Tuesday, October 25, 2011

TAMU ITU

baru sahaja kuhantar ke pintu. Dia datang dengan senyum. Aku sambut dengan tangan terbuka. Mulalah bercerita macam-macam. Dari dunia tempurung hinggalah ke dunia tanpa batas. Lokal dan global. Dia pun bertanya itu ini. Aku menjawab sekadar-kadar kerana aku ingat pesan seorang guru, katanya orang yang banyak bertanya tentang kita, bukan mahu tahu tetapi mencari kelemahan. Berawaslah.

Mataku bukan maksum. Hatiku masih tergoda pada dunia tetapi pesan guruku itu selalu ada di antara celah-celah goadaan dunaiwi itu. Akupun bercerita tetapi waspada. Pun, nampaknya tamuku itu hanya bercakap perkara-perkara biasa. Dia rupanya peminat ruangan mayaku. Barangkali kerana itu dia bertanya, "kenapa tak banyak aktiviti yang awak peluncurkan di ruang maya?"

"Ramaipun dalam kalangan kita yang tak ada rumah maya."
Dia senyum dan mengiakan sebelum menambah, "ada juga saya tamui pejabat beberapa orang yang agak terkenal dalam bidang masing-masing. Berderet piala atau keratan akhbar tentang mereka di dinding pejabat. Saya pernah tengok pejabat seseorang yang penuh dengan gambar keratan surat khabar di dinding. Karya dan gambar. Hampir tak ada ruang kosong dinding."
"Tak apalah, itu tandanya mereka berkarya," balasku kecil sambil menghidangkan tamu itu kopi segera.
"Tapi anehlah, kalau awak tak letak apa-apa. Nanti orang tak tahu kegiatan awak. Manusia hari ini tak ada matahati, jadi kenalah tunjuk depan mata kegiatan awak. Biar orang tahu awak dalam bidang."
"Tak apa. Saya cuma jadi diri saya."
"Tak boleh, awak kena buat semua tu sebagai fardu kifayah kalau tak, orang yang tak wajar ambil tempat awak. Bangsa yang rugi."
"Tak mana ruginya bangsa kalau cuma sastera bidang saya. Lainlah kalau saya ni, pakar ekonomi atau pakar sains."
"Setiap manusia tu, ada gunanya kepada dunia. Kalau orang yang hanya menulis dalam majalah nyamuk atau yang tak pernah menulis jadi panel hadiah sastera di Malaysia, tak ke mana sastera kita."
"Terpulang, pada penganjur."
"Penganjur bukan malaikat. Awak kena ambil bahagian. Bagi pendapat awak juga. Saya pernah sekali dua ikut ceramah sastera awak. Awak patut di depan."
"Berilah kepada yang mahu. Saya cuma nak berkarya."
"Awak ... dah sampai masanya awak tonjolkan diri. Buat macam orang lain. Rebut peluang yang ada bukan untuk duit atau nama tetapi untuk membetulkan sahsiah sastera yang makin tak tentu hala nampaknya. Masing-masing nak tunjuk pandai sedangkan ilmunya tak sekuku lelabah di airpun."
Wah, dia pun dah beranalogi-logi.
"Kalau awak biarkan, mereka akan jadi racun yang akan membunuh kemurnian sastera negara. Mereka berkarya macam-macam kemudian keluarkan tafsiran yang tak tau dari mana datangnya. Tak tau paksi mana yang mereka guna."
"Sastera itu kepelbagaian. Biarlah."
"Tak boleh biarkan. Orang yang sepatutnya kena cakap perkara yang sepatutnya. Jangan biarkan tukang rumah memasak. Kalau kebetulan dia tukang masak tak apa tapi kalau dia cuma reti perihal rumah, apa hal?"
"Begini ..."
"Sekarang, orang yang selalu menang hadiah rasa dia hebat. Dia fikir karyanya bagus tetapi apakah benar-benar yang mendapat hadiah itu hebat?"
"Saya tak jadi juri, saya taknak komen."
"Jika ikutkan apa yang awak selalu perkatakan dalam bengkel-bengkel awak, karya yang pernah menang hadiah itu, belum capai tahap!"
"Jangan ukur karya dengan satu cara. Juri itu ada kebolehan masing-masing. Ada pelajar saya yang dah dapat puluhan hadiah. Terbukti mereka hebat."
"Hebat kumpul hadiah belum bermakna karya mereka hebat. Saya pernah bawakan karya yang menang kepada guru sekolah. Mereka baca dan mereka kata, sampah!"
"Tak apalah, janji bukan saya yang kata gitu."
"Sebab itu saya cadangkan, tampillah ke depan."

