
...dan 'putu halba'. Puluhan tahun aku tidak sempat merasa putu halba kerana takdir hidup. Selalunya ubi kayu parut dikukus bersama manisan, halba dan dimakan bersama kelapa parut ini hanya ada pada musim hujan. Tetapi itulah, musim dan waktu telah memisahkan aku dari putu halba.
Suatu hari, kasihku bertanya. Apa yang hendak kumakan jika dia ke KL. Aku bilang putu halba. Dan, dia sampai di kota hidup ini sesudah jam bertukar hari. Aku menanti persis hamil anak pertama. Tuhan ... Kau takdirkan jauh ini untukku menalakan hidup dan kasihku datang dengan rindu berabad.
Suatu hari yang lain, aku ketemu kasihku di tanah lahir. Hari itu hujan. Ada orang menjual putu halba di tepi jalan. Dia katakan padaku, itu putu halba kesukaan awak, kan? Dia berhentikan kenderaan dan membelikan untukku. Hatiku luluh. Rupanya, masih dia ingat tentang aku walaupun kami sudah sekian waktu dipisahkan takdir. Barangkali dia juga parah mahu membuang ingat tentangku.
Kelmarin (02/01/2011), aku beli putu halba. Kutelan bersama deraian air yang gugur dari pengkalan rindu. Padanya seorang kasih yang telah pergi tetapi tidak pernah mati dari ingatku. Kerana jika ada cinta manusia, hanya dia yang aku cinta sebagai manusia.
Tuhan, alangkah peritnya menerima takdir-Mu. Keringkan air luka dari lubuk sukmaku. Mohon, ya Allah...