Pages

Friday, July 30, 2010

SEKUNTUM SALAM YANG KAU BAWA ii

RUPANYA kau tidak pernah hadir hatta ke mimpiku. Kau cuma juzuk di bawah taut mataku yang lama rapat.


Thursday, July 22, 2010

SEKUNTUM SALAM YANG KAU BAWA

DALAM lelapku yang singkat, dia datang membawa sekuntum salam putih. Dia hulurkan padaku. Matanya masih sama seperti dulu. Senyumnya juga senyumnya yang dulu. Kusambut senyum dan salam itu dari tangannya. Aku kucup jemarinya dan dia sentuh kepalaku. Gegar berpusar di hati. Air mata kami bersatu dan luruh di pasir.

Tatkala terjaga, terasa basah mataku. Tuhan ...

Wednesday, July 21, 2010

MAAF

SEMALAM saya mendapat satu email dari seorang bekas teman. Dia mahu mengerjakan umrah. Lalu dia memohon maaf atas segala kesilapan (seandainya ada) yang pernah dilakukan terhadap saya. Saya tercenung seketika. Emailnya dikirim dalam kata kias yang berbalas-balas. Saya membaca dan rasanya memaklumi segala isi. Kemudian saya membalas.

Saya katakan, anggap saja kita tidak pernah kenal dan tentunya tiada apa-apa salah, kan? Jika kita tidak pernah mengenal orang adakah kita pernah berbuat salah padanya? Tentulah tidak kecuali termengumpat (sekiranya orang yang tidak kita kenal itu dikenali orang dan muka atau peribadinya selalu dipaparkan di akhbar - wah kiranya akhbar ini mengambil saham juga dalam isu umpat mengumpat ini, ya. Apa tidaknya, pihak akhbar sengaja mendedahkan itu ini dalam laman warna warni (konsep iklan & pemasaran), tulis itu ini yang mendorong khalayak pembaca tahu sesuatu berita yang tidak diketahui sebelumnya dan berbincang-bincang dengan kawan kemudian perlahan-lahan bertukar menjadi sesi umpat mengumpat).

Oh, terbelit-belit pula kisahnya. Berbalik kepada email yang saya terima itu. Jadi saya balas begitulah. Bukan saya merajuk tetapi serik sudah untuk berkawan kerana mereka tidak pernah memahami makna persahabatan. Jadi saya lepaskan mereka dari rangkaian yang saya jalin di hati atas nama sahabat. Lalu saya katakan bila kami tidak pernah kenal maka mereka tidak pernah bersalah kepada saya, lalu tidak usahlah meminta maaf justeru saya tidak pernah menyimpan apa-apa sejarah bersama mereka. Mudah, kan?

Begitulah, saya tiba-tiba teringat cerita yang saya baca (lupa di mana tetapi di Internet). Seorang anak marah. Bapanya menunjukkan cara melepaskan marah. Anaknya mengambil paku dan tukul lalu memaku tiang di rumah mereka. Kata bapanya sekali marah pakulah tiang itu dan hentamlah sekuat hati sehingga kemarahan lunas. Begitu berlangsung beberapa waktu. Setiap kali marah, anaknya akan memaku tiang di rumah mereka. Suatu hari bapanya meminta anaknya mencabut paku-paku yang pernah dihentak ke tiang. Anaknya akur.

Dan kata bapanya, "liang di tiang itu tidak mungkin terhapus." Maka terpinga-pingalah anaknya. "Paku itu kemarahanmu dan tiang itu adalah hati. Hati siapa yang kau sakiti." Anaknya diam. "Lihatlah liang di tiang itu. Bercerotek dan tidak mungkin elok kembali. Jadi fikirlah anakku. Fikir sebelum menuduh dan mengata sesuatu kepada sesiapa kerana kata-katamu itu persis paku dan tuduhanmu ibarat tukul. Liang itu tidak akan hapus oleh perkataan maaf."

Begitulah, cerita itu benar-benar berguna kepada saya justeru itu insyaAllah saya tidak akan membuat fitnah kepada sesiapa. Alhamdulillah sebelum ini saya juga tidak pernah membuat fitnah. Jika saya meminta maaf barangkali kerana saya terlalu berterus terang dan mereka yang mendengar tidak boleh menerima keterusterangan saya. Dan, sakit hati kepada saya.

Apakah keterusterangan itu sama dengan kebencian yang akhirnya menjadi fitnah? Apa pula pengertian mohon maaf dalam konteks ini? Teringat tingkah anak saudara saya Aisyah Afiqah yang selalu mengerakkan bahunya ke atas tanda reaksi kepada berkecuali. Wallahuaklam.

