Pages

Tuesday, January 31, 2012

... perjalanan

mengisi waktu persis mendakap rindu merah. Atau seperti bunga-bunga segar yang kudapat sepulang menghadiri majlis perkahwinan Doktor Raja Fauzana.

Orang kampungku memanggil bunga hadiah perkahwinan itu sebagai 'sisa' atau 'berkat' bagi masyarakat Jawa (Malaysia). Aku kira ramai yang suka pokok dan ramai juga yang kurang menggemarinya. Mungkin sebab tidak punya waktu menjaga atau mungkin juga kerana tidak suka membeleknya. Kata seorang teman yang sukakan pokok, pokok-pokok itu makhluk hidup. Yang berzikir kepada Allah. Jadi bercakaplah dengannya. Mudahan dia mendoakan kesejahteraanmu.

Alhamdulillah, aku memang suka bercakap dengan pokok. Aku memang suka melihat urat-urat daunnya. Aku memang suka hijaunya. Suka baunya. Suka kelopak kembangnya kerana bagiku, pokok dan kita tidak jauh bezanya. Kita dan dia hidup dalam satu ruang - di bawah langit yang sama.

Seperti pokok itu yang berjalan dari Kuantan ke KL, hari ini aku akan menempuh satu perjalanan lagi. Mudahan Allah membenarkan perjalanan ini. Mudahan ilmu yang sedikit ini dapat disebar dan dikongsi bersama beberapa guru di IPG Lipis. InsyaAllah, kita berbengkel dua hari ini. InsyaAllah.


Friday, January 27, 2012

... barangkali


satu sisi budaya perlu demi mengelak dari jadi umpatan. Begitulah, sebuah sudut kecil dihias sederhana untuk majlis esok. Hidup berkampung adat dijaga. Meskipun makcik dan pakcikku sudah lama meninggalkan kampung yang mengadis @ menjejakakan mereka pun kelihatannya masih menghargai warisan.

Tiada acara persandingan. Tiada acara batal air sembahyang dalam tentatif atau idea asal. Cuma majlis makan-makan dan berkenal-kenal. Majlis peruar-uaran perkahwinan sepupuku, Raja Fauzana dengan pasangannya Mohammad Fakharuddin.

Esok, Kelantan, Terengganu dan Pahang bersatu di Sungai Isap. Saudara-mara mungkin akan berkunjung kerana pakcikku kelihatannya dikasihi sanak saudara. Dan, ini baharu kali kedua pakcik berkenduri memperjodohkan anak.

Persiapannya sangat sederhana. Aku harus menyambung kerja. Akan menulis lagi. InsyaAllah.

Saturday, January 21, 2012

... dan, kematian itu adalah benar.


begitulah, janji Allah. Kunfayakun. Telah ditetapkan semuanya tentang kehadiran kita di muka dunia ini. Pagi tadi, semasa kami sedang mahu bersarapan di Amcorp Mall, Prof Azizah membalas sms Azlan dengan, " ... adik saya baru meninggal pagi tadi."

Beberapa teman aku hubungi dan akhirnya kami sampai di Subang Jaya menjelang zohor. Di masjid Subang Jaya kami berjemaah zohor kemudian menunaikan solat jenazah. Pertama kali aku menyembahyangkan seorang insan yang telah pergi mengadap Allahnya. Sayu dan haru menyergap hati. Abdul Malik pernah beberapa kali kutemui, ziarah dan berbual-bual. Sakitnya sudah lama. Allahuakbar. Maha benar kalam-Mu, ya Allah.

Di kubur, aku rasa diri semakin dekat dengan liang lahad. Allahku, jika ada kebaikan yang kulakukan hari ini dan bakal Kau ganjarkan pahala, maka aku sedekahkan pahala itu kepadanya yang sedang datang kepada-Mu. Mudahan kau kasihani dia, sayangi dia dan menyambutnya dalam peluk kasih dan rahmat-Mu, Allahku. Amin.

Sungguh, aku semakin dekat dengan tanahku meski tak kutahu di mana latar aku disemadikan. Siapa mengurus dan membacakan aku doa-doa. Itulah yang terkesan ketika talkin dibacakan. Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar.

Innalillah - dari tanah kita datang, ke tanah kita disemadikan. Selamat jalan Abdul Malik.