Aku pandang mukanya kerana kebetulan ketika itu telefonku berderit. Cawan kopi di depannya sudah kosong. Dia pun nampak serba salah apabila aku lebih banyak mengalah. Selepas mengukir janji di telefon dan mematikan perbualan pendek dengan pemanggil, dia angguk kepadaku. Selepas kesimpulan kecil kami, dia mohon diri dengan pesan usulannya tadi. Aku mengiakan sahaja tanpa niat kerana masih banyak perkara bermunculan dalam kepala.

Bengkel kecil di Kota Bharu 28/10/2011 dan Kuala Kangsar 31/10/2011 mengambil ruang di fikiran. Allahku, permudahkanlah urusan ini. Tanpa keberkatan-Mu, amanah ini tidak bakal terlaksana.


Monday, October 24, 2011

MENUNGGU MATI

... begitulah. Orkid itu kubawa ke rumah kira-kira tiga minggu lalu. Aku bercakap, sentuh dan aku siram hampir setiap hari. Tiba masa, ungunya berubah warna. Perlahan-lahan mengering dan dua kuntum di bawah kian menipis. Dan, aku kira seperti biasa, kembang ini akan mati seluruhnya. Yang tinggal kemudian perlahan mengering cuma rantingnya - yang tak akan berbunga lagi. Tika ini teringat-ingat barisan kata yang pernah kubaca. Cantik manapun bunga yang kembang atau tumbuh di depan mata, akan gugur jua.

Itulah hakikat kehidupan. Seperti kita dan sekalian makhluk Allah. Akan digulung bumi tatkala hari terakhir usianya, tatkala sangkakala diperintahkan Allah menamatkan takdir alamaya ini. Allahuakbar.

Atau, akukah kembang itu? Perlahan mati dari rindumu kasih.


Friday, October 21, 2011

BERHENTIlah ...

"... menunggu telefon tu berderit."
Dia diam. Seperti selalu, aku yang kelihatan menyerang. Kadang-kadang datang juga belas tetapi sebenarnya jauh di lubuk hati, aku tidak mahu dia berharap. Biar aku yang membunuhnya, jika benar dia perlu mati. Bukan orang yang tidak mengenal dia yang menghunus senjata kematian. Biar aku. Aku. Aku akan bunuh dia ketika dia masih tersenyum. Waktu dia menutup mata dengan harapan yang bugar-bugar. Andai dia bermimpi, biarlah mimpinya yang terindah. Biar dia menghembus nafas akhirnya dalam kalimat suci. Allah. Aku mahu begitu.
"Sejak kenal kau, aku tak pernah dengar kau berbual dengannya. Atau ... 'cintakasih' itu sebenarnya tak wujud?"
"Aku bukan isim."
"Kalau ada, kau tak perlu menanti. Dia akan kembali kepadamu."
"Hanya orang yang tak punya keyakinan perlukan bukti. Aku selalu yakin."
"Yakin dengan menanti?"
"Aku tak mahu, dia datang ketika aku hilang dari rasa. Aku mahu biarlah aku mati dalam rasa."
Giliran aku diam. Maklum aku akan kuatnya dia. Allahuakbar.


Thursday, October 20, 2011

SUNGGUH


... aku ingat. Tak tergalas bahu. Tak tertanggung rasa. Tak terucap kata.

Di manakah dikau, kasih?


Monday, October 17, 2011

Rezeki Itu Apa?

"Anugerah Allah."
"Contoh?"
"Hari ni, teman baikku Doktor Hajar ajak makan. Dia kata, aku mesti ada nak makan sesuatu. Aku menggeleng."
"Jadi, kau tak makan?"
"Dia kata, selalunya orang demam, ada kehendak pelik-pelik."
"Ha'ah. Aku selalu dengar begitu."
"Aku manusia biasa jadi kehendakku pun biasa-biasa."
"Kalau aku demam, aku suka makan nanas dalam tin."
"Oh, sama macam kawanku Jais."
"Tapi aku perempuan."
"Kehendak tak ada jantina."
Iman senyum, termalu-malu.
"Jadi kami makan di Rumah Universiti (RU). Tidak. Satu apapun tidak menarik minatku. Cuma tahu Jepun yang aku pilih."
"Kenapa tak ajak aku sekali?"
"Kau keluar dengan kasih kau."
Iman senyum lagi. Lebih manis.
"Aku temankan dia ke klinik gigi tadi."
Diam.
"Dan, balik dari RU, suami Doktor Hajar sedang menanti di perkarangan jabatan. Sekotak buah kuini dihulurkan."
Muka gadis Iman berkerut.
"Baunya menginsafkan. Rupanya cuma ini yang aku mahu hari ini."
"Maksudmu?"
"Akhirnya aku sedar, buah kampung ini telah memenuhi seluruh indera impiku. Lazatnya. Tidak terbanding dengan satu apapun."

