Pages

Friday, August 27, 2004

hari ini, Jumaat. ada satu persoalan baru yang ditimbulkan oleh pelajar saya; bagaimana mencari 'niche' diri? saya termenung seketika. saya terfikir, pembelajaran sekarang nampaknya lebih berupa hafalan-hafalan yang agak tidak begitu membantu pelajar berfikir. sistem semester kelihatan 'membentuk' pelajar mengejar waktu yang diuntukkan tanpa 'membenarkan' mereka berkreatif. jaluran yang dibuat oleh para penggubal mata kuliah menjuruskan pelajar mengikutinya tanpa bisa mengelak.
bagaimana mahu mengenal kekuatan sebenar diri? itu persoalan yang mungkin tidak sukar dijawab justeru setiap kita tahu minat sebenar kita namun apakah kita mampu memaknakan minat itu? ada orang minat memasak dan berjaya menjadikan minat itu sebagai satu punca pendapatan, begitu juga dengan bidang nyanyian, atau lakonan, 'craft' dan sebagainya. minat dalam bidang perundangan atau kewangan membuatkan manusia bermati-matian berusaha menjadikan minat mereka satu kerjaya. ada juga manusia yang ingin berkuasa, lalu mereka akan cuba sedaya-upaya untuk berkuasa. untuk merealisasikan impian itu mereka membayarnya dengan harga yang bukan murah. ada yang membayarnya dengan nyawa, maruah dan tidak kurang juga dengan harta.

kehidupan ini anugerah yang indah. lalu, saya katakan kepada pelajar saya itu, belajarlah mengenal minat sebenar kemudian adilinya dengan hati yang jujur. saya katakan, minat sebenar itu pada saya ialah apa yang sering kali kita buat semasa masih kanak-kanak. pada saya impian-impian sewaktu kita masih belum mengerti makna perdaya, pengaruhan, pembacaan, mendengar pendapat orang ; itulah minat sebenar kita.
pelajar itu termenung di hadapan saya. katanya dia tidak punya apa-apa impian tertangguh lantaran semua yang dikehendakinya telah dipenuhi oleh keluarga.
saya kematian kata!


Wednesday, August 25, 2004


semalam harijadi temanku. SELAMAT HARI ULANGTAHUN. ungkapan biasa yang selalu diucapkan kepada diri orang lain dan kepada diri sendiri (seharusnya) telah kuucapkan buatnya. tidak tahu, apakah itu yang ditunggu atau mungkin saja itu ungkapan biasa juga baginya. entah.

kerap kali kita tidak mampu menjelaskan warna dengan kata-kata. tidak kira warna hati, warna rasa atau warna hidup. walaupun ada ketikanya kita mampu berbicara tanpa henti untuk sekian waktu namun semua itu bukan ukuran untuk kita bersuara dalam waktu-waktu lainnya. begitulah saya, untuk beberapa waktu ini. sukar untuk mempericikan kejadian-kejadian yang berlaku di persekitaran hatta di sudut paling tersusut. itulah kita, kadangkalanya berani dan pada kala-kala yang lain kita akan jadi begitu 'bercinta' untuk membuka mulut.

'bercinta' itu justeru ada halangan-halangan yang sangat tidak praktikal. yang sama sekali tidak kita duga justeru kita selalu anggap manusia lain juga seperi kita walhal orang tetap orang waima dia itu seketurunan dengan kita.

apapun, ini hanyalah satu ocehan kecil sesudah lama tidak menulis di laman ini. sekali lagi selamat hari lahir untuk teman saya itu kendati saya tidak pernah tahu itu hari lahirnya yang ke berapa!