Friday, January 20, 2012

... jalan pulang

... jalan ke tanah sukar. Seru yang datang bagaikan sebuah petir yang termuntah dari langit kala hujan akan mula. Sudah panjang jalan kutapaki belum sekali kutamui jalan ini. Dan, sebenarnya jalan ini hanya kita lalu sekali sepanjang bernama manusia. Dan, pagi itu 14.01.2012 di Masjid Bulat, PJ kunikmati pengalaman ini.
"Kursus Jenazah" diberitahu oleh pihak masjid ketika beryassin Jumaat malam. Teringat pesan-pesan cik (ibuku kupanggil cik), kalau dia meninggal jangan diambil pemandi jenazah dari Kampung Bukit (sekira-kira 4km dari kampungku). Kata cik, tukang mandi jenazah itu kasar pekerjaannya. Lalu, pagi itu kudengar satu persatu. Dari teori hingga praktikal.

Tuntutan jenazah kepada yang hidup itu ada 4, dimandi, dikafan, disembahyang dan
dikebumikan. Sebelum dimandikan, sunat diletakkan jenazah di tempat yang agak tinggi dan dihadapkan mukanya ke arah kiblat dalam keadaan terlentang. Tidak molek dibiarkan jenazah lama sebelum urusan pengkebumian kecuali ada hal-hal tertentu. Dipesan juga kepada kami, jika menghadapi kematian, setelah roh dan jasad terpisah bolehlah kita gerakkan kaki tangannya beberapa kali seperti senamana supaya lembut sendi-sendinya dan mudah proses memandikan kelak. Diletakkan juga benda berat seberat 4 tahil supaya perutnya tidak masuk angin.


Sementara dalam urusan memandikan jenazah itu, diberitahu haram memandang auratnya hatta sesama perempuan oleh itu hendaklah ditutup dengan sehelai kain di atas jenazah. Dimulai dengan diwudukkan jenazah kemudian dimandikan. Air dijirus rata di badan jenazah dari belah kanan badan, dari kepala ke kaki sebanyak tiga kali. Kemudian dalam jumlah yang sama juga di sebelah kiri badan.


Selesai urusan memandikan itu, urusan mengkafankan perlu disegerakan. Tiga lapis bagi lelaki dan lima bagi perempuan. Ada pendapat mengatakan, lebihnya jumlah lapis bagi perempuan itu kerana auratnya semasa di dunia itu lebih.
Dan pagi itu, seorang muslimah yang menjadi model kami begitu teruja. Masih muda dan katanya pengalaman dikafankan itu sangat mengharukan. Alhamdulillah, barangkali itulah nikmat iman. Cuba kuupload rakaman tetapi tidak Berjaya. Akan kucuba lagi lain kali. Mudahan Berjaya. InysaAllah.


Pulang dari kursus “mengurus jenazah” aku terkenang-kenang kata cik. Terkenang juga kata moderator yang membahasakan dirinya, ‘opah’ dan ‘ibu’ pagi itu. Siapakah yang paling baik memandikan jenazah seseorang? Keluarga dekatnya. Isteri bagi suami, suami bagi isteri, anak bagi ibu atau ayah dan ibu atau ayah bagi anak. Tiba-tiba aku rasa sebak bertebaran di pelupuk hati. Terbayang-bayang jenazah adikku Raja Amran, yang kujirus air ke badannya pagi itu hampir dua puluh tahun lalu. Masih sangat baharu rasanya. Bekas jahitan di belakang kepalanya masih jelas di ingatan. Pakcik dan abang-abangku memangku gemulah. Hilang terbang sebahagian dari jiwaku saat itu.


Dan, sehingga kini sejadahnya masih kuguna biarpun sudah carik pada bahagian jatuhan lutut dan kumal. Sungguh aneh, meski sudah hampir dua puluh tahun rasanya masih kulihat dia di depan mata. Masih kudengar dia membaca puisi-puisiku. Andai dia masih bernyawa, masih nyata di depan mata sejadah itu tak berharga padaku. Barangkali.

Sunday, January 08, 2012

... di lantaimu.

Saban hari sejak setahun lepas aku melintasi masjid itu tetapi belum tertulis (agaknya) untuk aku singgah. Dan bulan lepas aku berbuka puasa 10 Muharam di situ - masjid bulat. Salina dari Jabatan Sejarah mengajak. selalu aku di masjid Bangsar atau Masjid Negara. Berkelana dalam diri tanpa sesiapa yang mengenal kita - pengalaman indah. Pengamalan peribadi yang hanya dapat dikongsi dengan takdir. Begitu selalu kufikir.

