Friday, May 28, 2010

AKU DATANG, SURABAYA...

DI KLIA 26.05.2010, aku ditemani Qie. Bukan Marzuki, bukan Maliki. Namanya cuma Qie. Melayu keturunan India Penang campur Siam, campur Pakistan. Aku masih berkejar-kejar pagi itu justeru beberapa perkara yang tidak sempat aku selesaikan. Laporan tesis sarjana, yang baru kudapat (Jumaat 21/05, petang) sangat menalukku. Memenjarakan aku. Menyiksa aku. Meskipun sudah dibaca dan tetapi pabila dibaca kali kedua (pemeriksaan kali kedua), masih meletihkan. Sepatutnya yang dilihat adalah perkara-perkara yang telah dicatatkan semasa bacaan pertama dulu. Telah disesuaikan atau belum. Kadang-kadang terfikir di benakku, apakah mereka ini manusia yang ada mata atau sehelai kertas?
Saya selesaikan semua sesudah jam 12. Tidak sempat makan (dari pagi). Bergegas pulang sebentar mengambil barang-barang yang hendak dibawa langsung ke KLIA. Memang penat. Akal dan fizikal. Nasib baik semuanya mudah. Selesai jamak zohor dan azar terus bergerak ke pintu perlepasan ketika jam di telefon menunjukkan pukul 4:00. Berlari menuju ke MH 873. Meletakkan beg dan duduk di sebelah seorang warga Indonesia yang pada kiraanku sekitar 30-an (dan benar agakan itu setelah kami bersapa).
Ali Mustofa, pemuda dari Blitar itu (pada mulanya saya lihat seperti agak bosan. Hampir semua majalah di poket kusyen kapal terbang itu dibaca) mengenalkan diri setelah saya bertanya perihal kad yang perlu diisi dan diserahkan semasa di lapangan terbang. Terasa sedikit kekok kerana saya berpaspot sementara. Dia menjelaskan satu persatu dan kami pun berbual panjang. Mengenai pelbagai perkara. Pasal ibunya yang baru meninggal dan pasal abang dan kakaknya yang sudah mendapat IC merah di Malaysia. Dia nampak jujur dan bertanggungjawab. Sebelum kami mengambil hala masing-masing (saya ke bilik soal siasat justeru paspot dan tidak bervisa) Ali memberikan alamat dan nombor telefon. Pesannya, datanglah ke Blitar - tepat makamnya Sukarno? (Saya tidak memperhatikan kerana memang tidak berhajat berlibur-libur di Surabaya). Saya datang justeru tugas.
Sesampai di Lapangan terbang Surabaya, saya dijemput oleh Pak Suhartono dan keluarga. Kami makan dan akhirnya beliau menghantar saya ke gang III, Ketintang Timur. Di depan Universitas Surabaya (UNESA). Ketika itu jam sudah hampir mencecah 12. Sangat penat. Sesudah membersihkan kamar dan jamak isyak dan maghrib, aku terlelap dengan mimpi bersayapkan awan malam.
Sambut aku Surabaya!

Monday, May 24, 2010

MENANTI

AKU masih menanti walaupun sampai saat ini. Aku masih berharap dia datang di depan pintu. Menghadiahi sekuntum senyum. Aku sambut dan mencium senyumnya. Menyimpan di lemarijiwa. Tetapi, yang datang cuma hujan. Lebat. Membawa taufan dan badai. Membawa malam pengap dan dingin yang ngilu tanpa persis. Tahulah aku, selama ini dia hanya bergurau dengan rasa. Bermain pada jiwa. Mahu melihat aku kesasarindu dalam parah yang dalam. Dia hanya mahu ...melihatku seperti dia melihat wayang di kelir.
Saya pandang catatan di bawah pintu. Saya angkat ke penatapan dan membacanya perlahan. Alangkah anehnya rasa manusia. Fikirku, alangkah baik jika rintihan itu tidak diletakkan di bawah pintu saya. Tidak saya membacanya. Tidak saya kasihan padanya...jikalau itu saya. Duhai ...

