Pages

Friday, December 23, 2011

MENGHADIRI WAKTU

undangan daripada Hawa dan keluarganya ingin sekali dipenuhi. Moga Allah permudahkan perjalanan ke Parit Buntar. Mungkinkah singgah di tanah tinggi Cameron untuk melihat kuntuman ros yang menjadi teman May Asyiqin sekarang.

Tuesday, December 20, 2011

Prolog May Rapsodi

Perlahan-lahan May tolak kotak merah baldu di sebelahnya ke tepi. Imran pandang muka May dengan debar-debar. May halakan pandangan ke hadapan. Merenung bunga-bunga yang sedang berkembang. Dia ternampak-nampak Ehsan yang memetik sekuntum ros dan sebentar datang lalu meletakkan ros merah itu di tangannya. Tiba-tiba gebar yang menutup badan Ehsan terjatuh di kakinya. Lelaki itu tunduk untuk mengambil tetapi sepantasnya dia mencapai. Dia kibar gebar abu-abu itu sebelum membungkus badan Ehsan. Dia peluk Ehsan dari belakang. Sungguh dia mencintai lelaki Ehsan. Telah Kau ikat kami dengan tali ghaib ini Allahku, maka teguhkanlah kasihcinta ini.

"Kau orang baik-baik. Lelaki hina macam aku, kotor macam aku, tak layak jadi penghulu, jadi pemimpin. Apatah lagi jadi suami pada orang baik macam kau, kan?" Ujar Imran dengan kasar tapi sayu.

"Pujian hanya untuk Allah tapi saya pun tak suka disindir begitu ..."

"May, maafkanlah aku."

"Ehsan telah membawa pergi rasa itu meski saya masih berhati. Menatap matanya dan rasai cinta sehingga nyawanya di hujung halkum," May berhenti sebentar sambil menghalakan pandangan ke biola di sebelah kanannya dan sebentar menyambung, " ... maha suci Allah menghadiahi kami perkahwinan yang seindah ini ..."

"Tapi Ehsan sudah tak ada May ..."

"Ada ... dia akan selalu ada dalam hatiku." Balas May sambil mengusap biola yang selalu digunakan suaminya suatu ketika. Penuh kasih dia mengangkat ke bahu dan memirengkan sedikit kepala ke bahu kirinya. Bow diletakkan ke tali sementara jejari kirinya menyangga kepala biola. Perlahan-lahan bow bertali ekor kuda itu ditarikan di tali-tali yang terikat pada badan biola berona jinga tua itu. Menusuk hingga ke segenap liang dengar. Ngilu bertebaran di celahan kembang yang sedang menakluk tanah tinggi itu.

May, berhentilah menyiksa diri dengan irama luka itu.

~ petikan May Rapsodi ~


Wednesday, December 14, 2011

JATUH CINTA ii

... terima kasih Allahku, memberi ruang kunikmati lagi. Terima kasih kau yang selalu hadir ketika aku benar-benar perlukan. Akalmu, kasihmu dan segala yang wajar kita kongsi. Moga kita akan selalu bersyukur, pada rahmat ini. Amin.


Wednesday, December 07, 2011

PINTA

di dalam malam, hanyalah kepada-Mu. Mohon dikukuhkan iman. Jika benar bukan tertinta untuk kami berkongsi cinta ...


Friday, December 02, 2011

SYURGA HATI

Akhir November 2011 indah. Benarlah janji Allah, bila Dia mengkehendakinya berlaku maka berlakulah. Beberapa bulan lepas, aku berhasrat untuk mencari sejada cantik. Aku suka ungu, dalam hati aku mahu cari sedadah ungu. Pun, waktu terlalu menyekat langkah. Tidak sempat aku mencarinya. Tetapi, selalu ada. Memang aku mahu cari sejadah yang cantik. Yang jika aku duduk di situ sampai jadi mahu berlama-lama. Begitu mahuku.

Tiba-tiba November 28, Profesor Dr Azizah, profesor di jabatanku yang baru pulang dari Tanah Rasulallah, menghulur satu bungkusan. Allahuakbar. Maha agung Dia. Menyempurnakan keinginanku yang tertangguh. Hampir menangis aku. Mengelakkan gugurnya air hati di kamar kerja beliau, aku makan kacangan yang dibawa dari lembah Mekah Madinah.

