Pages

Saturday, April 30, 2011

RUNTUH

SUNGGUH kesal, jika salah seorang daripada anakku ada dalam acara sebegini. Melolong-lolong bagaikan hilang malu, hilang pedoman. Sampai anak sekecil (mungkin) sepuluh melompat-lompat di depan tempat dudukku hingga tidak dapat kulihat persembahan sepenuhnya kerana dilindungi oleh 'banner' besar-besar yang dilonjak-lonjakkan. Menefestasi keriangan atau ketakupayaan ibu-bapa melarang anak-anak berkeadaan begitu atau apa sebenarnya pun tidak kutahu.

'Tiada Lama Tiada Baru" sebuah rancangan realiti terbitan RTM yang jujurnya tidak pernah kutonton. Racangan yang tiada bezanya dengan "mentor' TV3. Yang berbeza hanya pengacaranya. Getik dan termengah-mengah terutama pengacara lelakinya. Kostum tidak sesuai dan macam-macamlah jika mahu dikomen.

Atas undangan seorang teman yang kebetulan jadi mentor dalam rancangan tersebut, aku datang bersama Sariah. Molek juga, sekurang-kurangnya tahulah aku alangkah poraknya tingkah remaja hari ini. Alangkah bobroknya jiwa mereka kini. Takut aku mengandaikan aku punya keturunan. Barangkali kerana sebab itulah Tuhan tidak menjadikan aku perempuan beranak. Sadis, putus asa dan negatif bunyinya tetapi hakikatnya aku mulai bersyukur kini. Aku bukan sekadar memujuk diri tetapi yakin tiada sesia pekerjaan Allah.

Jam sembilan acara dimulai. Melonjak ke hulu ke hilir dan lima belas minit mual menjolok rasa dengan pengacaraan mereka yang telah mulai menampakkan 'nilai status' stesen penyiaran tertua itu. Dipendekkan cerita, kami balik tidak selesai rancangan.

Dalam perjalanan pulang, sedarlah aku meski sudah menggulati KL puluhan tahun jiwaku masih juga selesa dengan sunyi dan diam. Bingit itu bukan duniaku. Bising itu bukan acaraku. Hiburan bukan keperluanku. Ketika itu terfikir-fikir aku, kenapa RTM atau mana-mana stesen TV di Tanah Melayuku ini tidak mahu mengadakan sebuah rancangan yang berbentuk ilmiah. Menaja pelajar membuat penyelidikan atau satu-satu projek yang boleh diketengahkan. Atau pereka atau pekerja seni yang lebih bernilai 'seni' yang boleh meletakkan seni ke maqam tinggi.

Cari penaja sebagaimana mereka buat dalam rancangan-rancangan tidak bermanfaat tersebut. Menyanyi bukan kerja seni kerana sesiapa pun boleh menyanyi. Ayam berkokok pun kalau nak diistilahkan sebagai nyanyian boleh. Apa hebatnya menyanyi tetapi mencipta itu yang membawa makna 'karya' @ penghasilan ilmiah. Jika sekadar menyanyi ... baik aku dengar suara burung ketitir dalam sangkar!

Wednesday, April 27, 2011

SENJA DAN UNGU

... persis matahari
kebetulan itu membakar debar
dan kakipun gigil
dan
bukankah kau mengharap aku tiba dalam lilauan?


kasih
diamlah diam
ungu dan senja tak pernah terganding
pun Tuhan tetapkan seuntai landskap.

dan ... kitakah sepasang rasa
cuba lari dari kesal yang ranum lalu membunuh diri masing-masing dengan belati turunan?

... kasih
senja dan ungu
menuju malam
barangkali ada wangi bergulir di laman
yang hadir dari rindu manusiaku.

