Wednesday, November 30, 2011

JIKA

aku terhabis umur di dunia ini, kaukah yang akan menurunkan jasad kakuku ke lahad? Menitipkan doa sehingga kau juga kembali ke tanah sebelum kita bertemu Allah dan Muhammad junjungan, kasih?

Terasa usia perlahan habis dimakan anai-anai.


Monday, November 28, 2011

MENATANG ingat

tak mudah. Aku harus bertewas dengannya yang datang dalam juzuk puing-puing ke akal. Puing-puing itu menyusup ke jauh rasa. Berubah menjadi jarum yang mencucuk ke segenap liang nafas. Darahnya mengalir dalam merah.

Pun, aku bahagia justeru masih mampu menikmati rasa. Dengan darah itu aku selalu ingat, Allah sedang mengujiku. Padamu kasih yang selalu meluangkan sebahagian dari waktu-waktu sukarmu, ucap sanjung kutinta karena kau melorongkan cinta benar seorang manusia buatku. Cinta mustaqim.

Di dalam aku, bukan jarak atau jurus pandang yang bernama kepastian tetapi kejauhan ini selalu indah. Pergilah mendada mayaloka, aku kenal perdu hati.


Friday, November 25, 2011

BILA masih ...

ada esok untukku melihat matamu. Aku berharap Allah masih menantiku. Dan, aku juga berharap dapat mengaminkan doa selepas asar dan selepas maghribmu, kasih.


Thursday, November 24, 2011

SEWAKTU-WAKTU

berkelintar mencari hati, terdengar suaramu menyebut namaku. Atau apakah itu hanya personamu yang berpilin kekal pada sauh ingatku?

Kasih, tahu sejahtera bersamamu, maklum latar dudukmu sudah memadai karena aku tak pernah berhasrat mengikatmu atas nama cinta hingga mendahului takdir!

Wednesday, November 16, 2011

BILA KAU

pergi, gerimis tak henti menyimbah kaca tingkapku. Dan, aku saban waktu menunggu. Hitam dan kelam seluruh penjuru kecuali pintu itu. Tempat aku menantimu, kasih.

Setelah kau pergi, deru mati dari menyepuh darat atau alur. Atau sungai atau laut. Atau langit atau angkasaloka. Sungguh, ingat ini sebuah diam yang tak terkucah. Aku akan menyimpannya kemaskejap. Biar cuma Allah tahu. Dan, aku yakin kau tak pernah mati dari purijiwa. InsyaAllah.



Saturday, November 05, 2011

AIDIL ADHA 2011

aku masih tidak sampai ke sana, pada musim ini. Allahku, jangan Kau tarik bahagianku jika ada nanti untukku. Mohon Allahku, aku mahu mendatangi bumi Rasullulah dan bumi-Mu. Mohon jua.

Salam korban dan mengingat falsafah korban Ismail dan Ibrahim. Mudahan kita tak hanya mendengar kisah itu tetapi menilainya dengan kasih sayang, cinta dan iman.

Salam aidul adha kepada semua. Maaf, jika pembaca yang membaca coretan-coretan kecil aku ini pernah terkecil hati dengan sikap dan perlakuanku. Mudahan kita tak membawa sakit hati itu ke jauh masa. Amin.

DI SEJADAH CINTA

kita pernah mengadap-Nya, di sini. Kiblatnya satu. Cinta juga satu. Walau dari dinding yang berbeza atau ruang yang berlainan, yang kita mohon hanya cinta yang satu. Cinta-Nya yang terindah. Cinta manusia naif seperti kita. Semalam banyak yang dataang memangang kemanusiaan sementaraku.

Menjelang senja aku terlihat satu imej bergerak di skrin. Seorang pendidik wanita universiti berkata, "kejarlah cinta Allah. Pasti akan hadir cinta manusia. Mengejar cinta manusia membuatkan kita kian jauh dari cinta Allah."

Air mataku berjurai di pipi. Masya-Allah ... maha suci Dia memberikan daku kerahmatan berada di depan tv padahal aku jarang menonton. Rupanya mahu diberikan daku nikmat air mata. Nikmat sedar. Perlahan-lahan aku tafakur. Menilai kembali kata-kata wanita cantik itu. Lebih cantik kerana dia doktor dan pembelajarannya mendekatkan dia kepada Allah. Masih segar katanya di pusar ingatku. Masih utuh tatap matanya yang mengkagumkan. Benar, aku terhanyut dalam kekaguman. Katanya dalam dalam retina mata manusia itu terdapat berjuta sel yang berbeza. Dan dengan sel itulah kita memandang.

