Pages

Sunday, August 29, 2010

TAKDIR & RASA PERCAYA

AKU percaya bahawa takdir adalah benar dan sesuatu itu berlaku dalam peduli Allah. Dia kembalikan sebuah ingat lama. Dan, hati parah dilanda getar. Tuhannnnnnn ...

Saturday, August 28, 2010

MENDENGAR KHABAR

SEMALAM kudengar khabar, luka di tanganmu makin besar. Aku tafakur sebentar. Minta Tuhan kurangkan sakitnya walau luka di hatiku kiranya lebih besar. Tetapi, aku akan selamanya mengasihi dia. Lalu dari rasa kasih itu, aku akan selalu mendoakan yang terbaik untuknya.

Amin.



Wednesday, August 25, 2010

JANJI

AKU berjanji. Tidak menulis lagi. Kepadamu. Kasih. Bila kurasa, kau tidak bahagia membaca catanrasaku.

Monday, August 23, 2010

RAMADHAN YANG DIAM

BEBERAPA teman di FB bertanya kenapa saya diam dari mencatat. Mereka bilang, rindu pada bicaraku. Saya balas, bulan ini bulan diam dari rindu duniawi. Biar sahaja menggembur semangat untuk lebih yakinkan diri, jadi lebih baik dari semalam. Ramadhan ini harapnya dapat menjahit luka hati. Mengubat parut jiwa, menjaga laku dari menyakiti orang-orang sekitar dengan doa-doa.

Tuhan, berilah rahmat-Mu pada hamba yang naif ini. Bila Engkau ambil sebahagian atau seluruh daripada yang telah Engkau sediakan untukku, berikanlah hamba-Mu ini kekuatan menerima suratan itu. Jadikanlah hamba, insan yang selalu sedar; segala yang mampu sentuh dan mampu pandang itu cuma fana. Titipkan rindu iman ke hatiku agar nanti tiada lagi air mengalir dari pelupuk suqma lantaran cinta dunia ini. Amin.

Sunday, August 22, 2010

KETERINGATAN YANG DIPEDULIKAN

Tiadalah lewat sesaat atau cepat akan segala sesuatu yang terjadi ke hidup kita ini. Bilamana Allah menetapkan, KunFayaKun. Maka, semuanya terjadi dengan sempurna. Begitulah.

Saya telah bertemu muka dengan sepupu, Nik Natrah. Bercerita tentang perpisahan dan air mata kami berderai-derai. Kami dilukakan takdir dan saya nampak dia begitu terharu. Aneh, kisah Natrah berjejeran di akhbar tetapi tidak sekalipun hati berdetak tentangnya. Tidak sekalipun saya mengingatnya. Malah kisah Natrah itu telah dipentaskan di Istana Budaya tetapi perkhabaran itu tidak masuk ke sanubarasa saya. Tidak. Selintas pun tidak mengingatkan saya. Benarlah, Allah telah menutup semua ingatan saya padanya kerana saya mendengar desus, Natrah itu Natrah ini. Jadi Natrah seolah-olah hilang dari peta ingatan saya. Kerana - Natrah dibesarkan oleh kakak emaknya. Dan saya, sepupu sebelah ayahnya. Ayah kami adik-beradik. Masih kuat pertalian itu, kalau kami lelaki, kami masih dijadikan penasab waris sebelah menyebelah. Saya boleh memberi wali kepada anak-anak perempuannya, jika sudah tiada wali mutlak dan begitulah sebaliknya.

Suatu hari saya melihat namanya di FB. Hati berdetik. Terus saya menulis pesan kepadanya. Dan, kami berbalas-balas pesan. Ya, begitu janji Tuhan. Hanya kerana satu pandangan sedangkan sebelum ini sudah berkali saya membaca dan mendengar nama itu diuar-uarkan di media. Malah lihat Fatini berbincang tentang kisah Natrah di TV3 suatu waktu tetapi itu tidak meninggalkan kesan apapun.

Dan, menangislah kami. Dan, bahagia sebenarnya. Saya mulai melihat kembali, ke masa lalu. Dia sepupuku, bukan manusia sebagaimana yang pernah kudengar. Dia hidup penuh cinta. Cinta suami dan anak-anak. Sebu dan haru jiwa bila melihat mereka berpelukan sebelum dan ketika anak-anaknya pulang sekolah. Tuhan, maha kaya Engkau menintakan pertemuan itu. Barangkali cinta itu melingkunginya berkat kasih cinta emak saudara yang telah sebati sebagai emaknya. Tuhan ... terima kasih memberi ruang pertemuan itu. Alhamdulillah.

