Monday, January 17, 2011

TENTANG INGAT

Rakaman kenangan dan sebuah ingat. Menghadiri majlis perkahwinan di Universitas Malang, Indonesia, sekitar Mei 2010. Hampir setahun sudah berlalu. Dan, kenangan itu masih terasa baharu. Terima kasih Tuhan, memberikan ruang di hatiku mengingat tentang Malang.

Thursday, January 06, 2011

KENANGAN RINDU KEPADA SEORANG KASIH

...dan 'putu halba'. Puluhan tahun aku tidak sempat merasa putu halba kerana takdir hidup. Selalunya ubi kayu parut dikukus bersama manisan, halba dan dimakan bersama kelapa parut ini hanya ada pada musim hujan. Tetapi itulah, musim dan waktu telah memisahkan aku dari putu halba.

Suatu hari, kasihku bertanya. Apa yang hendak kumakan jika dia ke KL. Aku bilang putu halba. Dan, dia sampai di kota hidup ini sesudah jam bertukar hari. Aku menanti persis hamil anak pertama. Tuhan ... Kau takdirkan jauh ini untukku menalakan hidup dan kasihku datang dengan rindu berabad.

Suatu hari yang lain, aku ketemu kasihku di tanah lahir. Hari itu hujan. Ada orang menjual putu halba di tepi jalan. Dia katakan padaku, itu putu halba kesukaan awak, kan? Dia berhentikan kenderaan dan membelikan untukku. Hatiku luluh. Rupanya, masih dia ingat tentang aku walaupun kami sudah sekian waktu dipisahkan takdir. Barangkali dia juga parah mahu membuang ingat tentangku.

Kelmarin (02/01/2011), aku beli putu halba. Kutelan bersama deraian air yang gugur dari pengkalan rindu. Padanya seorang kasih yang telah pergi tetapi tidak pernah mati dari ingatku. Kerana jika ada cinta manusia, hanya dia yang aku cinta sebagai manusia.

Tuhan, alangkah peritnya menerima takdir-Mu. Keringkan air luka dari lubuk sukmaku. Mohon, ya Allah...

Wednesday, January 05, 2011

BERTEMU NIK AZIZ

TELAH KUABADIKAN nama dan juzuk sosok beliau di ingatan. Beliau datang melawat paduka ayahanda sekitar jam satu tiga puluh tengahari 02/01/2011. Menurutnya, beliau dari lapangan terbang, menunggu Al-Sultan Kelantan. Agak lewat lalu beliau datang ke HUSM, ke sisi paduka ayahandaku yang terlantar sejak 3/12/2010 sebelum kembali lagi ke lapangan terbang. Merdu mukanya. Syahdu renung mata tuanya. Aku beberapa kali menyeru nama ayah di telinga, dan beliau menegah, katanya biarkan ayah rehat. Beliau nampak sugul dan aku difahamkan beliau juga uzur. Datangnyapun bertongkat. Aku faham keakrabannya dengan ayah. Silaturahim tidak renggang meskipun mereka tidak seduduk sebangun.

Beliau beransur sesudah menghabiskan beberapa doa di sisi ayah. Aku renung mukanya. Aku lihat hamba di jiwanya. Perlahan suaranya, perlahan geraknya, anjur-anjur tapakannya. Dan, beliau mohon diri tengahari itu lalu menjenggah ke katil-katil pesakit lain di wad 8S dalam menuju pintu. Sepulangnya beliau, baharu kusedar, Tuhan mentakdirkan kami bertemu dalam keadaan bukan politik, bukan sensasi meskipun beliau tersohor serata alam. Tiada jurufoto (dan aku juga tidak mengambil foto biarpun dalam begku selalu ada kamera) yang mengelilingi kami, tiada wartawan mengikuti dan begitu rakyat beliau. Masih penjadi insan dalam lajuran nasab, beliau walau sibuk walau kelihatan uzur. Dan akupun bernekad; tidak jadi pemimpin politik kerana tahu aku tidak mampu laksanakan tugas sebegitu.

Tuhan, terima kasih menemukan kami dalam situasi terindah walau ketika itu ayah tidak perkenalkan siapa aku kepada Ayah Ziz.

perempuan tanpa muka ii Dia cuba bangkit dalam payah. Ya, aku cuma melihat. Cuma. Aku tidak menghulurkan tangan. Tidak juga bersimpat...