Petang hingga malam, aku melilau-lilau ke skrin tv. Banyak sungguh promo "anugerah tv" bakal muncul malamnya. Dan, malamnya ketika di satu saluran menyediakan rancangan tentang masyarakat Islam dunia bersiap menyambut hari Arafah dengan lintas langsung ke Mekah dan Madinah yang dipenuhi manusia-manusia berihram dan bagi umat Tanah Jawi akan beriduladha, esok (06/11/2011) satu stesen tv utama Malaysia sedang menyiarkan siaran langsung "anugerah tv" tersebut. Ironinya, ketika Dr Ridhuan Thee sedang mengajarkan penonton salurannya berniat puasa sunat hari Arafah untuk hari ini (05/11/2011) tiga orang penyanyi perempuan sedang membuat persembahan hebat hingga menampakkan pangkal paha. Astaghfirullah ...

Benar-benar terkilan. Dalam 360 hari, kenapa malam itu yang jadi pilihan stesen tv tersebut? Bukan maksud memuliakan sesama manusia tetapi 'tunai haji' merupakan Rukun Islam. Jika kita masih tidak mampu meredah ujian ke sana, tidak bolehkah kita sama-sama menghargai datangnya hari 'hari arafah' yang dikatakan oleh orang tua-tua sebagai hari yang baik untuk bermunajat selepas Lailatul Qadar? Kutipan di bawah ini aku rasa kukuh untuk dijadikan sandaran.

Diriwayatkan oleh Abi Qatadah al-Ansari, Rasaulullah SAW telah ditanya mengenai puasa hari Arafah dan baginda menjawab, "dikafarahkan (ampun dosa) setahun lalu dan setahun yang akan datang"(Sahih Muslim dan Tarmizi). Persoalannya, wajarkah rancangan sebegitu disiarkan pada malam begini? Pandangan aku, bukan tidak boleh tetapi pilihlah malam lain. Selama inipun Malaysia bukannya Islam sangat walaupun 'mentauhidkan' Islam sebagai agama rasmi.

Teringat pula teori 'agenda setting'. Kata Bernard Cohen (1963), "the press may not be successful much of the time in telling people what to think, but it is stunningly successful in telling its readers what to think about.”Bernard Cohen (1963) stated: “The press may not be successful much of the time in telling people what to think, but it is stunningly successful in telling its readers what to think about.”

Siapa pengatur agenda di stesen tv Malaysia? Aku tidak membazir masa. Kamar dan karpet merahku lagi indah dari karpet merah di PWTC, fikirku.





Friday, November 04, 2011

MUSIM GUGUR

telah datang. Orkidku berserak di lantai. Dan, sayu melihat kuntum pujaan bertukar juzuk. Berubah rupa. Lama aku menekur di duduk. Merenung kuntuman yang tak lagi segar seperti suatu waktu. Yang kurasa syahdu menyentuh ranginya. Kurasa indah menatap ungunya. Tiba-tiba insaf. Suatu waktu aku juga akan begini - kembali ke tanah.
Dalam merenung kuntuman yang gugur itu ingin aku datang ke sisimu, kasih. Menghadiahkan sejambak kembang tetapi bungakah? Tidak. Bukan bunga hadiahnya. Pun, aku akan selalu menghargaimu dalam waktu manapun dan keadaan apapun.

Rindu.

Thursday, November 03, 2011

KITA, APA YANG KITA MAKAN

pernah kita dengar frasa begitu, tentunya. Maksudnya, makan banyak gemuk. Makan sikit kurus. Makan rasuah kena tangkap (kalau nasib tak baik). Makan hati bila sedih. Makan apa lagi?

31/10/2011, aku dijamu hidangan selazat ini oleh pihak Sekolah Menengah Temenggong, Kati. Perak. Dalam daerah Kuala Kangsar. Ketika itulah, hati terkenang-kenang seorang teman dari daerah ini yang kukenal dalam satu kursus di Morib puluhan tahun dulu. Namanya kalau tak silap Asyraf. Di mana agaknya Asyraf? Entah-entah ada di KL pun. Masih aku ingat, ketika itu aku sakit perut yang sakit, dan beliau berikan madu lebah yang kukira baik untuk sakitku. Selepas kursus anjuran MARA selama 21 hari itu, kami terpisah - hingga sekarang.

Pun, lintasan-lintasan kenangan selalu. Tidak tahu bagaimana mahu mencari. Mahu kuucap terima kasih yang tertangguh. Mahu aku bertandang ke Kuala Kangsar lagi. Mahu kunikmati durian sebagaimana hari itu lagi. Mahu aku jahit kembali siratulrahmi yang terkoyak oleh kekangan waktu dan pencarian makna hidup masing-masing. Seingat aku, Asyraf pada masa itu mengusahakan 'bidai'. Mohon Allah temukan kembali kami. Dan, andainya takdir tak menentukan begitu lagi, aku akan terus berdoa untuk kesejateraannya. Budi baikmu tak akan kulupa.