Friday, May 21, 2010

TUGAS & TUGAS

KERJA dunia tak selesai selagi malikat-maut tak cabut nyawa. Kata paduka bondaku. Aku akur dalam hati. Aku akur luar hati. Memang tidak akan habis. Sibuk mengalahkan menteri (kata sahabatku, bila masa menteri sibuk kecuali pada musim pilihanraya/semua tugas ada sub-sub/ada pembantu/ macam-macam ada). Aku bukan menteri, makanya aku sangat sibuk.
Dalam dua minggu dua kali balik kampung. Minggu pertama balik bersama sahabatku Lua Suhaimi. Aku kira aku melawat cik sebelum ke Surabaya. Minta restu (emmm...bolehlah dikatakan begitu). Kebetulan Lua pun ada hal di kampung dengan keluarga jadi dapatlah kami bergilir-gilir memandu ke Kelantan tercinta. Balik minggu kedua pasal cik nak tukar nama tanah. Aku kena jadi saksi dan bawa pakcik dari Kuantan ke kampung (sebab tanah itu nama pakcik nak ditukar nama. Alih-alih cik kata nak tukar ke nama aku? Dapat tanah? Tanah tu harta, kata kawanku. Harta? Astaghfirullah, sebenarnya aku takut sangat memegang amanah ini.) Takut sangat aku, kalau-kalau harta itu tuntut hak dia di akhirat kelak (boleh aku fikir begini?)
Dari mendatangi majlis akiqah Nik Muhd Ihsan Salahuddin (anak Raja Irfah Hilyani, sepupuku) di Indera Mahkota perjalanan berlanjut ke kampung. Jadi supir! Pakcik (ayah Raja Irfah) tak berapa sihat selepas kena serangan strok beberapa tahun lalu. Jadi kami pun balik dalam santai selepas beliau tunaikan asar. Memandu dalam santai dan hujan men'santai'kan lagi perjalanan kami. Sambil bercerita tentang masa kecilku. Dan, pakcik bertanya macam-macam. Dan, aku juga perlahan-lahan bertanya macam-macam padanya termasuk 'kisah kasih' tak selesainya dengan saudara kami. Lucu juga, sebab rupanya kisah orang dulu-dulu lebih banyak diam. Kisah yang tak pernah kutanyakan walaupun sudah lebih tiga puluh tahun. Walaupun aku sangat rapat dengan pakcikku ini malah aku rasakan dialah ayahku sebab aku duduk dengan beliau sejak kecil (adik cikku yang bungsu).
Isnin pagi terus ke Pejabat Tanah Pasir Puteh untuk urusan (kerajaan). Begitu begini, begitu begini (stem hasil harus beli di pejabat pos yang lebih seratus meter dari pejabat tanah, sudah mati stem, kena buat salinan borang-borang sekali lagi kena keluar dari kawasan itu lebih kurang 300 meter. Kadang-kadang terfikir, kenapa begitu pelik sistem. Bila nak maju? Nak cekap? Efisyen?) Masuk pejabatpun kena buka kasut dan selipar, macam masuk surau. Di depan-depan pelanggan dilonggokkan. Kalaulah ada orang luar datang untuk berurusan - entahlah.
Hampir jam satu tengahari, baru siap.
Selepas pakcik membeli-belah (memang pakcikku mahir bab membeli belah barangan pasar sejak aku ingat) di 'market' pekan kami, kami balik dan bersiaga untuk balik ke Kuantan petang itu. Cik minta balik lewat sikit tapi pakcik bimbang hujan semakin lebat dan selsemanya kian menjadi. Jadi kami bertolak balik pada 17/05 petang. nasib baik, kawanku Qie sudi menjadi teman a.k.a supir (hmmmm...aku dah jadi supir sebelumnya). Singgah di Losong. Keropok lekor (orang kelantan sebut 'kerpok leka') dan keropok keping sempat capai gitu-gitu saja. Tak tahu mana sedap mana kurang. Nak hubungi Zulhusain, rasa tak sempat sebab ada pakcik dan Qie. Kalau tak, mungkin aku bermalam di KT malam itu.
Di KL masih banyak yang belum siap. Pasport dalam simpanan tiada. Tesis pembetulan (pelajar master) harus diselesaikan sebelum Selasa 25/05/2010 dan beberapa perkara lain bersangkutan sebatikalku ke Surabaya belum selesai. Tadi (21/05/2010) ke Brickfields buat report pasport yang 'ghaib' (dah tamat tempoh dua tahun lepas pun). Alhamdulillah, bukan 'disoal siasat' sebaliknya diminta untuk memberi ceramah 'komunikasi' pula. Aku katakan aku akan agak lama di Surabaya. SB yang menanganiku itu menghulurkan sekeping kad.
Adusss...perut agak pedih. Rupanya aku belum makan hari ini. Di mana nak kucari makan sesudah selewat ini? Kalaulah di dalam Syurga ...