Benar-benar terkesima kau menerima hadiah yang sememangnya beliau juga tidak tahu keinginanku untuk mendapat sejadah baru dengan rona impian. Alhamdulillah. Alhamdlillah. Tak terbalas aku akan nikmatmu, Allahku.

Dan, dua tiga hari sebelum itu, aku juga menerima hadiah daripada seorang teman yang masih belum lama kukenali. Soffia namanya. Cantik orangnya dan secantik itu juga budinya. Aku fikir begitu meskipun kami baru beberapa kali bertemu. Dia ke Jakarta dan membawa balik batik biru, warna yang juga kusuka. Satu purse dan kipas tangan. Terdiam aku di rumah sahabat kami yang kupanggil dia Cik Bunga, Iris Ixora. Seorang penulis novel Melayu di Shah Alam. Aku tertanya-tanya, apakah alasan dia menghulurkan aku batik yang menawan itu sedangkan kami masih lagi baru berkawan. Katanya, dia nampak mukaku ketika memilih batik tersebut. Masya-Allah. Terharunya hatiku yang kecil ini. Sejauh itu kau berjalan, masih ada ingatanmu padaku Pia? Tiada ungkap yang lebih bermakna selain dari terima kasih. Cuma itu, hanya itu yang mampu kuberi.

Soffia, aku pernah punya kawan yang mengaku sahabat. Yang mengaku murid, mengaku itu mengaku ini. Tetapi, benar-benar aku terharu dengan ingatanmu. Bukan kerana batik dan hadiah-hadiah iringan itu tetapi kerana ingatan itu. Jikapun kau hanya berikan aku sehelai kertas sekalipun, aku tetap menghargainya. Pia, terima kasih. Dan, kepada Cik Bunga, aku juga ucapkan terima kasih kerana membeli beg kecil dari Hong Kong untukku.

Allahuakbar. Kasih sayang kalian selalu membuatkan hati kecilku terasa besar. Dan, terim akasih juga kepada Marina bekas pelajar di Kolej Kediaman 4, UM dulu. Dia ke Korea pertengahan November. Beria-ia dia menelefon untuk bertemuku. Katanya ada buah tangan dari Korea. Aku bertemunya juga di akhir November. Sehelai kain kapas putih berbunga merah diunjukkan ke aku. Katanya, kain itu diberi percuma kepadanya. Terdiam aku seketika. Katanya lagi, ketika dia berhasrat membelikan untukku, penjual Korea itu lantas tidak mahu mengambil wangnya. Lalu aku katakan kepada Marina, jadi yang menghadiahkan kain ini dua orang. Awak dan dia yang tak saya kenal. Terima kasih. Marina manis tersenyum. Allahuakbar, maha besar cinta-Mu Allahku.

Akhir November 2011 juga Siti Hajar sahabatku menghantar sebuah 'oven'. Terdiam lagi aku. Katanya, hadiah masuk rumah baru. Hati kembang berbunga-bunga. Memang aku masih belum membeli oven. Microvave, aku tak suka. Aku niat, mahu mencari oven tetapi masih juga seperti hasrat memiliki sejadah cantik - aku tetap tidak punya cukup waktu untuk ke kedai elektrik. Aku suka makan kek badam dan kek lobak merah. Jadi, aku berhasrat sangat untuk membuatnya sendiri. Dan, hari ini telah hadir di depan mataku peranti untuk keinginanku. Allahuakbar.

Apakah lagi yang wajar kukatakan jika bukan 'alhamdulillah'? Benarlah kata emakku, rezeki itu datang dalam rupa angin, air atau mungkin juga taufan. Kadang-kadang kita rasa sesuatu yang teruntuk kepada kita itu tidak sesuai sedangkan Allah tidak pernah berbuat pekerjaan sia-sia. Tidak diberikan kepada kita sesuatu selain untuk kita berfikir tentangnya. Ketika ini, aku benar-benar terasa kerdil. Malu kepada-Mu, Allahku kerana Kau terlalu banyak memberi sedangkan aku tidak pernah berasa cukup. Kau berikan rezeki yang benar-benar aku harapkan itu melalui tangan-tangan insan-insan yang kenal dan rapat denganku. Dan, terngiang-ngiang kata emak, syurga hidup itu ada di hatimu.

Adakah lagi rezeki akan Kauberi untukku melalui tangan seseorang yang mungkin tak akan kulepas hingga ke mimpi?

Thursday, December 01, 2011