Friday, April 07, 2006

Anda tentu menyokong, pabila saya katakan 'jatuh cinta itu indah'. tiada pernah saya mendengar ada orang menyebut, jatuh cinta itu sakit. yang sakit mungkin sesudah tidak mampu bersama dengan kecintaan kita. itu saya yakin dan percaya.

saya, juga sedang jatuh cinta. teramat indah raanya. saban hari saya menunggu untuk melihat dan merasai perkembangan rasa cinta saya. bukan satu eksperimen tapi memang itu yang saya mahu. saya mahu semua yang sempat dirasai, bisa saya nikmati dengan indah.

mulai april 2003, saya tinggal di kolej kediaman 4, UM. selain daripada menghuni k4, hari-hari saya adalah menapak di aspal dari k4 ke jabatan. saya akan melewati fakulti bahasa dan linguistik. selain pernah belajar di situ tahun 1990-an, saya tidak teringatkan apa-apa tatkala melihat bangunan putih itu.

namun semuanya berubah tatkala suatu petang, saya pulang dari jabatan ke k4. waktu itu malam dan bulan penuh. cantik. sudah lama saya tidak melihat bulan. dan saya suka cahaya yang terang itu berkembang di atas pohon yang separuh mati di penjuru bangunan tambahan fakulti linguistik. saya tidak dapat gambarken kesayuan malam itu. barangkali justeru saya sudah lama tidak menikmati malam bulan penuh atau barangkali juga kerana terlalu lama memerap di kamar kerja dan tidak pedulikan alam. yang pasti malam itu jadi istimewa.

sesudah jauh pun saya masih tertoleh-toleh pada pokok hampir mati itu. esoknya saya melalui jalan sama. saya melihat pohon itu. rupanya saya bukan jatuh cinta pada bulan dan malam tetapi pokok itu menjadikan saya rindu untuk selalu memandangnya. pokok itu cantik. pokok itu sesuatu yang nostalgik. pokok itu menginatkan saya kepada dua situasi. malam dan siang. yang berbeda. tetapi nyata, saya jatuh cinta!

pada masa sama, saya juga selalu melewati fakulti kejuruteraan dari pintu pagar KL. di simpang menuju fakulti itu ada dua pokok yang juga membuatkan hati saya senyum.

kini, sesudah saya tidak lagi menghuni k4, saya seakan-akan kehilangan sesuatu. pokok itu. saya tahu. yang ada, yang dapat saya pandang kini hanya pokok di simpang fakulti kejuruteraan. ada kalanya dia berbunga penuh dan daunnya hampir tiada. dan adakalanya sekuntum bunga pun tidak ada pada dahannya tetapi rindu saya tetap sama.

hari ini, pokok itu berbunga senkuntum. ungu. warna indah. benarlah, Tuhan menghadiahkan keajaiban kepada alam untuk dinikmati manusia. saya rasa begitu bahagia hari ini. daunnya masih banyak. saya akan menunggu sehingga kesemua daunnya hilang dan pokok itu akan diindahi warna ungu. boleh anda bayangkan, sepohon yang berdahan dengan salutan bunga-bunga ungu . satu warna yang bukan biru, tidak juga merah, dan sama sekali jauh bedanya dengan warna hijau tetapi masih juga indah walaupun barangkali tidak seagung ros yang dipuja oleh ramai orang. saya tak bisa mencapai tetapi hati saya bahagia memandang.

bukankah bahagia itu milik hati? pernah saya terbaca satu kutipan atau jika dapat diistilahkan sebagai madah pun mungkin, bunga, manusia semuanya akan mati tetapi cintakan Tuhan, Dia akan kekal dan membalas cinta anda dalam cara yang tidak tercapai akal kita, manusia. saya setuju tetapi apa daya, saya sedang jatuh cinta kepada warna dan pokok itu. saya tidak bisa menolak dan saya pasti pokok itu akan mati. saya juga. jadi, saya pasrah kepada kejadian. sehingga kini saya bahagia hatta Tuhan masih belum menjelmakan rasa cinta ke dalam hati saya kepada sesama insan hatta kepada insan terdekat dengan saya.

kepada mereka yang membaca ini, maafkan saya kerana bercakap jujur. cinta pada saya, kompleks dan absurd. pun, saya tetap percaya saya masih normal justeru pada saya, cinta itu sesuatu yang membahagiakan!

saya bahagia dengan warna ...



perempuan tanpa muka ii Dia cuba bangkit dalam payah. Ya, aku cuma melihat. Cuma. Aku tidak menghulurkan tangan. Tidak juga bersimpat...