Saturday, March 31, 2012

... dalam sasar


nanar aku
memujuk debar tatkala terkilas kerlingmu
di celahan deru yang berganti lalu
mendengar suaramu menata ruang
menyaksi derap kakimu memenjam waktu
memandang senyummu jauh dan tak tersapa aku.

kaku
bisu
malu
bersatu dalam aku yang rindu
padamu.

Allahku, ampuni resah ini. Ampuni ingat ini. Ampuni seluruh gerakku. Ampuni pandangan yang jauh dan indah ini.

Angkasapuri
31/03/2012


Friday, March 30, 2012

... aku ingin lelap dalam cinta

begitulah. Aku ingin biarpun cuma sekali bisa kusandarkan lelah di dadamu. Dan, tanpa dosa.

Monday, March 12, 2012

BULAN PAGI

... kelmarin pun aku masih menunggu. Hatta hari ini. Aku akan terus menunggu kerana penantian itu membenihkan harapan. Ada yang kita tunggu. Jikapun tidak kita dapat atau tidak temui apa yang kita harap, masih ada nikmat hati. Jika kita jujur, kita pasti akan rasai itu. Nikmat jujur dalam menanti. Yang penuh keindahan. Yang penuh kebahagian. Yang penuh debar-debar. Dan, tentu kita tahu yang debar-debar itu indah.

Begitulah daku. Menolak daun pintu selepas israq yang damai. Mengintai hadirmu. Kalau-kalau muncul di depan mata. Pun, mataku disepuh pandang kepada sebuah bulan. Di langit pagi. Aku terpaku di situ sebelum bergegas mengambil alat perakam. Tiba-tiba teringat pesan Ustaz Azhar Idrus yang mengulang kata dari lidah Rasulullah, pagi-pagi pandanglah seketika langit. Amati warnanya. Nescaya timbul keinsafan. Dan, benarlah katamu Rasulullah. Aku rasa seperti tidak mahu berkelip memandang ke langit. Seperti mahu terbang dan berdendang dengan bulan.

Bulan pagi. Tidak mampu kuperjelas dengan kata. Rasa yang kuperhalusi kemudiannya kutahu sebagai kagum. Selalu aku berlama-lama di jendela melihat bulan malam tetapi belum kunikmati indahnya bulan pagi. Barangkali dikejar waktu, barangkali kerana tiada kepedulian ke alam. Maha agung ciptaan-Nya. Dari hanya selintas pandang menghasilkan renungan dan dari renungan itu aku sedar. Kerdilnya daku.

Astarafirullah. Ya Karim ... ya Rahman, ampuni aku kerana terlalu lama tidak memandang langit dan alam. Terima kasih kerana mendenakkan insaf ini.

Wednesday, March 07, 2012

PERAHU & MALAM

adalah kau dan aku
tertangkap waktu
tertinggal
terkurung dalam bisu
hingga kita berhadap dalam wajah tanpa kisah
dan aku memejam dalam hitam yang menawan ruang
dari penjuru ke penjuru
seperti hujan yang larut di muka air
begitulah kita terus membaca dan melukis senyuman dalam ingat yang sayu.
Kita persis mengatur jalan waktu dan melukisnya menjadi perahu dan malam lalu mengintai ke liang rasa biarpun yang ada cuma kelam. Dan, akulah itu berbicara pada bayangmu, kasih. Dalam ingat yang seru.

Sunday, March 04, 2012

catatan.malam

Perjalanan malam itu bermula selepas sesi makan malam. Ikan, udang dan ayam bakar. Nikmat. Alhamdulillah. Kami akan bermalam di Pulau Suri pada 27/02/2012 malam. Begitu jadualnya. Dan, rombongan kami berlepas dari jeti Pulau Beluru menuju Pulau Suri dalam malam. Tiada lampu. Tiada apa-apa. Bot yang kami tumpang itu bot yang digunakan oleh penduduk sekitar ke sekolah di Pulau Beluru. Ada yang bawa beg tayar, laptop dan macam-macam peralatan. Dalam hati aku rasa sedikit gementar. Berbot di dalam malam tanpa sepicing cahaya? Mereka dah biasa, balas Cikgu Wan yang siang tadi menjadi penunjuk jalan kepadaku yang sampai terlewat ke Tumpat seterusnya ke Pulau Beluru berpandukan GPRS kerana mendatangui Sekolah Menengah Tok Janggut di Pasir Puteh terlebih dahulu.

"Pantulan dari cahaya di air akan silaukan mereka sebab tu, mereka bergerak dalam gelap."
"Tak bertembung?"
"Ada juga tapi tak selalu."
"Aduh ..."
"Bahasa alam. Mereka dah biasa. Langit luas memberikan mereka petunjuk."

Dan, malam itu aku membaca segala ayat yang terlintas. Mohon kepada Allah agar perjalanan itu selamat. Dalam bot, tiada suara. Tiada keluh. Tiada apa-apa. Hanya enjin bot kedengaran menderu-deru. Sesekali kuat dan sesekali diperlahankan. Aku mengambil beberapa keping foto dalam gelap. Cahaya dari flash menangkap beberapa objek yang aku tidak tahu apapun justeru tiada sesuatu pun yang tertangkap retina untuk ditafsir. Hanya sesekali nampak ada kerlipan cahaya dari lampu-lampu di rumah di pulau-pulau yang kami lintasi untuk ke Pulau Suri. Selebihnya gelap.

Esoknya (28/02/2012) kami sekali lagi menaiki bot menuju Pulau Beluru dari Pulau Suri. Dalam bot riuh-rendah. Barangkali mengkada kesenyapan semalam. Cuma ini, secungkir pengalaman malam yang gundah dan melekat. Kerja-kerja kebajikan oleh persatuan PUSPA (Persatuan Perempuan Kelantan di KL dan Selangor) terasa cepat berlalu. Kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan Zainab (2) dan pelajar Sekolah Menengah Mahaad Muhamadi (P) yang aku ramahi, kekal dalam ingat. Mudahan kita diberi umur untuk bertemu lagi, anak-anak manis.

perempuan tanpa muka ii Dia cuba bangkit dalam payah. Ya, aku cuma melihat. Cuma. Aku tidak menghulurkan tangan. Tidak juga bersimpat...