Monday, June 24, 2019


perempuan tanpa muka ii
Dia cuba bangkit dalam payah. Ya, aku cuma melihat. Cuma. Aku tidak menghulurkan tangan. Tidak juga bersimpati kerana niat baikku dikhianati. Aku ingin menolong tetapi dia nyaris membunuhku.
“Jika kasihkan dia, untuk apa kanda nikahimu, dinda,” aku Awang suatu malam. Ketika itu kami sedang membiarkan bayu mengelus tubuh. Berdua-dua di bawah bulan – satu rasa yang sukar diulas kata. Indah tak terpemenai di hati. Besar. Lapang. Jelita!
“Tapi dia datang kepadaku dengan bukti-bukti.”
“Masa telah berlalu isteriku. Maafkan aku. Ya, kanda pernah rapat dengan dia tetapi sebelum kanda menjabat tangan ayahandamu. Sebelum kanda lafaz akad dan janji setia di depan Tuhan. Sepertimu, kanda juga punya masa silam. Pun kanda sedar kesilapan diri.”
Aku tunduk memandang cincin di jari, ketika itu. Aku masih ingat Awang beria-ia meyakinkan aku. Dia tidak salah.
“Waktu itu Siti mahu teruskan kembaranya. Dia yang akrab dengan Siti datang. Seperti perantara, dia menyampaikan pesan-pesan Siti. Kanda terlupa. Iblis boleh datang dalam pelbagai rupa. Akhirnya lain yang kanda sebut, lain yang disampaikan kepada Siti. Hingga akhirnya Siti mengambil putusan berpisah. Ketika kosong jiwa itulah dia datang dengan manis bicara. Senyum dan canda. Kanda seperti tidak sedar itu goda. Ya, kanda akui itu cuma persona sementara.”
Aku mencari kebenaran kata-kata Awangku.
“Malam nanti, sujud dan berkata-katalah dengan Tuhan. Dia akan terus mengocak rukun hati kita. Dia hanya ingin lihat dinda pergi seperti Siti. Tetapi percayalah, Demi Allah kanda tidak akan pernah memilih dia kalaupun dinda pergi.”

ii
Darah membuak-buak keluar dari perut perempuan tanpa muka itu. Aku mengatur langkah menuju matahari naik. Sebentar lagi Dhuha. Aku tinggalkan dia kepada Tuhan. Aku tidak mahu menganggap dia anjing yang diselamatkan kemudian mengiggitku. Jika nafasnya cuma sehingga itu, ya sehingga itulah. Jika umurnya masih ada, ya adalah.

iii  
Awangku menanti di sejadah.

Friday, June 14, 2019


Perempuan Tanpa Muka
Suatu hari aku didatangi manusia tanpa muka. Perempuan.
Dia berdiri di hadapanku. Mengaku mencintai Awang.
Dan
aku katakan kepadanya begini, jika Awang mencintaimu silakan.
Dia senyum.
Dan
aku bertanya, kenapa kau tidak punya muka?
Dia diam.
Aku menyambung, ketika Awang bersama Siti kamu adalah pesuruh. Tiba-tiba kamu khianati Siti dan memerkup Awang ke dalam kandang rasa.
Mana maruahmu sebagai manusia?
Perempuan tanpa muka itu mendekatiku lalu menghunus sebilah belati.
Namun Al-Haq tidak mencederakan aku. 
Tiba-tiba dia rebah. Di kakiku. Belati di tangannya tertusuk perutnya.
Arghhhh
Kenapa secepat itu kau tewas? Aku hanya ingin melihat mukamu. Aku ingin katakan begini, “aku sudah mendengar cerita Siti. Rupanya Siti telah menyumpah kamu sehingga kamu hilang muka!”
Tetapi ketika itu dia nazak.
Aku tidak mahu menyumpah. Biarlah kau mati dengan aman, perempuan!
- Cuplikan dari Perempuan Tanpa Muka -

perempuan tanpa muka ii Dia cuba bangkit dalam payah. Ya, aku cuma melihat. Cuma. Aku tidak menghulurkan tangan. Tidak juga bersimpat...