Dan, semalam sesudah lebih 20 tahun terpisah saya ketemu teman lama. Teman yang pernah memberi semangat dan orang pertama mengatakan saya boleh menulis. Tetapi, sebenanrya memang saya telah lama menyimpan angan untuk menulis. Dan, alhamdulillah angan itu menyata tetapi, harga yang saya bayar (mungkin) saya hilang dia untuk setempoh lebih 20 tahun. Tidak saya lupa dia. Tidak saya buang dia dari kenangan tetapi haluan hidup telah mengalih laluan kami. Barangkali di dua arah berbeza padahal kami masih dalam lajuran yang sama - pendidikan. Tetapi, kami tidak sekalipun bertemu malah dia pernah di UM sedangkan aku sudah lama di sini.

Selamat kembali ke laman persahabatan, sahabat. Mudahan Allah memberkati pertemuan ini. Mudahan Allah berikan kita kekuatan untuk terus menjadi manusia insaf. Saya sangat bahagia mendengar suaramu. Mudahan Allah meluruskan perjalanan persahabatan kita. Ada cerita yang tidak sempat saya tulis dan kisah itu biarlah kekal di maqamnya tersendiri.

Lizawati dan Marzuhan. Dua juzuk yang hilang hampir sepuluh tahun. Dan pada Ramadhan ini, Tuhan kembalikan mereka ke laman hidup saya. Alhamdulillah. Liza di Kelantan, begitu juga Marzuhan tetapi tidak saling mencari. Kedua-duanya saya temui di FB. Dapat bertanya khabar dan bertukar cerita. Liza satu kursus dengan saya di UM tahun sesi 1996 begitu juga Marzuhan.

Cerita dengan Liza sangat banyak. Sangat indah. Sangat menyayat. Pendek kata, semua yang sangat-sangatlah sebab kami satu kepala (agaknya). Tetapi, ada juga satu ketika kami bermasam muka. Agak lama juga. Tak ingat puncanya. Barangkali dia tidak suka saya yang lantang. Waktu itu kami tahun akhir (kalau tak silap). Pun, begitulah saya. Tidak pernah menyimpan dendam kepada sesiapa yang pernah menjadi sahabat saya. Selalu ada Liza dalam hati saya tetapi banyak halangan untuk saya mencarinya ke Pengkalan Cepa. Sehinggalah suatu hari saya berdoa sungguh-sungguh supaya Tuhan menemukan kami.

Dan, alhamdulillah. Tuhan pedulikan doa saya. Kami berbual panjang dan tahulah saya, Liza berkerjaya yang unik. Mungkin dalam entri lain, saya akan bercerita tentang kerjayanya. Marzuhan, guru. Tidak banyak tentang Marzuhan yang tercerita kerana dia nampaknya sibuk. Tetapi, aidilfitri ini kami janji akan bertemu dengan geng ini. Marzuhan, Lizawati, Shuhaimi Lua, Zamzuri dan saya. Mudahan Allah menemukan kami dalam damai.

Rupanya keteringatan ini ada gelombangnya tersendiri. Benarlah kata orang tua-tua, jika kita ingatkan seseorang, orang itu juga ingatkan kita. Alhamdulillah.


Monday, August 16, 2010

CERITA TENTANG AKU

Di atas kepalaku purnama. Bayu menyapa rusuk. Aku ingin lena di dalam malam. Izinkan aku bermimpi tentang matahari kerana aku tidak mampu menyentuhnya kala aku jaga.

Wednesday, August 11, 2010

SELAMAT DATANG bulan LAPAR

Selamat datang lapar! Aku alu-alukan hadirmu. Kata seorang teman. Aku alu-alukanmu supaya mereka tahu, aku sudah lama lapar. Aku sudah lama tidak menikmati makan yang teratur. Aku teringat, pelapar-pelapar di mana-mana di Tanah Melayuku ini akan sebentar berbahagia di bulan lapar ini.