Berbalik kepada tajuk, aku fikir ramai dalam kalangan kita makan apa yang mereka suka bukan makan apa yang sepatutnya mereka makan. Termasuk aku. Aku suka makanan kampung walaupun dalam posisi kecil. Dari dulu. Pernah kawan-kawan cadangkan aku ke luar negara menyambung pelajaran kerana peluang terbuka. Aku sambut dalam wacana mudah, "nanti kalau aku nak makan pucuk paku goreng belacan, siput sedut (versi kampung aku), peria goreng telur, terung goreng garam kunyit, atau tahu sumbat macam mana? Mungkin semua tu ada di mana-mana pun di pelosok dunia ini tetapi ada ke siput sedut versi kampung aku tu?

Baik, aku selalu katakan begini kepada mereka yang pernah mengikuti bengkelku, jangan biarkan diri dijajah oleh apapun hatta makanan jika mahu berjaya. Orang berjaya, mereka yang berani melawan kehendak. Mengekang keinginan-keinginan. Jadi, aku cakap tak serupa bikin? Jawapannya begini, sebenarnya aku 'tidak mahu' berpisah dengan tanah ini. Aku mahu di sini menikmati hidup. Ke mana-mana pun aku boleh berpergian andai punya kesempatan zahir batin. Aku masih belum mengenal dengan rinci bumi Tanah Melayu ini. Aku mahu. Aku mahu menghidu harum rumput dan masam tanah dengan insaf. Aku mahu melihat rumput di tanah lahirku yang mungkin tak sama denngan harum kenanga di Arau atau Sibu. Atau Kundasang. Inilah antropologiku. Harus bagiku memahami antropologi untuk memberiku faham tentang epistimologi dan etimologi, kerja kreatifku. Biar kenal seluruhnya bukan melalui cakapan orang atau buku yang ditulis, yang tak kutahu sahih tidak itu.

Tiba-tiba aku teringat, suatu hari kau di depanku. Makan nasi goreng tanpa khyusuk dengan menepis sana sini. Menolak itu ini dan akhirnya tidak terselesai. Kita sudah lama tak bersua. Tika itu kau jawab soalanku dalam gementar. Sedang aku sendiri menegur dengan hati ketar. Hujung waktu, kau kenyit mata dan sebuah pesanan ringkas singgah di telefon, memohon maaf kerana insan-insan di sekeliling tak memungkin kita bersapa.

Kasih, pandangan itu ternyata lebih indah dari sapa. Masih lekat dalam ingatku. Tak mimpat walau seculin.

Wednesday, November 02, 2011

PERJALANAN WAKTU

yang sarat doa itu akhirnya sampai di destinasi. Pertama kali merentasi sempadan Kelantan-Perak melewati Gerik, mengesankan. Indah dan hati berbunga. Santai. Gerak, rasa meringan. Biarpun itulah kali pertama dan bersendirian.
Taiping yang didestinasikan, capai. Sesampai, terus memasak bersama Amy. Malam berjamu nasi dagang bersama keluarga Amy, teman yang kukenali dari Internet kira-kira sepuluh tahun lalu. Sambil memasak sambil mengimbas kembali hubungan kami. Sesekali suami yang beliau gelar 'abang misai' menjenggah dan menyampuk perbualan kami. Dua anak lelakinya turut membantu. Dapur meriah. Selesai masak waktu Maghrib meruangi Taping. Isyak berlalu, kami makan bersama keluarga abang ipar dan adik iparnya. Dan setelahnya, tersadai.

Pagi 31/10/2011, aku teruskan perjalanan ke Kati. Daerah Kuala Kangsar. Sekolah Menengah Temenggong. Melawat 'Geleri Seni Budaya' yang diusahakan oleh cikgu berbakat dan kreatif, Cikgu Suhaimi Ahmad membuatkan aku terkaku di tapak. Terpajan kaki rasanya. Betapa gigihnya insan di pedalaman. Pelbagai aktiviti dibuat untuk menghidupkan suasana. Menurut Cikgu Suhaimi, Syed Ali (pelakon yang banyak membintangi drama Melayu kini), pelajar Sekolah Menengah Temenggong, dulu. Teringat, aku pernah makan-makan dengan Syed Ali, Azam Pitt dan Shuaimi Lua di Pantai Dalam suatu ketika.

'Bicara Kreatif' berakhir jam dua petang dan dihidangkan jamuan istimewa. Bersila rapat aku. Ikan pekasam, masak lemak ikan kembung, kangkung goreng belacan dan ulaman plus sambal belacan. Dua tiga pelajar yang menolong dan Cikgu Shidah yang peramah menjadikan hidangan tengahari itu makin sedap di lidah. Terima kasih semua. Pelajar yang aktif dan Cikgu Suhaimi serta keramahan bicara Pengetua membuatkan aku tak terasa jauhnya jarak. Hilang letih di perjalanan.

Melalui jalan pulang ke KL dalam lebat hujan membasahkan ingatan dengan rautmu di pelupuk kenang, kasih. Tanahmu kujelang meski entah di mana dikau saat itu.


perempuan tanpa muka ii Dia cuba bangkit dalam payah. Ya, aku cuma melihat. Cuma. Aku tidak menghulurkan tangan. Tidak juga bersimpat...