Wednesday, May 19, 2010

HUJAN DAN BURUNG PATAH SAYAP

AKU melihat seekor burung dara patah sayap. Jatuh di celahan renyai hujan senja. Kuyup dan nampak dingin. Datang belas ke hatiku. Tidak sanggup melihat air, sakit dan dingin padanya. Tetapi, aku mengubat luka seekor camar - suatu ketika. Dan, sesudah camar itu lalu untuk terbang, burung putih itu pergi mendepani langit luas. Tidak pernah muncul lagi hatta mengucapkan salam hari.
Tempias kian besar. Aku tutup jendela hati.

Tuesday, May 18, 2010

INGIN

AKU ingin menulis tentang aku. Aku ingin berbicara dengan aku. Aku ingin berceloteh padaku kerana aku sudah tiada kau.

Saturday, May 15, 2010

MELAMAR RINDU

"APA?"
"Ya, melamar rindunya."
Hatiku cair. Mengapa begitu? Mengapa perlu dilamar rindu. Jika jujur ada yang merindui kita, usah dirayu.
"Aku bukan merayu, aku malamar tapi cuma dari dalam."
"Dari dalam?"
"Ya, dari dalam hatiku."
"Lalu, dia tidak tahu kau merindui dia?"
"Barangkali tau."
"Oooo...jadi kaulah yang tak malu."
"Merindui itu berdosa?"
Aku hanya manusia yang tidak pernah melihat buku dosa. Aku akur, merindu itu bukan perbuatan. Rindu itu hadir seperti salsilah alam yang tiada tentu tarikh mula dan tidak pasti bila akan akhir. Yang aku tahu sejak Adam yang tidak pernah mampu dibayangkan. Pun Adam itu hakikat yang perlu kuyakini untuk melengkapkan 'rukun iman'. Jadi salah satu 'rukun iman' itu percaya kepada perkara ghaib (malaikat). Sesatlah jika mengatakan rindu itu perkara ghaib tetapi percaya yang menghadirkan rindu itu wajib, tentunya. Tetapi, rindu yang bagaimana? Rindu Rabiatul Adawiyah itu mungkin tapi kalau rindu manusia naif macam kita? Hampirlah berdosa, barangkali atau silap-silap memang bukan barangkali lagi.
"Aku tak pernah meminta rasa itu. Kami kebetulan kenal. Malah aku tak pernah memandangpun ke matanya, mencari marak rasa di situ."
"Jadi kau tidak tahu sama ada dia bersungguh atau bergurau?"
"Biarlah dia bergurau jika dia mahu."
"Laaaa..."
"Rinduku bukan rindu kulit ke kulit, rinduku tersenyap di rasa."
"Dia?"
"Dia...dia yang meminta."
"Kemudian meninggalkan kau dalam parah begini?"
Sahabatku itu senyum. Sejuk mata memandang. Aku nampak senyumnya padu. Bahagia. Aku cemburu. Gila, merindu dan bahagia walaupun nampak terlalu sakit pada lintasan yang sama.
"Jika ini harga yang perlu kubayar untuk sebuah rasa, aku sedang."
Polos dan jujur bunyinya. Terlalu.
"Tuhan menganugerahi rasa itu ke dia. Aku yakin walaupun dia kian diam."
"Hah ... diam? Dia meminta kemudian dia pergi begitu-begitu sahaja?Itu kerja tak bersivik, kawan..."
"Barangkali dia sedang perit di satu petak dunia yang lain. Aku hargainya dari rasa insaf terdalam. Jika aku di tempatnya, belum tentu aku akan dapat bertahan. Lalu aku sudah sangat bersyukur, aku jadi aku dan dia adalah dia dalam wajahnya yang sering kubawa ke mimpi."
"Kawan, kau fikir kau sedang kembali ke zaman platonik?"
"Aku di alam yakin. Bukan ainul yakin tapi haq'qul yakin. Cukup bagiku, dia diam begitu. Mudahan suatu hari aku tak lagi melamar rindunya."
"Sedar maksudnya itu?"
"Kami sedang membina dua garis selari yang tidak ada titik temu walaupun dia katakan, kita tidak pernah tahu rencana esok. Walaupun dia katakan, itu kerja Tuhan."
"Kau sayang dia?"
"Tuhan yang memberi. Aku tak pernah meminta."
"Dan?"
"Biarlah Tuhan jelaskan padamu."
"Kau yakin, rindumu benar?"
"Sedasar manusia naif seperti aku, hanya ini yang mampu kuperbuat. Merindu dan mendiam. Jika memang kami telah tertakdir untuk satu sama lain, aku bersyukur dan jika sebaliknya aku juga bersyukur."
Aku pandang jam di dinding. Kenangan hilang terbang. Sudah hampir jam sebelas. Harus segera berangkat ke Kuantan. Meraikan aqiqah anak sepupuku, anak Raja Irfah Hilyani. Nama? Oh, aku lupa! Nanti Cikje ingat, anak manis...

