perempuan tanpa muka ii
Dia cuba bangkit dalam payah. Ya, aku cuma melihat. Cuma.
Aku tidak menghulurkan tangan. Tidak juga bersimpati kerana niat baikku
dikhianati. Aku ingin menolong tetapi dia nyaris membunuhku.
“Jika kasihkan dia, untuk apa kanda nikahimu, dinda,” aku
Awang suatu malam. Ketika itu kami sedang membiarkan bayu mengelus tubuh.
Berdua-dua di bawah bulan – satu rasa yang sukar diulas kata. Indah tak
terpemenai di hati. Besar. Lapang. Jelita!
“Tapi dia datang kepadaku dengan bukti-bukti.”
“Masa telah berlalu isteriku. Maafkan aku. Ya, kanda pernah
rapat dengan dia tetapi sebelum kanda menjabat tangan ayahandamu. Sebelum kanda
lafaz akad dan janji setia di depan Tuhan. Sepertimu, kanda juga punya masa
silam. Pun kanda sedar kesilapan diri.”
Aku tunduk memandang cincin di jari, ketika itu. Aku masih
ingat Awang beria-ia meyakinkan aku. Dia tidak salah.
“Waktu itu Siti mahu teruskan kembaranya. Dia yang akrab
dengan Siti datang. Seperti perantara, dia menyampaikan pesan-pesan Siti. Kanda
terlupa. Iblis boleh datang dalam pelbagai rupa. Akhirnya lain yang kanda
sebut, lain yang disampaikan kepada Siti. Hingga akhirnya Siti mengambil
putusan berpisah. Ketika kosong jiwa itulah dia datang dengan manis bicara. Senyum dan canda. Kanda
seperti tidak sedar itu goda. Ya, kanda akui itu cuma persona sementara.”
Aku mencari kebenaran kata-kata Awangku.
“Malam nanti, sujud dan berkata-katalah dengan Tuhan. Dia akan terus
mengocak rukun hati kita. Dia hanya ingin lihat dinda pergi seperti Siti.
Tetapi percayalah, Demi Allah kanda tidak akan pernah memilih dia kalaupun dinda pergi.”
ii
Darah membuak-buak keluar dari perut perempuan tanpa muka
itu. Aku mengatur langkah menuju matahari naik. Sebentar lagi Dhuha. Aku
tinggalkan dia kepada Tuhan. Aku tidak mahu menganggap dia anjing yang
diselamatkan kemudian mengiggitku. Jika nafasnya cuma sehingga itu, ya sehingga
itulah. Jika umurnya masih ada, ya adalah.
iii
Awangku menanti di sejadah.