Teringat cerita teman-teman. Kata mereka, Ramadhan bulan lapar. Orang lapar, pahala. Maka bersedekahlah mereka ke masjid-masjid. Rumah anak yatim setiap hari ada orang menghantar makanan. Dijemput ke hotel-hotel siap dengan artis memberi hiburan kepada anak-anak yatim ini. Seorang t emanku minggu lepas ke rumah anak yatim di Hulu Klang untuk menaja majlis buka puasa. Kata pentadbirnya, jadual mereka sudah cukup 30 hari.

Masjid-masjid pun mewah berbuka hingga lewat morei. Tetapi jemaahnya tidaklah pulak nampak mahu berlama-lama di masjid. Imam masih berdiri rukuq kat depan, makmun sudah tinggal separuh. Alasan mungkin untuk mengerjakan di rumah dengan lebih banyak (?). Entahlah.

Kesimpulan, orang Islam ini rupanya suka menunjuk. Apakah sedekah tidak laku sebelum datangnya Ramadhan? Apakah tidak ada orang berpuasa atau anak yatim pada bulan tidak puasa? Ah, banyak sebenarnya yang ingin saya tulis tetapi sudah mengantuk. Barangkali kerana berbuka dengan 3 biji kurma, sebiji lempeng gandum dan 3 biji langsat. Tetapi, semalam jumpa satu lagu yang menarik di U-tube. Iramanya mendayu-dayu. Tetapi saya tidak mengambil u-tube penyanyi asal sebaliknya nyanyian seorang penyanyi muda (rancangan realiti) dari Pakistan (rancanan di India - jadi berkali2 diulang sebut Pakistan, Pakistan. Saya pun tak faham, apakah cemburu kpd bakat umat Pakistan itu, atau apa sebab tak faham Tamil). Tetapi, kerana asyik itu mata cerah pulak.

Tiba-tiba rasa teruk. Terlayang di ingatan harilahir seseorang yang sudah lama melupakan saya (saya kira). Apapun, saya mendoakan segala kebahagiaan yang diimpikan tercapai. Doa ini insyaAllah justeru saya tidak pernah menyimpan dendam padanya. Kiranya ingatan ini tidak bermakna kepadamu, lepaskanlah ingatan itu ke celahan daun yang sedang beristirahat.

Salam ingat yang tiada kunjung hilang, jika pernah mengenalku.


Sunday, August 08, 2010

AKU INGIN MENULIS TENTANG CINTA

...tetapi, lebih terkesan pada sebelah ayam yang saya beli semalam. Harganya RM9. Sebelah RM9 bermakna seekor lebih dari RM18 kerana pada bahagian saya itu sudah tiada organ dalamannya. Jadi jika bersekali organ dalamannya, saya kira lebih mahal harganya. Ketika meminta kurang, penjual itu mengatakan semua orang jual begitu. Saya mengeluh panjang, bukan sebab harga yang mahal tetapi sebab saya tidak tahu harga barang sudah semahal itu (saya jarang menggunakan bahan masakan kerana saya lebih memakan makanan kering seperti biskut).

Ketika itu akal sedar saya segera ternampak-nampak pekerja am di negaraku tercinta ini. Pekerja am yang gajinya beberapa sen itu. Katakan pendapatan satu isi rumah cuma RM2000 dan anaknya lima. Rumah disewa / beli dan untuk membayarnya mereka terpaksa menghabiskan kiraan congaknya lebih kurang RM400 (paling kecil). Kenderaan untuk kerja (minyak juga agak mahal) dan perbelanjaan anak-anak. Jika anak di titip ke bawah jagaan orang sekurang-kurangnya RM300 (sekiranya 2 org). Itu belum campur kos makan mereka sekeluarga 7 orang misalnya.

Allahuakbar, apa yang tinggal? Apa yang berbaki? Gula+teh+milo+susu anak+cukai jalan+yuran sekolah anak+api/air+duit kecemasan?


Itu yang ada pendapatan. Bagaimana dengan ibu-ibu tunggal di kampung-kampung yang pendapatan mereka tidak pernah tetap. Kerja cuma ambil upah menjahit. Menjual nasi atau jadi pembantu kedai. Jika dibanci dengan jelas, berapa ramai lagi yang tercicir daripada bantuan? Menyentuh hal banci inipun satu hal. Apa gunanya bancian yang dibuat? Tak kan pihak yang bertanggungjawab membanci untuk semata-mata tahu jumlah Indonesia yang ada di Tanah Melayuku ini sahaja? Bukankah semasa bancian itu juga ditanya pendapatan isi rumah? Jadi, apakah gunanya data tersebut? Untuk kutip cukai tambahan?