Wednesday, May 12, 2010

SURAU

PERJALANAN ke Kuching menggunakan terminal tambang murah LCCT suatu siang. Turun dari rumah agak awal justeru penerbangan (ini) agak cerewet, kata teman sebelah. Saya mengiakan sahaja meskipun belum pernah mengalami masalah kecuali sekali delay (penerbangan dari Langkawi suatu masa yang sudah agak lama). Saya menyiapkan diri dengan wuduk untuk berdhuha di LCCT memandangkan penerbangan itu memberi saya ruang untuk meraikan kehadiran hari. Kesyukuran justeru masih Allah lanjutkan usia dan memurahkan rezeki.
Selepas check-in, saya dan teman melilau mencari surau. Dan, kami dikejutkan dengan manga terpasang pada pintu surau perempuan. Hati saya beriak geram. Masya-Allah. Surau pun dikunci. Dan, kami beransur ke ruang legar LCCT dengan omelan yang berbuahkan kesal. Apa tidaknya, saya yakin tentulah bukan cuma berdua atau bertiga muslim yang mahu tunaikan dhuha mereka dan terpaksa dibatalkan. Perlahan-lahan saya pujuk hati pabila teringat satu hadis (sahih @ dhaif - tak pasti) rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Dan, salah satunya lapang sebelum sempit. Dan, rupanya pagi itu kami sudah disempitkan ruang dari bersunat. Astaraghfirullah - bolehkan diklasifikasikan begitu sedangkan ruang itu ditutup oleh manusia. Apakah penguasa di situ tidak terfikir akan perkara 'sunat-sunat' atau mereka menganggap tiang agama itu terbangun dari yang wajib-wajib cuma?
Saya tercenung bertika-tika. Kalau saya lelaki mungkin tak sukar untuk bersolat di latar mana pun tetapi aurat wanita itu lebih daripada kaum Muhammad makanya kami lepaskan dhuha berlalu menuju matahari zohor dalam kedu di hati. Kawan di sebelah bersuara. Antara yang masuk ke telinga (sudah maklum dan yakin anda juga sependapat dengan saya) perkataan tidur, makan, baring-baring, berborak, buat kotor dan lagi dan lagi sementara mata melihat-lihat manusia di ruang LCCT dengan fikiran kosong.
Tiba-tiba teringat; Kau (yakni Allah) berikan dunia kepada manusia yang akan selalu merosakkan. Lalu berikan kami (yakni iblis dan syaitan) keizinan untuk menyesatkan mereka hingga kiamat. Allahuakbar!