Tuhan ... terima kasih pada rasa ini.



hulu kelang - petaling jaya
27/04/2011

Friday, April 22, 2011

JATUH KASIH

"KAU ingat aku pura-pura sebab kesik duk sorang?" Soalnya. Aku menggeleng. Aku tahu dia kuat. Dia cekal. Dari muda kisahnya jauh melampaui ribuan dongeng yang pernah kubaca. Yang kutonton. Dia tidak pernah sama dengan mana-mana cerita pun.

"Dulu, aku rasa aku boleh menikah dengan sesiapa sahaja tetapi bila bertemu lelaki itu, aku tahu rasa-rasa itu hanya rasa. Pabila kudengar kisah sedihnya aku simpati. Aku mahu jadi semua untuknya. Aku mahu jadi penghiburnya. Pengubat lukanya. Penyembuh malah semua yang terbaik untuknya. Sanggup mati untuknya. Akhirnya aku sambut tangannya sesudah dia berkali-kali menghulur. Kami bernikah."

Aku angguk lagi. Aku sedar, aku sedang berhadapan seorang gesit yang telah sayu matanya. Tidak tergamak melihat ke dalam matanya. Nampak dia menyembunyikan luluh hatinya. Perkahwinannya gagal. Lelaki yang pernah meminta perhatian hingga dia memutuskan ikatan pertunangan dengan seseorang itu pergi mendepani langit luas ketika dia masih di kasur.

"Aku tidak berdendam. Tidak akan, insyaAllah. Ustaz kata hidup mati kita, takdir kita urusan Allah. Aku yakin lalu aku tidak berdendam." Aku angguk juga.

"Dia pergi pun aku katakan itu urusan Tuhan. Biarlah, jika aku berlandas kebenaran Tuhan tebarkan sedikit-sedikit (kalaupun tak banyak) sabar itu ke hatiku." Masih juga aku angguk. Aku izinkan sahaja dia bercerita. Agar lepas kesumat resanya. Biar kurang resahnya.

"Kecik mungkin padamu kerana kau lebih berhubung dengan perkara-perkara besar." Sambungnya. Aku menggeleng.

"Beberapa tahun lepas jumpa seseorang tetapi aku menghindar. Aku mengelak sebab dia berkeluarga. Aku tidak mahu lagi berapat dengan seseorang yang begitu statusnya."

Tiada yang aneh. Aku angkat kening tinggi-tinggi ketika dia menyambung, "tapi aku suka semua yang ada padanya. Tampangnya, suaranya, paling utama akal dan imannya."

Ketika itu aku bertanya polos, "iman?"

"Suatu malam kami pernah sekamar tapi ... dia tak menghkianatiku."

Aku menutup mulut dengan tangan.

"Sungguh, aku jatuh kasih kerana itu. Aku mencari pelindung yang akan melindungi maruahku. Menasihati untuk kebaikan agama dan sedikit untuk duniaku. Aku ingin berkongsi dengannya apa sahaja yang kumiiliki bukan menyulitkan dia."

Aku menggeleng sambil berkata, "kebarangkalian orang baik mengkhianati ahli yang mereka peduli juga kecil. Jadi, biarlah jika kau kata aku tidak menyokong tapi jika boleh baiknya hapuslah rasa itu. Fikirku, itu agak mustahil."

Dia memandangku, sayu. Tidak sampai hati mahu berlama menatap justeru tahu dia begitu mengharap. Biarlah aku mengecewakannya. Sesekali aku rasa wajar mengejutkan sahabat yang sedang bermimpi kerana subuh sudah hampir menakluk.

"Aku kasihkah dia kerana Allah."

"Jadi jika tiada rasa itu dalam hatinya, pasti itu juga kerana tak diizinkan Allah." Balasku. Dia tunduk. Beberapa titis air jatuh di ribaanya. Aku tepuk bahunya perlahan. Dalam hati berdoa untuk dia, moga Allah luruskan hatinya. Moga Allah beri kekuatan jika benar kasihnya tidak bersambut.