Alhamdulillah. Terima kasih, Encik Omar Selvam.


Pabila teringat

...pesan Rasulullah, rebut masa sihat, masa senang, muda, masa lapang dan masa hidup sebelum datang lawan-lawannya. Kelak tiadalah kita akan sesal. Dan benarlah semua itu. Aku rasakan satu persatu bila sakit begini.

Pabila makanan semuanya tak terinjak deria rasa kerana semua jadi pahit di lidah. Deria dengar tak sudi mendendangkan apapun irama kecuali dengungan yang bersahutan di kepala. Mata berderu-deru mohon untuk pejam dan badan sedang berganti-gantian merayu ke saraf fikir untuk berhenti mentafsir objek pada retina. Telinga terdengar-dengar bantal memanggil. Dan, tika inilah terfikir jika menurut kemahuan itu, nafasku diambil malaikat. Tuhan ...

Allahuakbar, rupanya sudah lama aku tidak demam. Terima kasih kepada malaikat rahmat yang mengejutkan aku untuk sebuah sedar. Pagi tadi.

Sunday, October 16, 2011

... kala ini

"Apa yang kau mahu?"
"Tak apa-apa."
"Dia patut ada di sebelahmu."
"Hidup bukan hanya untuk berdua-duaan. Dunia ini besar untuk kami. Lagipun, aku cuma demam."
"Tapi kau perlu dia."
"Ada di sebelahku tapi rasa hilang dari hatinya. Tak guna juga, kan?"
Diam.
"Ingatan, dah lebih dari memadai."
Iman menggeleng. Gadis manis itu mengangkat kening tinggi-tinggi kemudian menarik bibir - bukan senyum.
"Lagipun, aku tak mahu dia dijangkiti. Aku nak dia selalu sihat. Selalu senyum. Aku tak akan lelah mendoakan keutuhan dia."
"Jadi kalau dia sakit, kau tak ..."
"Bukan cuma dijangkiti, jika nyawa pun tuntutannya, aku tak akan ralat. Aku tak mampu lihat dia disakiti. Biar aku tanggung semua dukanya. Lukanya."
"Jadi?"
"Usahlah bertanya, adik. Tak daya kujelaskan. Ikatan hati itu apa yang tak terjangkau mata akal manusia. Bahagia itu bilamana kauyakin dengan apa yang kau ada. Kau sedar kewujudan takdir dan selalu syukur dengan nafas-nafas yang kau hirup."
Iman tunduk.
"Mendoakan orang lain dengan jujur, insyaAllah makbul."
Iman mohon diri dan bangun kemudian meninggalkan aku ketika senja hampir melaungkan azan maghrib. Salamnya kujawab tatkala hidung bercelucur air. Walaikumsalam, adik.

Kata Emak

jika bulu mata gugur, ada orang teringat kita. Aku ambil bulu mata dan kuletakkan di telapak tangan. Lama aku tenung. Terkenang pula kata teman waktu dulu-dulu. Letakkan di kepala biar ingat pengingat itu makin kuat. Makin dalam. Tanpa logik, tanpa sebab aku hantar bulu mataku ke ubun-ubun. Lama kuletakkan tangan di situ. Bersatulah di puncak nyawa. Hati membisik harap sepekat kopi di depanku.

Aku suka kopi tambah-tambah kala demam. Melihat kopi dan menahan lemau badan terimbau kembali kata emak, demam jangan dimanjai nanti melarat. Sudah tiga hari kesihatan agak terganggu. Pun, aku tetap bergerak. Aku masih ke kamar kerja. Termasuk kelmarin. Jika di rumah, aku rasa waktuku akan banyak terbuang di kasur. Mudahan kesihatanku akan pulih sempurna. Amin.

Allahku, terima kasih memberiku kederat ghaib dan kederat zahir untuk menikmati nafas-Mu. Menghargai iman ini.


Saturday, October 15, 2011

kira kau tahu ...