Jika dapatan data jelas; pendapatan sesebuah rumah itu di dalam paras miskin apakah tidakan susulan yang dibuat oleh pihak yang menjalankan bancian? Kalau ibu tunggal 6 anak berpendapatan tidak sampai RM200 sebulan, apa tindakan pihak berwajib? Kalau 20 juta rakya Tanah Melayu ini berpendapatan di dalam paras kemiskinan, dan perlu diberi bantuan; mana nak dicekup duit itu? Saya pernah mendengar kawan membantah pertanyaan itu. Seorang kawan lain pula menyampuk, mana perginya duit Baitulmal kalau ibu-ibu tunggal ini mahu meminjam atau meminta bantuan sampai berpuluh kali panjat tangga Baitulmal itu pun tak dapat-dapat sedangkan mereka menyebut, pegawai-pegawai besar di baitulmal itu berMarcedes ke sana sini. Itu belum masuk pendapatan negara yang lain. Minyak, kayu, pasir yang dijual, cukai kemasukan pendatang tanpa izin (yang menjadi dengan izin kemudiannya). Duit cukai pendapatan, cukai itu cukai ini (Tanah Melayuku ini tanah bercukai semua!)

Oh, Tuhan ... kita berbangga untuk membantu Plastine, Acheh, Dapur, dan segala macam negara lain. Apakah salah lagi perbilangan orang tua; kera di hutan disusui, anak di rumah mati tak makan.

Ayam yang saya beli masih beku di peti dan kisah cinta kemas di hati.

Friday, August 06, 2010

AIR MATA DAN SEORANG MALAIKAT KECIL yang bertanya, apakah ketika hujan, manusia tidak masuk neraka?






Sudah lama saya tidak membuka akaun email yang satu itu. Malam ini tetiba teringin untuk meneliti. Dan, benar saya mendapat kisah di bawah. Sangat indah dan mengkagumkan. Saya menangis. Terima kasih kepada penulisnya yang sangat hebat ini justeru berjaya meraih air mata saya. Di sini saya meminta izin penulisnya (saya tak tahu pun siapa penulisnya untuk mengabadikan di laman peribadi saya ini untuk tatapan pada masa akan datang). Sekali lagi terima kasih kepada penulisnya. Mudahan saya akan selalu menangis membacanya. Kisahnya sebagaimana di bawah.

Pada setiap petang Jumaat, selepas solat Jumaat, selepas melayani para jamaah di Masjid, Imam dan putera lelakinya yang berumur 11 tahun akan keluar ke bandar untuk mengedarkan risalah bertajuk “Jalan Ke Syurga” dan juga menyampaikan ceramah agama.

Pada petang Jumaat itu, seperti biasa Imam dan putera lelakinya akan keluar untuk mengedarkan risalah. Bagaimanapun pada petang tersebut keadaan di luar rumah sangat sejuk dan hujan pula turun dengan sangat lebat.

Budak itu memakai baju sejuk dan baju hujan dan berkata “OK ayah, saya sudah bersedia”. Ayahnya berkata “Bersedia untuk apa?”. Budak itu menjawab “Ayah, masa telah tiba untuk kita keluar mengedarkan buku-buku tentang Islam ini”. Ayahnya membalas “Anakku, di luar sana sangat sejuk dan hujan lebat pulak”.

Dengan muka yang kehairanan, budak itu bertanya ayahnya,
“Tetapi ayah, adakah manusia tidak masuk neraka jika hari hujan?”

Ayahnya menjawab,
“Anakku, Ayah tak akan keluar dengan cuaca begini..” Dengan nada sedih, budak itu bertanya, “Ayah, boleh tak benarkan saya pergi?” Ayahnya teragak-agak seketika, kemudian berkata, “Anakku, awak boleh pergi. Bawalah buku ini semua dan berhati-hati” .

Kemudian, budak itu telah keluar dan meredah hujan. Budak sebelas tahun ini berjalan dari pintu ke pintu dan lorong-lorong sekitar bandar. Dia memberikan risalah dan buku kepada setiap orang yang ditemuinya.


Setelah dua jam berjalan dalam hujan, akhirnya tinggal hanya satu naskhah padanya. Ketika itu dia telah basah kuyup dan berasa sejuk hingga ke tulang. Budak itu berhenti di satu penjuru jalan sambil mencari seseorang untuk diberikan buku tersebut. Namun keadaan di situ lengang.

