menghindarmu tetapi aku tetap mendoakan yang terbaik untukmu kerana aku selalu sedar Tuhan tidak pernah alpa pada takdir kita. Mudahan Tuhan merahmatimu dan mereka yang kau peduli. Memberimu kekuatan sabar dan mereka.

Maafkan aku, mencoret di sini cuma.

Monday, June 07, 2010

BILA RINDU

BILA rindu dan malu bersatu di pialahati, aku diam dari mencoret. Biarkan waktu melebur atau membesarkan segala jadi kerana aku naif. Kerana aku mahu mendengar suara di sukmaku yang paling jujur. Kerana aku mahu kau tahu, aku tidak kuat lagi menanggung beban ini. Lalu, aku mohon maaf, tidak menulis lagi padamu karena aku seperti dapat rasakan rasa bersalahmu.
Dan, bukan aku lupa.

Sunday, June 06, 2010

AHAD di Ketintang Timur

BENAR, ingatan ini tidak mampu kuberkas di satu penjuru atau ruang. Ingatan itu terus bergerak dan berbebas di piala jiwa.
Kelmarin (5/6/2010) aku dan pelajar Sarjana di UNESA ke Malang, menghadiri penikahan teman mereka. Perjalanan yang mengasyikkan itu jadi tidak aman kerana aku demam.
Suara tinggal sedikit tapi rinduku tetap tidak luak.