Monday, February 21, 2011

PULANG





perjalananya panjang lebih dari biasa. Memandu malam sendirian. Aku pulang bukan untuk menatap saudara mara, adik abang atau rumah atau kubur. Aku mahu memandang ayahku kali terakhir. Tetapi, kenapa sekejam itu mereka. Mengapa ada dalam kalangan manusia yang lahir sedarah dengan darahku, senasab denganku itu lebih kejam dari Yahudi?

Kau fikir, Tuhan merestu perbuatan kalian kerana berjaya menghalang aku daripada menatap ayah kali akhir? Jangan datang meminta maaf padaku di sirat al-mustaqim. Kita jumpa di depan Tuhan. Biar Dia tunjukkan kepada kalian nikmat mengkhianati aku!


Monday, February 14, 2011

SUATU HARI BERNAMA UNGU

Mahu aku pilih suatu hari untuk kunamakan ungu. Biar, jika ada yang protes. Aku fikir protes itu hak kalian dan menamakan itu hakku. Biar aku dan ungu bersatu dalam kalimah tanpa kata. Dalam rindu tanpa resah. Dalam resah tanpa marah. Dalam marah tanpa dendam.

Biar mereka bilang aku insan tanpa tertib. Biar mereka kira aku insan tanpa segala. Aku hanya ingin menamakan hari itu ungu. Seperti aku mahu katakan begini; kasih, kaulah ungu itu. Mewarnakan hatiku yang kecil ini dengan ungu hingga rinduku tak bisa lagi berlari di padang rasaku.

Ungu, aku cinta ronamu. Biar dari dalamnya aku belajar menulis makna hidup. Biar dari indah warnamu aku belajar memahami pusaran nasib. Biar dari dalamnya kuingati jejak siapa yang tertinggal di halamanku.

Kata mereka ungu itu sayu yang terbujur kaku dalam sukma. Kataku, ungu itu aku.

Friday, February 11, 2011

SENYUM


SELALUnya aku senyum. Dalam apa keadaan pun, aku cuba tersenyum. Adakalanya rasa seperti pura-pura tetapi aku semat di hati, senyum itu sedekah. Tak mampu kuberi emas permata, cukuplah jika tersenyum. Begitu selalu fikirku. Bulan-bulan kebelakangan ini, tekanan agak membebankan hingga aku rasa begitu sukar tersenyum. Fitnah melanda bagaikan angin. Bertiup tanpa jeda. Seolah-olah manusia tidak punya pagar agama lagi. Dinding susila lagi. Jujur menjadi mainan. Kiblat adalah kemahuan yang jika dijelujur adalah nafsu.

Mengejar nama, pangkat dan harta hingga sanggup membelakangi nilai dan agama. Sanggup mengkhianati teman sendiri. Malah ada yang sudah sanggup ke tahap membunuhpun. Apakah ini tanda-tanda manusia sudah semakin sakit. Manusia sudah semakin tidak mahu mengutamakan Allah selain nafsu semata-mata? Mengapa hanya untuk sepampang nama yang tidak membawa kita ke mana itu manusia sanggup ketepikan nilai persahabatan? Kemuliaan hati dan kemurnian iman yang dituntut agama?

Duhai ... sedihnya menjadi manusia. Menjadi insan. Sudah tidak ramai orang mahu menjadi insan. Masing-masing mahu jadi manusia sahaja. Perempuan atau lelaki sama. Di rumah atau di tempat kerja. Di negeri sendiri atau di kota tempat mereka mencari rezeki atau ilmu. Kenapa semua ini berlaku? Apakah benar, sistem nilai sudah semakin runtuh sebagaimana yang termenifestasi melalui tindakan sebilangan besar mereka?

Tuhan, selamatkanlah ayahku.

perempuan tanpa muka ii Dia cuba bangkit dalam payah. Ya, aku cuma melihat. Cuma. Aku tidak menghulurkan tangan. Tidak juga bersimpat...