Pages

Sunday, September 12, 2010

RAYA & KESAL

JANJI cuma tinggal janji. Untuk ke sana sini. Aku sangat marah raya ini. Tetapi, apa dayaku. Bunyi sangat lemah kenyataan ini, tetapi itu hakikat. Selalunya pabila di kampung aku tidak membiasakan diri menonton. Aku memang tidak suka hatta berita. Aku tengok Internet sahaja. Lebih senyap. Pun, satu malam, aku pulang dari berbuka di rumah Maksu di Changgai, Cik (kebiasaan bagi kerabat 'raja' di Kelantan, membahasakan emak mereka dengan panggilan 'cik' kepada emak) sedang menonton. Aku terlihat laporan berita tentang 'wanita Islam' yang hilang.

Ayah Nik (ayah tiriku) sedang tekuni berita. Rupanya dia sudah tahu sebelumnya dan aku belum. Dia bertanya seolah-olah aku tahu dan katakan sesuatu yang negatif tetapi negatif itu akhirnya menjadi kenyataan. Negatif yang aku jangkakan itu sebenarnya sudah dapat dihidu kerana 'kehilangan'. Kalau menyelidik sejarah, jarang benda atau perkara atau apapun yang 'hilang' ditemui kembali. Kecuali 'pelarian' memandangkan kedua-dua subjek ini berbeza motifnya.

Pelarian banyak motif tetapi yang lebih kerap dihubungkan dengan pelarian ialah persoalan yang berkait hati. Merajuk, kecewa, marah, dendam, geram malah ada juga yang benci (kepada sesuatu atau seseorang) lalu mengambil langkah 'bijak' - lari. Namun pelarian selalunya ada noktah. Apalagi sesudah hatinya kembali benar-benar bijak dan 'sembuh'. Mereka akan pulang tetapi persoalan 'hilang', agak rumit. Apalagi yang hilang itu individu tersohor.

begitu aku katakan kepada ayah tiriku. Dia angguk-angguk. Harap dia faham dan tentunya lebih faham apabila hakikat kehilangan itu terjawab menjelang aidilfitri. Dan, memang sangkaku tepat. Aku kesal. Mengapa sangkaku benar. Dan, aku kira bukan cuma sangkaku yang benar malah jutaan rakyat Tanah Melayu ini yang telah benar. Dan, bukan kesalku sahaja yang menerewang di angkasa Tanah Melayu ini semenjak sahihnya berita kehilangan dan kepergian 'gemulah ini'. Aku yakin berjuta lagi manusia di Tanah Melayu ini yang kesal dengan 'kejadian' itu. Yang marah, yang geram, yang ingin membalas dendam kepada 'si pembuat" tanpa iman itu meski 'gemulah ini' itu bukan saudara, kawan atau sahabat mereka.

Seperti aku yang tidak sedikitpun tersuih darah dengan 'gemulah ini' itu, aku kira begitu jugalah yang dirasai oleh mereka yang berasa. Rasa kesal. Kesal kepada banyak sebab. Kesal kepada 'kejadian' yang sepatutnya tidak berlaku (tidak membicarakan ketentuan takdir). Dalam sebuah negara yang sudah maju (?), polis merata-riti, undang-undang tubuh negara dan undang-undang kepada penduduk negara sudah sangat banyak dan sudah lama dipraktikkan, kesedaran orang ramai tentang hukum itu-ini juga sudah tinggi, malah yang paling mustahak keterbukaan sikap masyarakat kita juga sudah luas. Sangat luas dan terbuka. Ini dapat dilihat dalam hal 'gemulah ini' dengan tertuduh yang berlainan ras itu.

'Gemulah ini' mempercayai tertuduh (bukan dari ras sama) lalu memberikan sejumlah wang untuk urusan perniagaan. Jika bersempit fikir, kita akan kata begini, dalam banyak manusia Islam di Tanah Melayu ini, kenapa tidak dicari seorang dan diberi kepercayaan (amanah) itu? Mengapa yang bukan Islam itu juga yang dipercayai? Sedangkan dalam satu hadis (sahih atau dhaif, tidak pasti) mengatakan, jika ada tiga manusia dan duanya bukan Muslim, hendaklah kamu mengangkat yang Muslim sebagai ketua. Memang tidak dinafikan masih ramai Muslim yang tidak jujur tetapi jika kita yakin ketika menyerahkan amanah itu dan masing-masing berserah kepada Allah dengan jujur, barangkali peratusan untuk tidak berlaku hal-hal yang telah berlaku ini lebih besar.

Bukan maksudku memperemehkan hubungan ras di Tanah Melayu ini tetapi sekadar memberikan satu paparan cara fikir orang-orang kuno yang tidak sekolah. Orang berpendidikan kata, agama itu tidak ada apa selain untuk upacara nikah dan mati. Ras itu jangan disebut sebab perlu menjaga kerukunan bernegara.

Aku benar-benar marah. Rayaku rasanya seperti terbakar bukan oleh mercun yang membingitkan telinga tepi oleh resah bernegara. Tanah Melayu Ini, tanah kita!