Kemudian dia berpatah balik ke rumah pertama yang dia lalu di lorong itu. Dia berjalan di kaki lima menuju ke rumah tersebut. Bila sampai di pintu hadapan, dia menekan suis loceng namun tiada sesiapa yang membuka pintu. Dia tekan lagi dan lagi, tetapi masih tiada jawapan. Dia tunggu lagi tetapi masih tiada jawapan.
Akhirnya dia berpaling untuk meninggalkan rumah tersebut, tetapi seperti ada sesuatu yang menghalangnya. Dia kembali ke pintu itu dan menekan lagi suis loceng dan buat pertama kalinya mengetuk pintu dengan kuat. Dia tunggu, kemudian seperti sesuatu di anjung rumah itu menghalangnya supaya jangan pergi. Dia menekan suis loceng sekali lagi dan kali ini dengan perlahan pintu dibuka.

Berdiri di hadapan pintu itu seorang perempuan tua yang berwajah kesedihan. Dengan perlahan perempuan tua itu bertanya,
“Apa yang boleh saya bantu awak, wahai budak?”.

Dengan senyuman serta mata yang bersinar yang boleh menyinarkan bumi, budak itu berkata,
“Makcik, saya mohon maaf kalau saya telah mengganggu makcik. Saya hanya ingin memberitahu bahawa Allah sangat sayang dan sentiasa melindungi makcik. Saya datang ini hendak memberikan sebuah buku yang terakhir ada pada saya ini. Buku ini menerangkan semua tentang Tuhan, tujuan sebenar Tuhan menjadikan kita dan bagaimana untuk mencapai kebahagiaan daripada-Nya” .

Kemudian, budak itu menyerahkan buku terakhir itu dan berpaling untuk balik. Sebelum berjalan balik, perempuan itu berkata,
“Terima kasih ya anak dan semoga Tuhan memberkatimu” .

Selepas solat Jumaat pada minggu berikutnya, Imam menyampaikan ceramah agama seperti biasa. Dia menamatkan ceramahnya dengan bertanya,
“ Ada sesiapa yang ingin bertanya soalan atau ingin berkata sesuatu?”.

Dengan perlahan, di barisan belakang di kalangan tempat duduk muslimat, suara seorang perempuan tua kedengaran di speaker,
“Tiada di kalangan jemaah yang berkumpul ini mengenali saya. Saya tidak pernah hadir sebelum ini. Sebelum hari Jumaat yang lepas, saya belum lagi memeluk agama Islam bahkan tidak terfikir langsung untuk memeluknya. Suami saya telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu, meninggalkan saya sebatang kara, saya benar-benar keseorangan di dunia ini."

Pada petang Jumaat yang lepas, ketika cuaca sejuk dan hujan lebat, saya telah bertekad untuk membunuh diri kerana sudah putus harapan untuk hidup. Jadi saya mengambil seutas tali dan sebuah kerusi lalu menaiki loteng di rumah saya. Saya ikat tali tersebut dengan kuat pada kayu palang di bumbung rumah kemudian berdiri di atas kerusi, hujung tali satu lagi saya ikat di sekeliling leher saya. Sambil berdiri di atas kerusi, saya berasa benar-benar keseorangan, patah hati. Saya hampir-hampir hendak melompat tiba-tiba loceng pintu berbunyi di tingkat bawah dan saya tersentak. Saya berfikir untuk menunggu sebentar, dan pasti orang itu akan pergi. Saya tunggu dan tunggu, tetapi bunyi loceng semakin kuat dan bertubi-tubi. Kemudian orang yang menekan suis loceng itu, mengetuk pintu pula dengan kuat. Saya berfikir sendirian lagi
“Siapalah di muka bumi ini yang boleh buat begini? Tiada siapa pernah tekan suis loceng itu atau nak berjumpa dengan saya”. Saya longgarkan tali ikatan di leher dan kemudian pergi ke pintu hadapan. Ketika itu bunyi loceng kuat dan semakin kuat.