Tuesday, May 11, 2010

MEMBUNUHKU

Mereka fikir akan berjaya membunuh ketika pedang terhunus. Merek ingat mereka punya kuasa untuk mencabut nyawa yang kita pinjam ini semudah mereka mencungkil sisa makanan di celahan gigi. Atau barangkali mereka berkira-kira punya kesaktian untuk menghancurlumat keupayaan hati yang selain hatinya. Begitu, saya cuma menghantar sebuah komentar.
Saya tidak punya apa-apa hatta mengerakkan jari. Jika mereka mahu membunuh saya justeru kehebatan mereka, ya begitulah. Diitakdirkan saya yang keluar dari jasad ibu sendirian dan naif ini akan mati di mata pedang seseorang, apalagi upaya saya untuk berdalih atau ke mana dunia lagi bisa saya lari. Kun fa yakun. Itu janji Tuhan, makanya saya tidak akan menyesali takdir.
Seorang teman bilang, kau seperti tidak takut kepada amaran-amaran itu. Saya senyum. Dia menambah, kau seolah-olah sedang bahagia. Saya menjawab, "Tuhan sedang mengujiku." Dia bertanya lagi, "bagaimana itu?" Saya menjawab, "memberikan aku rasa indah." "Maksudmu?" Saya menambah, "aku sedang bahagia." "Bahagia kerana bakal dibunuh?" Saya menyambung lagi, "mereka membunuhku sudah lama tetapi aku tidak sadar justeru ralit melihat para malaikat sedang mengubah warna dan susun serta rukun di hatiku." "Aku tak faham," balas teman itu. "Tak payahlah kau faham, cukuplah jika mereka yang kenal aku, yang faham."
Teman itu mengaru kepalanya. Saya senyum, selalu senyum kerana hati sedang diresapi bunga-bunga bahagia. Tuhan, berkatilah rasa ini jika benar Kau mahu aku mengaminkan anugerah-Mu. Kasih, aku istiqamah dengan janjiku - insyaAllah.

Tuesday, May 04, 2010

MERAJUK dan rajuk

Saya bukan ahli psikologi. Bukan juga mengajar subjek itu. Tidak juga cuba-cuba menjadi manusia yang menjangka-jangka dalam banyak perkara. Banyak lagi perkara lain yang perlu saya buat. Semalam (3/4/2010) seorang sahabat datang ke bilik sesudah berziarah ke tanah suci. Alhamdulilah, saya sangat bahagia bagi pihak beliau dan keluarganya. Syukur sungguh kerana saya sendiri masih belum mampu berziarah dan bersujud di tanah Muhammad itu. Saya pun selalu berimpian, suatu hari dalam masa tidak jauh ini , saya mampu ke sana. InsyaAllah.
Namun sesudah dia meninggalkan pintu kamar kerja saya itu, saya jadi musykil. Kenapa kawan saya ini jadi semakin pelik? Sesudah balik dari sana jadi semakin mudah dan kuat merajuk. Hati tertanya-tanya, apakah itu satu petanda baik atau sedang menjalani satu transformasi usia? Entahlah. Dalam waktu-waktu begini saya sangat malas memikirkan orang lain kerana bagi saya, rajuk itu bukan cara saya. Saya (seingat-ingat) tidak pernah merajuk. Saya malah selalu berterus terang dalam banyak keadaan. Sebabnya; saya tidak suka orang merajuk atau memujuk. Justeru itu saya tak reti merajuk.
Bagi saya, sesiapa yang suka merajuk bermakna dia masih tidak matang. Mahu mencari perhatian lebih dan ketinggalan zaman. Rajuk bagi saya; tidak akan membawa sebarang perubahan baik kepada hubungan. Barangkali saya ini tidak cukup sifat perempuan; kerana tidak pandai merajuk atau lelaki yang suka merajuk ini terlebih kromosom Y. Eh, betul begitu?
Suka hati awaklah kawan. Nak merajuk atau nak menyimpan rajuk itu. Itu bukan cara saya. Jika dengan cara itu awak mahu meletakkan noktah kepada persahabatan; terpulanglah. Saya tidak rasa perlu menangis kerana saya sangat percaya kepada kata-Nya; kun fayakun!

perempuan tanpa muka ii Dia cuba bangkit dalam payah. Ya, aku cuma melihat. Cuma. Aku tidak menghulurkan tangan. Tidak juga bersimpat...