Salina itu rupanya akrab dengan warga 'masjid bulat'. Aku kenal beberapa warganya yang baik. Allahuakbar. Berbunga hati. Aku tiba-tiba terkenang sebuah cerpan yang pernah kutulis bertahun lalu. Cerpen itu tersiar di Utusan Zaman (10/12/2000). "Rindu Firdaus" kuceritakan tentang seorang teman mencari teman. Barangkali kerana sudah lama tersiar, tiada dalam link Utusan untuk dilink di sini. Oleh itu daku copy dan paste untuk tatapan sesiapa yang berminat membaca.


RINDU FIRDAUS

SUDAH lama aku tak sembahyang. Bukan aku malas atau tak yakin pada Tuhan. Bukan juga sebab aku sudah besar diri macam Qarun atau macam Firaun yang sombong itu. Aku papa melata. Kutu. Merayau dari hujung ke hujung kampung. Aku juga sudah lama tak puasa. Aku tahu puasa itu rukun orang Islam tapi aku keliru sama ada Rukun Islam atau Rukun Iman. Oh, kata Firdaus puasa itu Rukun Islam. Aku yakin Firdaus betul sebab dia selalu puasa. Sekolah tinggi. Aku dengar orang kata, dia sudah pas universiti.
Sebenarnya bukan tak nak puasa tapi aku tak tahan haus. Aku tak kisah pasal rokok sebab aku tak merokok. Aku pun tak hebatkan makan sebab dari kecil aku jarang jumpa nasi. Tapi air, itu nasi makan air minum aku. Tak lelap malam, aku cari air. Panas badan pun air juga ubatnya. Aku mandi puas-puas. Dedar aku hilang. Boleh tunggu Firdaus balik sekolah. Boleh belajar membaca. Jadi, macam mana aku nak tinggal air? Aku cuma kenal air. Kenal jalan. Kenal Firdaus. Itu saja dunia aku. Keluarga?
Baiklah ceritanya begini. Aku lahir kerana emak ayah aku kahwin atau mungkin juga tidak. Aku tak tahu sebab tak ada sesiapa pernah cerita pasal mereka. Aku pun tak pernah kenal mereka sebab mengikut emak Firdaus, emak aku syahid masa beranakkan aku. Ayah pula terkorban jatuh pokok petai pada hari aku lahir. Nenek aku sudah lama mati. Atuk juga. Emak saudaraku semuanya beranak ramai. Bapa saudara yang seorang itu pula penakut. Takut bini. Yang sanggup jaga aku bila aku jadi yatim piatu cuma emak saudara gemulah emakku. Aku tidak tahu namanya apa tapi seingat-ingat aku, aku panggil dia Tuksu Yam.
Masa umurku tujuh tahun Tuksu Yam, dah tua sangat. Dia tak faham pasal sekolah jadi dia minta tolong ayah Firdaus hantar aku ke darjah satu. Balik sekolah hari daftar, aku tengok orang ramai di rumah. Masa itu ayah Firdaus yang tumpangkan aku naik motornya itu mengusap kepalaku. Aku masih dapat rasa hangat usapan itu sampai sekarang. Aku naik ke rumah. Tuksu Yam terbaring dikelilingi ramai orang perempuan. Tiga anak Tuksu ada. Mereka mengesat-ngesat hidung dan ada yang menyapu-nyapu mata. Emak saudaraku pun ada. Aku agak Tuksu Yam tidur sebab aku nampak dia macam tidur. Aku terus ke bilik yang letak di sebelah ruang nak ke dapur. Aku nak salin baju sekolah tapi dari jendela aku nampak orang tengah kisip buluh.
Aku pernah nampak buluh macam itu. Masa itu – aku dengan Firdaus lalu di kubur. Tiba-tiba dadaku berdebar. Aku berlari ke tengah rumah. Aku merapati Tuksu Yam. Aku letak tangan ke hidungnya.
Anak perempuan Tuksu menarikku dari belakang perlahan. Aku tidak sempat bertanya kenapa Tuksu Yam tak bernyawa. Tak bangun-bangun. Masa itu juga aku dengar ada suara meminta kami ke tepi sebab mereka nak mandikan Tuksu. Kenapa orang mandikan Tuksu? Kenapa Tuksu tak mandi sendiri? Selama ini Tuksu mandi sendiri.
Oh, semuanya pahit.
Sejak itu aku tak sekolah. Hidupku tak berkenangan lagi. Aku benci ingatan kerana tak satupun indah. Aku cuma ada Firdaus. Satu-satunya saudaraku di dunia ini dan aku datang ke sini pun sebab aku nak cari Firdaus.
