
... kelmarin pun aku masih menunggu. Hatta hari ini. Aku akan terus menunggu kerana penantian itu membenihkan harapan. Ada yang kita tunggu. Jikapun tidak kita dapat atau tidak temui apa yang kita harap, masih ada nikmat hati. Jika kita jujur, kita pasti akan rasai itu. Nikmat jujur dalam menanti. Yang penuh keindahan. Yang penuh kebahagian. Yang penuh debar-debar. Dan, tentu kita tahu yang debar-debar itu indah.
Begitulah daku. Menolak daun pintu selepas israq yang damai. Mengintai hadirmu. Kalau-kalau muncul di depan mata. Pun, mataku disepuh pandang kepada sebuah bulan. Di langit pagi. Aku terpaku di situ sebelum bergegas mengambil alat perakam. Tiba-tiba teringat pesan Ustaz Azhar Idrus yang mengulang kata dari lidah Rasulullah, pagi-pagi pandanglah seketika langit. Amati warnanya. Nescaya timbul keinsafan. Dan, benarlah katamu Rasulullah. Aku rasa seperti tidak mahu berkelip memandang ke langit. Seperti mahu terbang dan berdendang dengan bulan.
Bulan pagi. Tidak mampu kuperjelas dengan kata. Rasa yang kuperhalusi kemudiannya kutahu sebagai kagum. Selalu aku berlama-lama di jendela melihat bulan malam tetapi belum kunikmati indahnya bulan pagi. Barangkali dikejar waktu, barangkali kerana tiada kepedulian ke alam. Maha agung ciptaan-Nya. Dari hanya selintas pandang menghasilkan renungan dan dari renungan itu aku sedar. Kerdilnya daku.
Astarafirullah. Ya Karim ... ya Rahman, ampuni aku kerana terlalu lama tidak memandang langit dan alam. Terima kasih kerana mendenakkan insaf ini.