Thursday, April 14, 2011

SEDETIK BERNAMA SEJARAH

HANYA selafaz, sebuah sejarah tertinta. Pada hari ini suatu detik. 14/04. Kitapun menjadi sepasang rerama biru berterbangan dalam cinta. Sungguh, aku mencintaimu. Tanpa permohonan. Aku suka jarimu. Aku suka gigimu. Aku suka matamu, suaramu. Tawamu. Sendaguraumu masih kekal teguh tanpa ganjak dari pelupuk rindu. Segalanya masih aku seperti dulu. Seperti kita masih sepasang rerama biru di dalam cinta.

Begitu aku mengasihimu, begitu pula kau mahu pergi. Barangkali kasihku membelenggu. Mungkin kasihku tidak sebagaimana kau harapkan. Atau mungkin juga aku bukanlah rerama biru yang kaudamba, sebenarnya. Aku mungkin hanya persona. Persis fatamorgana di siang litlit.

Akhirnya kutahu, mengapa kita tidak serasi terbang bersama cinta. Kau dan aku hanya sebuah mimpi dalam sejarah. Pergilah mencari pari-pari yang bisa terbang ke kaki bulan. Aku tidak bersayap dan berkaki. Aku hanya sepotong hati. Besar tetapi tidak terwujud. Kau mencari wujud.

Kita bukan rerama biru dalam cinta. Kau mengejar pari dan aku mahu mati dalam pangkuan cinta manusia dan Allahku.

Friday, April 01, 2011

HARI KEUSAHAWANAN UNIVERSITI

GAMBAR tidak sempat diambil. Sehari dua ini (29 & 30/03/11 jika tidak silap), 'hari keusahawanan' telah berlangsung di UM (universiti lain mungkin lain tarikhnya). Kebetulan mereka mengembangkan khemah-khemah di dataran letak kereta depan bangunan KPS (kompleks perdana siswa). Dan, kebetulan lagi 28 & 29 itu tarikh untuk pelajar AKEA 2101 mementaskan drama retorik MRTpMPK. Kebetulan lagi, kami guna auditorium KPS. JAdi dengan lain perkataan, berjiran aktivitiviti. Agak sibuk, agak celaru, agak marah aku. Sebab? Para pelajar yang mengambil bahagian dalam 'hari keusahawanan' (HK) ini sesuka hati mengembangkan 'gebang' mereka di mana-mana. Buang sampah merata. Dengan botol airnya, dengan plastik pembalut entah balut apanya, dengan meniarap, dengan baring di lobi KPS itu dan dengan pelbagai lagi aksi.

Semua itu gara-gara membuat persiapan untuk 'HK'. Aku tak kena pantau HK. Azlan yang kena. Aku dah nyatakan pendirianku tentang HK. Aku katakan begini dan ini pernyataanku.

(Sebaiknya jangan melembukan atau mengarnabkan orang - baik aku tak buat. Aku menulis baik-baik kali ini.) Hari Keusahawanan itu sepatutnya satu situasi yang boleh menampakkan kebijaksanaan para pelajar universiti. Yang boleh memasarkan idea-idea pelajar universiti. Yang akan mendekatkan mereka kepada dunia pekerjaan sebenar.

Apa yang ada dalam HK dua hari lepas, gerai-gerai jajaan. Macam pasar malam. Macam pasar pagi. Macam pasar tani. Jadi, aku kata dalam hati kemudian aku kata kepada ramai kawan-kawan termasuk pelajar-pelajarku; itu bukan hari keushawanan, itu 'hari kepenjajaan' (baik sikit dari pemandangan pasar tani @ pasar malam sebab khemahnya macam khemah orang kahwin). Kalau nak menjaja, tak payah masuk universiti. Orang yang menjaja kat pasar malam itu tak masuk universiti pun. Boleh jual berger, jual sayur, kain baju, kasut selipar atau ayam tengkorak juga. tak perlu habiskan duit puluhan ribu untuk bayar yuran. Pergi pasar malam, cari tapak , bayar cukai sikit, ada kad kesihatan serta sihat tubuh badan, niagalah. Niaga di pasar-pasar macam itu tak perlu teori. Praktikal terus. Tanyalah orang yang niaga di sana, apakah mereka tahu teori buat bihun sup? Atau teori buat air batu campur?