Bila saya buka pintu dan lihat, sukar untuk dipercayai oleh mata saya, di anjung rumah saya itu berdiri seorang budak yang sangat comel yang bersinar wajahnya seperti malaikat, tidak pernah saya jumpa sebelum ini di dalam hidup saya. Budak itu tersenyum. Oh! Saya tidak dapat hendak gambarkan kepada anda semua. Perkataan yang keluar daripada mulutnya menyebabkan hati saya yang telah lama mati tiba-tiba hidup semula, seruan budak itu seperti suara bayi yang sangat comel.
“Makcik, saya datang hendak memberitahu bahawa Allah sangat menyayangi dan sentiasa melindungi makcik”. Kemudian dia memberikan kepada saya sebuah buku bertajuk “ Jalan Ke Syurga” yang saya sedang pegang ini.

Bila “malaikat kecil” itu telah pulang meredah sejuk dan hujan, saya menutup pintu dan membaca dengan perlahan setiap perkataan yang tertulis di dalam buku tersebut. Kemudian saya naik semula ke loteng untuk mendapatkan semula tali dan kerusi. Saya tak perlukannya lagi.

Oleh sebab di belakang buku ini ada tertera alamat tempat ini, saya sendiri datang ke masjid ini ingin mengucapkan syukur kepada Tuhan. Tuhan kepada budak kecil yang telah datang tepat pada waktunya, yang dengan demikian telah terhindar jiwa saya daripada keabadian di dalam neraka.


Ramai yang berada di dalam masjid ketika itu menitiskan air mata. Mereka melaungkan
TAKBIR…ALLAH HU AKBAR…gemaan takbir bergema di udara. Imam iaitu ayah kepada budak itu turun dari mimbar pergi ke barisan hadapan di mana “malaikat kecil” itu sedang duduk.

Dia mendakap puteranya dengan air mata keluar tanpa disedarinya. Mungkin tidak ada jemaah yang memiliki saat yang lebih mulia ini dan mungkin di alam semesta ini belum pernah melihat seorang ayah yang penuh kasih sayang dan penghormatan terhadap anaknya. Inilah satu peristiwa..


Berbahagialah anda kerana membaca kisah ini. Jangan biarkan kisah ini di sini sahaja. Bacalah lagi dan sampaikan kepada yang lain. Syurga adalah untuk umat-Nya. Ingatlah, dengan menyebarkan firman Allah boleh mengubah hidup seseorang yang hampir dengan anda. Sila kongsi kisah menarik ini.


Sebarkanlah kalimah Allah, kalau kita bantu Allah, Allah akan membantu kita dalam semua perkara yang kita buat.


Maksud firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 3;


“…pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya), sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu, maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani"

Wednesday, August 04, 2010

BENCI


AKU benci dia
macam babi!

Allahuakbar! Kenapa sejak akhir-akhir ini saya selalu bertemu dengan insan-insan begini. Saya hanya mahu (kalau boleh) hidup dalam kebahagiaan dengar, kebahagiaan fikir dan kebahagiaan tutur tetapi nyatanya, sisi-sisi lain masih terlalu banyak menghimpit dalam tanpa rela.

Dia kata aku nak dia.
Biarlah, dia kata apapun. Itu mulut dia, dia punya sukalah. Balas saya. Yalah, kalau macam tu, sekarang aku nak benci dia, aku punya sukalah sebab itu aku punya rasa. Sambut dia. Saya menggeleng. Rasa terpukul oleh kata sendiri. Mahu jadi kaunselor, konon.

Kenapa benci sangat? Kan, ada pesan yang sebut jangan membenci keterlaluan mana tau jadi suka atau mungkin yang kau benci itu sebenarnya ada kebaikan dalam diri mereka. Tambah saya. Dia pandang muka saya. Matanya berasap. Luapan kemarahan. Dia cakap dengan kawan-kawan dia, aku kekasih dia. Dia terima aku sebab aku terhegeh-hegeh nak dia. Balasnya. Dia menarik nafas dan melepaskan gasang. Terangkat kening saya.

Dia cakap dia dah tidur dengan aku. Aku benci dia macam babi! Satu-satu suaranya terbit dari bibir, macam berlakon tetapi pancaran amarahnya jelas. Berapi. Segera saya palingkan muka ke lain. Tidak sanggup saya tatap lagi. Saya tidak percaya tetapi dia menyambung, kalaulah pernah ada sedikit rasa itu untuk dia, sebaik sahaja aku mendengar itu, semuanya hapus. Semua dan aku berdoa kepada Tuhan, tidak akan ada sampai mati kerana aku tak akan serahkan hatiku pada babi.