Aku masih ingat kata Firdaus dulu, dalam masjid ada kiblat dan kiblat arah tuju semua orang Islam. Lambang penyatuan umah. Masjid itu tempat kita bertemu orang. Bertemu saudara-daudara kita. Masa itu aku tak faham sangat apa makna kata-kata Firdaus itu tapi hari ini aku harap sangat aku akan jumpa Firdaus di sini.
Kau tahu mengapa aku yakin Firdaus akan datang berjemaah di sini? Aku dah tanya ramai orang tentang masjid di bandar ini, kata mereka inilah masjid paling ramai dikunjungi. Jadi tentunya Firdaus akan datang sebab dia memang rajin berjemaah. Dia alim.
Alamat? Ya, aku memang silap sebab tak pernah tanya. Ah, lupa bukan aku tak tanya, sebenarnya aku tak tahu kepada siapa nak bertanya. Tapi dulu (masa aku belum datang ke sini) kata orang kampungku, Firdaus tinggal di bandar ini.
Aku pun fikir, tentulah tidak susah mencari orang rajin sembahyang, kan? Dia pasti akan datang kerana masjid itu rumah Allah, rumah kita. Di sini kita akan bersujud mencari kesempurnaan yang satu. Itu pula kata Tuk Imam semalam.
“Ini nasi berbuka.” Tegur Tuk Imam sambil mengunjukkan sebungkus padaku. Aku memandangnya sayu. Macam tuk fakir pula aku.
“Saya tak puasa, tuk.”
“Tak apalah, kalau uzur. Esok-esok bila dah baik, kamu boleh ganti balik. Qada.” Balas Tuk Imam lembut.
“Tapi saya tak uzur tuk.”
“Tak apa, ambil sajalah ... ini rezeki, jangan tolak rezeki.”
“Kalau macam tu, bagilah pada orang puasa.”
“Semua dah cukup. Ini memang rezeki kamu ... emm, badan kamu ...” Sambung Tuk Imam sambil menggeleng beberapa kali. Sebentar Tuk Imam hilang dan sebentar pula datang dengan sehelai baju Melayu dan kain pelekat di tangan.
“Ini ada baju orang bagi pada tuk, belum pakai lagi. Nah ... pergi mandi kemudian tukar baju tu. Kita berbuka sama-sama. Hari ini, hari pertama kita puasa, insya-Allah kawan kamu datang Terawih.” Sambung Tuk Imam dalam pujuk.
Aku menyambut baju dari tangan kanan Tuk Imam. Semerbak harum. Wangi apakah ini? Tuk Imam letak minyak wangi pada baju yang diberi padaku?
Dan, aku tetap menunggu Firdaus.
Kerja? Aku angkat barang kat pasar di sebelah masjid. Mereka bagi aku RM20 sehari. Dengan duit itu aku dapat makan tengah hari di kedai bukan Islam dan menyimpan beberapa ringgit untuk minum pagi esok. Dan, pada malam pula aku akan jaga masjid. Aku akan pastikan kasut-kasut jemaah tidak hilang.
Selepas mereka balik aku akan kemas perkarangan masjid. Sekarang bulan puasa, aku tolong Tuk Siak dan AJK basuh pinggan mangkuk yang digunakan untuk morey jemaah Tarawih. Aku susun gelas pinggan di rak dapur masjid. Mula-mula aku dengar juga sugut rungut daripada kariah masjid pada Tuk Imam tentang aku tapi Tuk Imam kata, aku ini anak buahnya. Dia jamin aku tak buat kacau.
Masa itu Tuhan saja tahu hati aku.
“Beramal bulan Ramadan ini, pahalanya berganda. Beruntunglah sesiapa yang sanggup berjaga malam dan bertemu malam seribu bulan. Satu lagi, dalam bulan ini pintu taubat terbuka seluas-luasnya. Rahmat melimpah ruah.”
Jadi, beramal kerana pahala?
“Bukan fasal pahala tapi bandingan sahaja. Sama ada Allah nak kasi atau tidak itu hak Dia. Kita cuma buat, kalau memang Allah bagi kita ganjaran, kita dapat,” jawab Tuk Imam lembut.
Aku telan air liur dalam-dalam. Macam mana dia tahu aku cakap dalam hati?
“Memang, kita buat amal kerana Allah bukan sebab pahala.”
“Tapi saya ...”
“ ... tak apa. Boleh belajar.”
“Saya ... saya, tak ada orang nak ajar saya ... sebenarnya.”
Dan, sejak malam itu Tuk Imam jadi guruku. Balik kerja aku mengadapnya sementara menanti berbuka. Atau ketika-ketika kami terluang.
Firdaus tidak juga datang-datang.