Wednesday, July 07, 2010

KELUH & PERJALANAN ESOK.

"DIA pergi."
"Ke mana dan siapa?" Balasku.
"Dia pergi dari hidupku."
"Sedih?" Soalku. Teman itu angguk. Saya angkat bahu. Tidak tahu kenapa dia sedih. Bukankah hal-hal begitu amat biasa dalam kehidupan. Ada pertemuan, ada perpisahan, Ada kehidupan ada mati. Ada rasa kasih ada bosan.
"Aku rasa aneh sebab dia tiba-tiba pergi. Kami tak bergaduh. Kami mesra sebelum itu. Dia nampak sangat mengambil berat dan aku sayang dia."
"Manusia waras berbuat sesuatu tanpa perlu alasan."
"Ya, tau ...tapi kita sudah dewasa. Bukankah baik jika dia beritahu silapku, boleh aku perbaiki diri. Bila dia buat begini rasanya macam hukuman tanpa amaran."
"Terus terang itu menyakitkan. Dia brangkali tak mahu lukakan hatimu," sambutku.
"Jadi sekarang?"
"Tak semua orang punya upaya lidah."
"Sms. Email. Itu tak perlu lidah."
"Dia tentu punya sebab dan kau tak perlu tahu sebab itu kerana sebab itu barangkali juga akan melukakan kau."

Teman itu akhirnya akur dan melepaskan sebuah keluh sebelum meninggalkan aku yang masih berbahagia menghadap sekuntum petang. Kuntum yang sedang menuju malam. Aku lepaskan sebuah keluh. Esok harus kembali ke kotaku. Alangkah jauhnya perjalanan yang tidak pasti itu. Barangkali aku akan menemui pelbagai. Tetapi, aku tetap akan kembali. Allahku, selamatkan perjalanan esok. Amin.




Tuesday, July 06, 2010

KATA


SEORANG teman pernah berkata (barangkali kalau diklasifikasikan itu sebenarnya protes). Ramai berkata begitu dulu atau kemudian dari kata temanku itu. Begini kata mereka, "kami cuma inginkan persekitaran yang sedikit lebih baik dari ini. Misalnya meja yang tidak goyang untuk tulis menulis."
"Apa kata bos?"
"Mencarut."
"Laaa ... pasal?"
"Agaknya memang dia tu jenis macam tu?"
"Minta baik-baik. Tentu diberi."
"Dia pun mencarut dalam keadaan baik - bukan sumpah seranah, maki hamun."
"Mencarut tu spesis maki hamun jugak."
"Bos-bos ni jalan aje tau. Sedap-sedap pegi Amerika, London konon melawat. Apa pekdahnya? Tak pernah pun bagi idea bernas untuk majukan PTj."
"Fuhhh ... lawan bos nampak."
"Tu, pegi melawat tu, guna duit sapa? Kita mintak meja harga RM 50 satu pun, bukan main susah ... macam tok fakir. Padahal nak letak kat pondok tu, di tempat kami kerja bukan nak bawa balik rumah."
"Ya, betul jugak. Depa pegi melawat tu mesti ada elaun lagi, kan?" Sengaja aku mengapi-apikan mereka.
"Ooo ...pasti. Dahlah duduk dalam bilik ekon. Kami yang penat kerja. Ke hulu hilir saman kereta yang tak bayar paking. Muka kami ni dah macam Micheal Jackson sebelum putih padahal dulu kami ni macam Cindy Wong."
(siapa Cindy Wong? Loyar? Majistrik? Huhuhu...)


Terfikir, agaknya kalau aku jadi bos, adakah aku juga seperti bos mereka itu? Mujurlah Allah tidak mengujiku dengan pangkat dan harta itu. Mujurlah aku cuma marhaen yang tidak punya apa-apa.

