Pages

Wednesday, March 23, 2011

Maka Rajuna Tapa pun Membuka Pintu Kota

PERSEMBAHAN teater yang akan diadakan pada 28 & 29 di KPS nanti, merupakan kerja para pelajar AKEA 2010 utnuk kursus Retorik. Tajuk yang digunakan MRTpMPK sebagai kependekan daripada tajuk di atas. Panjang, bukan tidak menarik tetapi konsep pendek itu yang kupilih untuk sedikit kelainan.
Mengapa Rajuna Tapa yang dipilih? Kerana dia derhaka? Kerana dia penentang? Kerana aku mencintai Andak, Cik Fatimah, Tun Khatijah, Cik Kenanga, Rajuna Tapa dan ramai lagi rakyat marhaen yang didera pembesar yang leka dan sombong itu. Kerana itu aku mengangkat kisah ini untuk dibawakan ke skrip.
Tunggu, aku menulis lagi tentang MRTpMPK.

Friday, March 18, 2011

PULANG iv

RABU petang, sahabatku bertolak balik ke KB. Pulang untuk menginsafi kepergian paduka ayah yang ke 40, bilangnya padaku. Biar ibu tiriku tidak memberitahu apa-apa tentang tahlil, mungkin juga disebabkan beberapa kali panggilannya tak kujawab, katanya. Aku pulang untuk ayahku. Untuk menginsafi sebuah kematian untuk kehidupan.
Seperti biasa, dia memandu sendirian. Aku berpesan padanya supaya memandu dengan takbir dan dalam keadaan wuduk. Jika berlaku kemalangan dan kita meninggal, kita berharap mendapat pahala jihad (sepatutnya aku tidak usah berpesan kerana dia lebih baik daripadaku). Dia senyum, Begitulah selalunya dia. Senyum. Dia ajak aku balik, aku katakan berat hati. Biarlah dari tempat ini aku menginsafi diri. Akan kubacalah mengikut kadar mampuku dan kusedekahkan kepada paduka ayah. Dan, semalam alhamdulillah sempat kusedekahkan mengikut kadar sendiri. Bertahlil untuk ayah selepas Isyak. Sebenarnya - untuk menyedarkan diri tentang kubur yang telah ditamui ayah, tok nenek dan penasab-penasabku terdahulu hingga Junjungan hingga Adam.

Selamat beristirahat ayah. Kita bertemu di Mahsyar. Amin.

Thursday, March 17, 2011

PULANG iii

Begitu kisahnya mirip dengan kisahku. Kawanku itu bercerita tanpa setitik air mata. Itu sahaja yang membezakan kami. Dan, aku yakin kisah itu berlaku di mana-mana. Bukan pada kawanku, kawan kita atau aku tetapi kepada sesiapa sahaja. Tempat dan namatempat cuma satu kebetulan.

Itulah Islam, kan?

Thursday, March 10, 2011

PULANG ii

Wajah ayah kali akhir, aku melihatnya dalam ingatan semasa menjaga ayah ketika pulang bercuti Hari Raya Cina. Meski tak mampu kudengar suaranya tetapi aku telah bercakap kepadanya. Aku bercerita. Aku memberitahunya tentang hari, tentang waktu dan tentang semua yang aku ingin cerita. Aku yakin ayah mendengar walau ayah tidak membalas. Namun aku rasa lega, dapat bercakap dengannya. Sebenarnya terlalu sedikit yang mampu kuungkap. Justeru air mata yang mendahului. Belas melihat keadaan ayah. Semasa hidupnya aku tidak tahu, bahagiakah ayah. Dukakah ayah. Sedihkah ayah justeru kami terlalu lama dipisahkan takdir. Dan, aku terlupa menjenguk ke dalam hatinya. Ke dalam rasanya.

Barangkali kerana kejauhan atau mungkin kesal. Lalu aku tidak mendengar keluhnya. Tidak melihat ke dalam rasanya. Maafkan aku ayah. Maafkan. Akhirnya aku sedar, kesalku bukan pada ayah tetapi kepada orang lain. Lebih kesal lagi pabila mereka halang aku dari melihat ayah kali akhir. Memandang wajah ayah kali penghabisan. Aku katakan kepada emakku, aku pulang ke kampung pagi itu hanya untuk melihat ayah, bukan melihat rumah yang ditinggalkan, saudara mara yang bergelindingan dalam rupa sedih, atau tanah kubur. Aku pulang untuk ayah. Jadi mengapa aku harus singgah di mana-mana tahlil atau kenduri arwah yang dibuat?