ii
Ayah Firdaus mengajar di sekolah kampungku. Waktu umurku lima belas, ayahnya ditukarkan ke bandar ini. Dan, mencarinya di masjid ini adalah usaha terakhirku. Masih ingatkah Firdaus padaku? Sudah sepuluh tahun berlalu.
“Niat mustahak, macam juga puasa. Kalau tak niat tak sah. Jadi betulkan niat tu, insya-Allah ... Tuhan pertemukan kamu nanti.”
Tiba-tiba Tuk Imam sudah berada di sebelahku yang sedang menatang langit.
“Kata dia, masjid ini tempat manusia jumpa Allah, tempat manusia bertemu manusia. Sebab tu, saya tunggu dia kat sini.”
“Jadi kamu tak boleh putus asa sebab putus asa itu menidakkan kuasa Allah.”
“Dah dua kali puasa tuk.”
“Takdir itu tak cepat, tak lambat. Macam orang, kalau dah sampai masa lahir, lahir. Sampai masa mati, mati.”
Perlahan-lahan aku cuba fahamkan apa yang dikatakan Tuk Imam. Sebab aku cari dia? Kalau boleh dikatakan sebab tentunya kerana Firdaus itu guru pertamaku. Mengajarku kenal tulisan dan huruf. Susah payah dia membawa buku dan pensil. Masa itu kami duduk bawah pokok jambu butir banyak depan rumah Ustaz Hassan. Di situ ada pangkin kayu. Di situlah aku belajar dengan Firdaus.
Assolatu tarawih rahimakumullah ...
Sekarang aku boleh membaca dan menulis jawi dengan lancar. Sudah khatam Quran. Mula rasai nikmat berada di saf pertama. Mulai melihat indahnya malam-malam yang terkandung rahsia keagungan Allah. Alangkah besarnya anugerah-Mu, Tuhan.
“Muhammad, kata nak sembahyang Tahajut.”
Bahuku dicuit Tuk Imam. Lembut. Aku berkisar baring sambil mengenyeh-ngeyeh mata (menghilangkan kesan rindu sebenarnya) aku nampak Tuk Imam berlalu ke tangga rumahnya, di sebelah bangunan masjid. Aku bangun perlahan dari tempat lelapku. Sebenarnya Tuk Imam berikan sebuah bilik di rumahnya tetapi aku hanya letakkan pakaianku di situ. Aku tidur di serambi masjid. Aku suka lapang. Aku suka lihat bulan bila dia mengambang. Aku suka lihat langit waktu malam. Gelap tapi cerah sebenarnya. Macam-macam aku nampak di langit kala berbaring di serambi masjid itu.
Aku lepaskan diri dari selimut nipisku. Perlahan-lahan aku keluar ke tengah laman masjid. Di situ ada kolam yang selalu penuh air. Kolam yang digunakan oleh pengujung untuk berwuduk. Ketika itu, bulan sedang mekar di puncak kelapa beroleng-oleng di kolam. Sunyi di mana-mana. Kesik bagaikan tertikam belati hingga nafas menjadi nyaring di telinga. Yang ada, hanya angin hilir mudik menyapa tubuh.
Dingin.
Ya, Allah ... alangkah kerdilnya aku.
Firdaus di manakah kau?

Dan, begitulah. Sebenarnya aku terlalu ingin bermalam di masjid. Seperti Muhammad bertemu Imam di masjid di bandarnya. Alangkah beruntungnya Muhammad. Alangkah berbudinya Imam masjid tempat Muhammad menjadi makmum. Dan, citra itu kini kian hilang. Apakah Imam rasakan dirinya sudah sangat bersih untuk mengauli insan-insan seperti Muhannadku yang kecil itu?

Wallahuaklam.