Astaghfirullah ...


Tuesday, August 03, 2010

SAMAN

MEMANG mengejutkan. Kata seorang teman, saman dan bayaran paking memang celaka! Adus ... sampai begitu sekali amoknya. Saya pandang mukanya lama. Saya tanyakan kenapa dia berpendapat begitu. Dia menjawab dengan marah, katanya saman itu menandakan PTj yang membikin saman itu muflis. Lahanat. Wah ... ini isu menarik. Kalau pihak tertentu dengar, mahu ke ISA, kata saya. Dia membalas, memang celaka. Hmmm ... nampaknya petang kami itu dipenuhi dengan caci maki.

Kita bayar cukai jalan. Insuran. Kita bawa lebih dari laju sikit kena saman. Saman ekor pulak. Tak tau mana salah. Alih-alih sampai surat saman. Tak lahanat namanya? Apa benda bodohnya, bangangnya depa? Saya menggeleng kepala. Kalau taknak orang bawak kereta laju, kau buatlah kereta yang had lajunya sampai 120km/jam sahaja. Bukan sampai 200km/jam. Semua kereta dah dipandu ujilah sebelum mereka luluskan untuk jualan. Jadi kenapa nak bising pasal kemalangan. Kau ingat laju itu satu-satunya punca kemalangan? Saya diam. Banyak lagi lahanat!

Tanda nama jalan tak jelas. Pokok tumbang, jalan licin, jalan belobang-lobang, bengkang-bengkok, kenderaan bermuatan lebih di depan atau belakang kita, bercinta dalam kereta, balas sms sambil memandu, mencekik dalam kereta, mabuk (todi, tapai, mabuk cinta pun boleh termasuk jugak), lemah jantung pun boleh jadi penyebab jugak. Bukan laju saja. Tekan kawanku itu. Aku diam. Berfikir-fikir dan kemudian angguk. Benar.

Kenapa kalau kemalangan disebabkan pokok tumbang atau jalan tak elok, PTj tu tak saman pihak PTj satu lagi tu? Kita pun tak boleh saman depa. Sambungnya lagi. Logik juga akal dia. Alih-alih bila kita bawak laju, suka hati mak bapak dia je, saman. Apa dia ingat duit yang kita bayar saman tu, halal untuk depa kedarah ke? Kau ingat orang rela ke bayar saman tu? Bukan depa saja makan, kita pun makan sebab dari duit tulah jugak gaji kita dibayar. Balas saya.

Hoi...abis pendapatan negara mana pegi kalau dari duit saman bagi kita makan? Mana duit zakat? KWSP, Petronas, cukai pendapatan dan banyak lagi tu? Mana pegi? Aku tak hinginlah makan duit tak halal. Aku makan dari titik peluh aku. Saya cuba sabarkan dia.

Kalau disaman bila berlaku kemalangan dan terbukti kemalangan itu disebabkan oleh kelajuan yang tidak terkawal, ya ... saman. Aku pun sokong kalau macam tu sebab dia telah merosakkan jalan, menganggu hak pengguna jalan yang lain tapi kalau takde kemalangan, malah tak tau di mana pun tempat saman itu dilakukan, memang gilalah namanya. Macam bawak kereta tu satu kesalahan pulak. Takkan ada manusia nak mampos di jalan raya suka-suka. Ada otak ke tak?

Satu lagi pasal paking. Ni pun celanat jugak. Dahlah bayar cukai jalan. Bila berhenti nak pegi beli susu anak pun, kena bayar paking. Apa kejadahnya ni? Orang paking dalam longkang ke? Saya terpinga-pinga. Apa maksud dia ni? Orang paking tepi jalan, kan? Tepi jalan tu bukan jalan ke? Jadi, cuba pikir dengan kepala hotak bukan kepala lutut, cukai jalan kena bayar, paking tepi jalan jalan pun kena bayar, ya Allah. Lainlah kalau kita pegi pasaraya. Pihak pasaraya itu yang sediakan paking, wajarlah depa ambik paking tapi kalau tepi jalan? Gila ... memang gila! Macam mana nak jadi negara kelas maju kalau otak masih kelas dungu? Cuba kau pikir, berapa banyak duit kita kena belanja untuk hidup sehari-harian ni? Tu belum lagi yang saman salah paking. Kita yang bawahan ini dahlah gaji kecik, nak kena bayar macam-macam tapi orang yang kat atas sana nu, banyak benar percumanya. Paking ada elaun, minyak ada elaun, jalan selangkah ada elaun. Duit gaji tak usik. Cukup bulan sejuk-sejuk masuk bank. Cukup tahun makan angin luar negara. Kita, seposen merah pun tak tersimpan. Harapkan duit KWSP je, itupun tak boleh nak keluarkan even nak pegi Mekah tapi boleh nak beli komputer peribadi. Tak celaka lagi namanya tu?