Aku boleh hadiahkan zikir atau bacaan ayat suci untuk ayah di mana-mana tetapi apa alasan mereka menghalang aku melihat ayah pagi itu? Apakah aku masih bisa pulang dan membuka pintu kubur jika aku ingin menatap wajahnya pada hari raya? Hari-hari aku pulang kampung atau ketika-ketika aku ingat? Bolehkah? Tidak berakalkah mereka? Tidak berinsankah mereka? Hari masih pagi. Jam 1030 masih jauh dengan waktu Jumaat, tetapi mereka telah membawa ayah ke lahad sedang aku berada kira-kira 30 km dari perkuburan itu. Bukankah itu satu kezaliman rasa? Apakah mereka mahu katakan takdir aku tidak dapat bertemu ayah? Tuhan telah tetapkan?

Mereka? Mereka itu adalah saudara maraku termasuk isteri gemulah ayah dan adik-adikku sebelah ayah dan abang-abang kandungku. Cuma seorang abang dan kakak iparku berusaha menahan mereka membawa jenazah ke kubur tetapi permintaan mereka disingkirkan. KL-KB memandu sendirian dimulai dari jam 2:00am menuju tanah lahir tanpa rehat kecuali bersubuh di Merapuh adalah pejuangan. Walau kutahu Allah melihat tetapi aku kesal. Mereka masih mampu melakukan kezaliman.

Aku tidak singgah di kubur kerana seperti kukatakan kepada emak dalam kereta, perjalanan KL-KBku bukan untuk melihat tanah kubur. Aku, emak dan ayah tiriku tidak singgah di rumah gemulah ayah. Kami pulang ke PP. Kebalikannya, kami bertiga dikutuk. Konon saudara mara ramai. MasyaAllah. Dan, sejak itu aku sedar, aku telah dinafikan hak sebagai anak kepada ayahku oleh mereka. Lalu, untuk apa lagi aku berhubungan dengan mereka. Dan, andaian paling senang; jika salah seorang daripada anak gemulah ayah dengan isterinya itu tiada, apakah dia akan kebumikan ayah? Aku yakin dan sangat yakin, tidak. Tetapi, kerana aku anak dari isteri terdahulu dan jenazah ayah terlantar di rumah mereka maka inilah natijahnya.

Jadi, sekarang apa yang aku buat adalah takdir. Begitulah, aku juga boleh dan mahu sandarkan kepada takdir sebagaimana mereka mengatakan takdir sudah menentukan aku tidak dapat bertemu ayah kali akhir. Aku tidak akan malah telah tidak menyambut panggilan telefon daripada talian gemulah ayah yang kini digunakan oleh siapa (aku tidak tahu) juga sebagai takdir. Mudah, kan?

Ayah, saya tidak pernah menyalahkan ayah dalam hal ini. Telah saya pohon ampun dan maaf segala salah saya pada ayah dan saya harap ayah maafkan saya, ampunkan kelantangan pinta atau suara saya selama ini. Dan, telah juga saya maafkan segala kealpaan ayah. Semuanya tanpa mimpat. Tanpa kecuali kerana saya sedar dan yakin, apa-apa yang berlaku itu bukan dengan kehendak ayah. Saya yakin ayah telah dikongkong sekian waktu.

Tuhan, terimalah segala kebaikan ayah, pengorbanan ayah dan ampunilah dosa-dosa jika ayah lalai daripada sebarang tanggungjawab yang telah Kau amanahkan kepadanya. Janganlah Kau bangkitkan dia di Masyhar dalam keadaan bahu senget dan aku tidak mahu aku menjadi penyebab kepada senget itu. Ayah pernah berbuat baik kepada emaknya. Menjaga emaknya di saat-saat akhir hidup dan mengkebumikan tok dengan damai. Mudahan Kau tidak memungkiri janji-Mu pada manusia yang berbakti Allahku. Ya Allah, kurangkan sedih yang bertakung dalam dadaku. Tanpa bantu-Mu, tidak mungkin aku mampu kembali ke riangku. Amin.

Selamat beristirahat, paduka ayah. Tidak mereka benarkan saya menatap ayah kali akhir barangkali untuk memberikan saya ruang merindui ayah hingga saya mati dan kita bertemu di Masyhar. Rindu ini kudus, ayah.