Cadangan aku mudah sahaja. Jika benar universiti mahu memanfaatkan hari sebagai memberi pendedahan kepada pelajar berdaya saing @ berusaha, biarlah ada 'class' sikit. Biar tak malu status universiti sebagai pusat tertinggi pengajian (bagi manusia yang menganggap mereka bertamadun).

1. Buatlah dalam dewan berhawa dingin. Bukan di lapangan letak kereta di bawah khemah macam pesta orang kahwin. - sebabnya, lebih formal dan nampak akademik (sesuai dengan status universiti).

2. Jemput badan-badan korporat atau kerajaan yang bakal menggaji pekerja. Dalam dewan berhawa dingin inilah para jemputan ini ditempatkan. Kalau di UM, mungkin DTC dan Dewan peperiksaan, sesuai.

3. Sesudah ada tempat selesa & organisasi atau individu yang sewajarnya terlibat, datangkan para pelajar tahun akhir kerana mereka ini akan keluar dari pagar universiti dan menceburi dunia pekerjaan sebenar. Di situlah para pelajar ini boleh 'menjual idea' mereka sama ada dalam bentuk kertas kerja @ hasil kerja yang diperlukan oleh industri. Pelajar kejuruteraan, sains, pendidkan, ekonomi dan pentadbiran, pelajar akademi pengajian Islam, Pengajian Melayu dan pelbagai lagi itu boleh promosikan idea masing-masing dengan penuh keyakinan (skil komunikasi harus tahu). Di sini semua keperluan sebagai pekerja boleh dilihat sama ada dari aspek etika, moral dan kesungguhan. Kebijaksanaan malah utopia calon pekerja ini. 'World-view' mereka juga penting. Budaya kerja atau apakah konsepsi mereka terhadap bidang yang mereka sedang @ bakal ramahi. Jika calon tersebut berjaya yakinkan para jemputan ini, mereka boleh terus 'meminang' dan setelah habis belajar, mereka tidak lagi teraba-raba untuk mencari pekerjaan.

4. Barangkali agak sukar kerana melibatkan banyak pihak tetapi bukankah itu memerlukan usaha? Sebelum meminta pelajar berusaha, pihak atasan seharusnya tunjukkan tauladan dahulu. Merekalah yang patut usahakan organisasi ini turun padang untuk mencari 'intan' yang bakal memberikan mereka cahaya yang indah. Jangan jadi ketam yang selalu marahkan anak sebab tak boleh jalan ala-ala pragawati. Jadilah jalak yang tidak pernah mengajar anaknya berkokok tetapi anak-anaknya akan tetap berkokok berdegar-degar. Ketika inilah pihak jemputan dapat mencari pekerja sebenar bukan 'kroni lambakan' disebabkan tangan-tangan ghaib yang bersadurkan politik dan kuasa. Tidak cukup dua hari mungkin boleh dilanjutkan seminggu. Beri tajaan kepada para jemputan ini. Jaga perut mereka dan layan dengan manis, Aku fikir, itu lebih bermaruah daripada sewa khemah beratus-ratus ringgit sebuah itu (untuk HK itu lebih kurang 20 - 30 buah khemah digunakan). Maksudnya, duit sewa khemah itu lebih berguna untuk memberi keselesaan kepada para jemputan dari industri tersebut.

5. Jika ini dapat dilaksanakan, baharulah dapat dinamakan 'hari @ minggu keusahawanan' kerana itulah 'usaha' daripada kedua-dua belah pihak. Pelajar dan universiti. Kalau sekadar mendirikan khemah di lapangan letak kereta dan pelajar jual berger dan air sirap bandung maaf, tak sampai tahap aku untuk beri markah!