Saturday, July 03, 2010

DIA MUHAMMAD

"AKU persis jatuh kasih." Bilang sahabatku suatu hari.
"Menarik. Tandanya kau tak tutup pintu di hatimu. Objek persis itu siapa atau apa?" Kataku kerana mengingat kata temanku, dia jatuh kasih kepada buku. Yang lain kepada lipstik. Beg tangan (ada beg kaki?), baju merah (beg merah, kasut merah), kereta besar (jarang orang suka kereta kecil kecuali yang tidak berkemampuan - mereka bilang suka kereta kecil), rumah besar dan segala yg besar-besar.
Temanku senyum. Ada lesung pipit di pipinya. Aku sentak dagu ke arahnya. Dia menjawab perlahan, "siapa bukan apa."
"Jadi siapa?"
"Manusia."
"Menarik."
"Ada tapi"
"Kaya sangat? Buruk sangat? Miskin sangat? Tak kufu?"
Sahabatku angguk.
"Spesifik."
"Dia muda."
"Sebab tu kau kata persis?" Dia angguk. Saya melepaskan keluh. Ingat apalah tapinya.
"Aku bukan Khadijah walaupun dia memang Muhammad."
Bibir hati terlarit senyum. Apakah itu satu kebetulan atau sahabat itu sudah merencanakan tuturnya. Kenapa pula tarikh kedatangan ke dunia itu dijadikan ukur atau syarat kasih? Siapakah yang mula-mula menzahirkan syarat itu dan kemudian jadi ikutan? Bukankah semua manusia itu dicipta serentak cuma tarikh hadirnya sahaja yang dibezakan oleh-Nya?
"Rasa kekok," sambung sahabat itu. Saya pandang mukanya yang kelihatan rusuh. Pandang makanan yang tidak diusik di depannya.
"Manis ... jika kau suka dia, dia suka kau ... cukup. Jangan peduli yang lain-lain. Yang penting saling suka."
Sahabat itu pula merenung saya kemudian bersuara, "tapi ada hidup lain di sisi kami. Ada mak bapak dia, kaum kerabat dia, sahabat handai dia."
"Ya, ada aku, mak bapak aku, mak bapak kau, kaum kerabat kau. Tapi ... apa masalahnya?" Potong saya.
"Orang-orang itulah masalahnya."
"Manis, mereka itu hanya sisi-sisi tapi yang akan jadi medan hidup sebenar ialah kesediaan kalian bersama. Kalau kau suka, dia suka dan Tuhan izin semuanya akan jadi."
"Kau fikir semudah itu?"
"Susah bilamana jika kau saja yang suka dia tapi dia tidak ada rasa tu. Kau mendesak dia. Hanya kau yang terhegeh-hegeh. Itulah masalah."
"Ya ... aku nampak dia macam suka."
"Macam tak semestinya benar. Kalau tak pasti berhentilah menganyam impi. Perlu jelas baru semuanya mudah. Lancar."
Manisah memandang ke saya. Saya angguk sambil meneruskan suapan demi suapan. Teringat teman yang menikah dengan seorang lelaki yang sebaya ayahnya. Tidak pula ada sebarang komentar dari sesiapa (setahu kami). Teringat juga teman di stesen penyiaran ternama yang isterinya jauh berusia, tidak cantik (ukuran awam) tetapi berbahagia.
"Tapi aku tak akan mampu bagi dia anak."
"Kalau kau boleh berbagi kasih, nanti bila dia jumpa seseorang, kau izinkan dia nikah lagi. Dapat anak, anak kau juga. Kau boleh?" Duga saya.
Selepas lama dia mendiam, dia perlahan menjawab, "kalau perempuan itu tak macam aku?"
"Memang hanya satu Manisah dalam dunia ini. Tuhan tidak ciptakan dua manusia dalam satu rupa dan sifat."
"Maksudku hatinya."
"Itu kerja Tuhan. Jika takdirnya kau berpisah selepas mereka dapat anak, ya reda sajalah. Jika itu harga yang terpaksa kau bayar untuk ikatan itu, ya ... bayarlah."

Manisah diam. Akhirnya perlahan menyuap makanan. Saya terfikir cuma satu; jika cuma dia yang sememangnya manis itu bertepuk sebelah tangan. Sekali lagi dia akan terluka. Tiba-tiba saya terkenang seorang sahabat di Pasir Mas. Apakah dia bersedia untuk jatuh kasih pada wanita berusia? Saya tidak fikir begitu kerana wanita yang dikenalnya itu bukan Khadijah dan dia bukan Muhammad.

Apapun, selamat berbahagia dengan rasamu sahabat!






Thursday, July 01, 2010

BINTANG TIMUR

SEBUTIR bintang timur yang muncul dan tergantung di langit malamku tiba-tiba sebam dimamah hujan. Bertika-tika kemudian makin hilang laksana kelam jua yang memadang-madang. Aku bertanya kepada desir angin, katanya dia sudah lama tidak melihat apa-apa.

Lalu, juzuk apakah yang kulihat dari celahan cucur atapku itu?