Semuanya gila memang gila! Lahanat.
Lepas tu saya tidak dengar lagi apa yang dia cakap. Marah sungguh nampak kawan saya itu sambil berlalu meninggalkan saya di kedai bunga sepupu saya itu. Sepupu saya menggeleng dan menambah. Betul jugak apa yang dia kata, kan?

Saya terdiam dan beristighfar.


PERTEMUAN

ALHAMDULILLAH, sungguh aku sangat bahagia. Tuhan mempertemukan aku dengan sepupuku yang entah berapa puluh tahun tidak berjumpa. Sebenarnya memang kami tidak pernah kenalpun. Tetapi, aku tahu namanya kerana gemulah bapa saudaraku selalu menyebut tentang anaknya yang itu. Nik Natrah Nik Mat.

Suatu hari aku ternampak namanya di FB. Aku menghantar pesanan dan dia membalas. Balasan itu menyatakan apa yang kuduga. Alhamdulillah, kami akhirnya bersapa-sapa di maya besar ini. Pun, kami masih belum berkesempatan jumpa justeru dia di Batu Pahat. Menikah dan berkeluarga di sana. Rupanya ibu bapanya sudah lama meninggal dunia. Jadi, dia sudah menukar kewarganegerian. Kelantan hanya dalam kenanganlah, agaknya.

Dan dua hari sudah, aku mendapat sapaan dari teman lamaku. Che Soo Ismail. Dia hilang dari senarai sahabatku kira-kira lima enam tahun lepas. Aku mencari-cari. Selalu mencari di FB dan juga di google tetapi tidak jumpa. Beberapa hari lepas dia meninggalkan pesan di Gapura Fikir. Allahuakbar. Tuhan mengembalikan dia kepadaku. Dia mengirimkan email dan aku meninggalkan nombor telefon dan dia menghubungi. Duhai ... menangis dia dan aku sebak menahan air mata.

Akan selalu kuucap ini, terima kasih Tuhan. Memberikan kami ruang untuk masih bersama. Sekarang aku masih mencari dua sahabatku. Seorang guru yang berasal dari Kedah. Abdul Aziz Ishak namanya dan seorang lagi tidak tahu apa pekerjaannya kini. Asal dari Kuala Kangsar. Namanya aku tidak berapa ingat tetapi kami bertemu dalam satu kursus "Asas Perniagaan" yang dianjurkan oleh MARA di Morib pada tahun 1992, kalau tak silap. Akan cuba kuingat namanya. InsyaAllah.

Sehingga ini, aku sudah sangat bersyukur. Alhamdulillah.


Monday, August 02, 2010

HARI BARU

TIDAK sebenarnya. Hanya berpergian. Seperti air lalu barangkali. Atau seperti angin yang tidak pernah kita kenal. Begitulah hari agaknya. Siapakah yang pandai2 meletakkan nama hari? Justeru dengan nama itulah hari dikatakan berulang sedangkan hari melawati. Hari memang terus berpergian dan tidak pernah berhenti walaupun sedetik.

Seperti dini ini. Aku tidak bisa lelap walaupun malam dijadikan Tuhan untuk insan lena di dalamnya. Aku amati ke mata. Tiada apa. Ke rasa, ternyata ada sesuatu. Sejak akhir-akhir ini mata sukar lelap. Barangkali aku sudah kembali ke alam yang telah lama kulepaskan dari gengaman - alam rindu.

Tuhan, berilah aku rahmat-Mu. Kekuatan-Mu untuk kulawan getarindu ini agar tidak menjadi unsur lalainya aku dari mengingat-Mu.

Sunday, August 01, 2010

SEBAB LAPAR

SEORANG teman bertanya, kenapa mudah sangat jatuh kasih? Saya menjawab, pernahkah kau tahu mengapa kau lapar. Mahukah kau lapar atau muntah? Teman itu diam.