"Aku menanti."
"Siapa?"
"Dia. Kasihku."
"Barangkali kau bukan, kasihnya."
"Sadis."
"Hakikat."
"Aku belajar jadi insan."
"Melalui cinta?"
"Cinta itu milik Allah. Aku cuma menghargai pemberian."
"Walau kau luka?"
"Luka itu merah. Aku suka merah. Marak dengan sakit. Biar aku rasa sakitnya rasa. Biar aku rasa, azabnya Rabiah mencintai Allah."
"Rabiah tak pernah ingkar."
"Aku cuma aku. Seperti dia yang tak pernah ada syaratnya bertandang ke rumah rasaku."
"Berhentilah."
"Allah akan tutup segala rasa bila bukan dia kekasih pada suratan Lohku, aku reda."
"Dia jauh. Apa kau buat bila ingat tertunda rasa?"
"Menulis."
"Dia membaca?"
Diam.
"Lagi?"
"Beristighfar banyak-banyak. Hati cair dan gugur di mata. Insaf dan ingat bergaul jadi satu. Allahuakbar. Biarlah air mataku jadi saksi, cintaku kerana takutkan wujud."
"Tapi kau masih mencintai manusia?"
" ... benar tapi sama lintas, aku kembali ke wujud-Nya."
"Matlamat tak menghalalkan cara."
"Allah tau segala rasa, segala cela, segala-gala."
"Sahabat, berhentilah bercinta dengan rasa. Air mata untuk Allahmu lebih utama."
Diam.
Dan, perempun itu sujud di sejadah cinta. Basah.


... dan aku

tak memerlukan selainmu.

Cukup bila kau ada walau jauh atau tak tergapai aku. Cinta itu apa yang kurasa bukan yang kau ada. Kau bukan kulit ke kulit tetapi hatiku. Seperti bulan itu di dalam hitam. Aku masih akan mencintaimu walau jalannya gelap untuk kutembus.

... karna aku yakin hatiku. Biar sakit atau bahagia. Aku tidak mencari kata justeru cinta itu bukan sehelai janji atau kertas.


Thursday, October 13, 2011

DALAM WAKTU

yang banyak, selalu aku berharapkan keajaiban. Lesu. Aku perlu tidur sebentar. Dan, waktu kubuka mata untuk menyambung nafas, ada kau di depan. Menyiapkan kopi hitam atau segelas air putih. Dan, senyum.


Wednesday, October 12, 2011

TENTANG

sekurun ingat yang kusimpan, janganlah lebur di bakar waktu atau jarak.

Kenang-kenang yang kubidi, janganlah jadi taufan membadai aku. Dalam diam dalam siang sesudah kau pergi - malam itu tika hujan membelenggu aku dalam rindu yang tak kunjung hilang. Yang kuada cuma kenang-kenangan.

... dan, hari ini kepada matahari kepada bulan aku membisik pesan. Aku menanti di sini, di tiap denyut nafas Tuhan.



Tuesday, October 11, 2011

DALAM RASA

kau dekat. Merangkulku dalam cinta. Tanpa putus atau curiga. Hingga kurasa derap jantungmu berdetak pada pembuluh nafasku. Tanpa lepas atau hilang.

Kala kauusap ubunku, terasa kita bersatu dalam keabadian. Tanpa dendam atau pertarungan. Pabila labuhkan kepala di lenganmu, beban duniaku urai di sayup malam. Dan, akupun lena berteman mimpi terbang laksana rama-rama biru menuju langit. Sayapnya romamu, kasih.

... dan, begitulah aku mencintaimu dalam nafas manusia. Tanpa syarat atau pertanyaan juga jawapan.




Monday, October 10, 2011

SEHELAI

daun seperti usiaku. Singkat tetapi jujur. Tidak mampu kulukis dengan kata atau warna kerana hati masih dalam rupa seketul daging. Tak punya mukzijat suara.

Kasih, serasa-rasanya aku faham. Sukarnya kau menterjemah makna kemahuan dalam warna yang mudah kerana warna juga tak berupaya berkata-kata pada telinga.

Allahku, sungguh aku kagum pada takdir ini. Terima kasih membenarkan aku menjadi insan dan Kau memberi laluan uji ini padaku. Mudahan, akan selalu aku sedar, aku sedang meniti pada jalan takdir. Amin.

Petaling Jaya - lewat musim hujan yang sering menempiaskan rindu di kamar pengapku.


Thursday, October 06, 2011

MATAHARI


... jikapun berduka janganlah henti menyinar. Atau meminggir kerana purnama. Justeru cuma kau yang menerangi jalan zahirku. Menjadi matajiwa.

Dan, janganlah kau pergi, kasih ...

perempuan tanpa muka ii Dia cuba bangkit dalam payah. Ya, aku cuma melihat. Cuma. Aku tidak menghulurkan tangan. Tidak juga bersimpat...