Thursday, February 16, 2012

MUSIM

seperti kembang itu, akhirnya kita juga akan sampai ke musim ini. Musim gugur. Cuma bezanya, kembang merah itu menjadi sampah (dalam istilah) dan kita akan berhadapan dengan ribuan persoalan yang telah kita perlakukan semasa usia diamanahkan.

Seperti kembang merah itu, kita yang mungkin pernah cantik, menarik, terkenal akhirnya menuju negeri mati tanpa persedian dan mungkin dengan persediaan. KAta orang alim, beruntunglah sesiapa yang selalu siap untuk kembali ke negeri kekal tetapi celakalah yang dianugerahi umur panjang tetapi tidak beramalan baik justeru menghabiskan usia dengan kealpaan.

Allahku, tunjukkanlah aku jalan lurus. Agar tak Kau golongkan aku dalam kalangan hamba yang tak Kau redai jalannya. Amin.

Tuesday, February 14, 2012

MALAM, BULAN, RINDU

sedang jatuh cinta dengan Malam, Bulan, Rindu. Moga tiada ada kendala sebelum Febuari berakhir. InsyaAllah.

Monday, February 13, 2012

AWAL yang sakit

Kuliah sepatutnya bermula 8 pagi dan aku bersiap sebening jam 5. Waktu sampai tiada sesiapa di kampus. Menanti hingga jam 9. Sempat menyempurnakan (dalam istilah) sunat pagi. Masih juga tiada yang hadir. Aku pandang orkid depan mata. Macam baldu. Tiada indah yang mampu kejelas. Aku berbicara dengannya sambil membukan beberapa web yang sepatutnya dibuka untuk memasukkan butiran pengajaran. Tersekat sana sini. Kepala jadi semak. Cepat-cepat buat teh, Minum. Datang Hajar. Bihun dan nasi goreng yang dibawaknya kami santap dengan sambal belacan yang kubuat untuknya. Teh hampir sejuk aku minum. Ada yang masih tidak lepas sebenarnya.

Seorang pelajar mengetuk pintu. Katanya, mereka bertiga. Aku buka kelas di depan kamar. Hingga jam hampir akhir 9, cuma 5 sahaja yang hadir. Marak kemarahan. Kemana hilangnya 18 lagi? Apakah mereka fikir, minggu add & drop ini mereka tidak perlu hadir kuliah sedangkan aku telah siap dengan perancangan pembahagian tugas supaya kelas bermula dengan sempurna sepanjang 14 minggu ini? Apakah alasan mereka untuk tidak datang kuliah sedangkan kursus ini kursus wajib? Tidak perlu drop-drop @ add-add lagi dah! Semua wajib.

Masuk ke pejabat, taipis buat hal. Jadual banyak yang salah! Aku pandang mukanya. Teringat aku yang buat jadual untuk sem lepas dan sem sebelumnya. Waktu buat jadual itu dia bercuti. Aku yang baru balik sebatikal terkial-kial mengatur jadual. Bahan-bahan jadual dengan dia sebab dia yang jaga fail kursus under-grad. Sudah banyak kali dia buat hal begini. Selalu, musim sibuk dia akan mengambil cuti. Alih-alih dia membebel. Orang itu komplen. Orang ini komplen, katanya. Kalian fikir apa tindakanku?

&^*()(&%$%&^$@#$%^*())_+_(*^%$@%&*

Aku masuk kamar kerja. Minum teh pagi yang masih berbaki di cawan bercap 'bicara seni antara cinta dan cita' cawan yang kuperoleh sebagai cederamata semasa menjadi panel forum tersebut di Ipoh tahun sudah.

Pagiku tak berseri rasanya. Aku duduk mengadap pc dan berfikir. Benarlah firman-Nya, hati itu milik insan. Dan, demam pun makin menjadi-jadi.

Sunday, February 12, 2012

... dalam

menantimu, aku tak menghitung kepergian waktu kerana daku tak pernah menyesal.


Saturday, February 11, 2012

... maghrib

di luar dan di dalam. Hujan dan malam. Teringat rumput yang baru kutanam. Mudahan rumput itu segar. Mudahan rumput itu akan menjadi temanku. Berzikir kepada Allah dan roh zikir itu menggema di kamarku. Atau menjadi irama yang akan mendamaikan riuh hidup oleh alpa dan akhirnya mendekatkan aku pada-Nya.

Sebentar lagi bakal malam dan hitam menjadi teman alam. Aku tetap menanti hingga sepertiga dari waktumu. Kasih ... kita bertemu.

merai demam

tiga empat hari merai demam dan batuk. Benar-benar aku menikmatinya. Alhamdulillah, hari ini terasa seperti hilang sakit ribuan hari. Sekira-kiranya, selepas melalui detik-detik kusam barulah kita tahu indahnya langkah yang tak tersekat. Merahnya warna tanpa hitam. Jujurnya kata tanpa lidah.

Kasih, gila aku oleh rindu padamu!

Thursday, February 09, 2012

NOSTALGIA dan orang kita

... indah. Perjalanan KB-KL pada siang 7/2/12 menemukan aku dengan minuman ini. Sudah puluhan tahun aku tidak melihat malah meminumnya. Kami memanggilnya 'air oren'. Kecil-kecil dulu, kalau minum air oren aku suka cicah dengan biskut tawar. Suka sangat. Masih dapat rasa semua itu.

Aku nampak oren ini di kedai tepi jalan KB - KL tempat beli 'akok dan wohulu' selepas pekan Gua Musang. Kalau tak silap kedai itu kedai, 'Kak Yah'. Tiba-tiba sahaja mataku terpandang seikat (botol-botol minuman ini diikat dalam jumlah sedozen (12) dengan tali rafia) oren ini. Lama aku pandang. Aku tanyakan Kak Yah, status halalnya. Kata Kak Yah dengan yakin, halal! Ini dibuat oleh orang kita. Aku ambil satu dozen. Aku minta Kak Yah bukakan satu untuk dinikmati dalam perjalanan. Dan, ah ... sepanjang jalan aku dibuai kenangan. Tentang usia, tentang sekolah, nasi berlauk gulai daging dengan ubi keling, jeput pisang Mokku Yoh, nasi plus bihun di kantin sekolah, berbasikal dan macam-macam.

Tahulah aku, rupanya sudah sekian waktu Allah yang kuambil. Tak terbayar aku. Tak terbalas aku. Sungguh ... kian jauh kenangan itu berpergian dan begitu kenangan itu berpergian, begitulah kematian sedang kujejak.

Allah, kekalkan aku di sini - di sirat al-mustaqim-Mu. Amin.

Wednesday, February 08, 2012

MENATANG INGAT ii

"Tatanglah hatimu menuju Allah. Berhentilah menatang ingat kepada manusia. "
Dia memandangku, sayu. Serasa-rasa aku dapat membaca pandangan itu. Tiba-tiba matanya dikacai air. Aku menghela nafas. Sukar rasanya berkata-kata dengan perempuan yang satu ini. Bahasanya diam. Jarang menyanggahku. Menidakkan suaraku. Kadang-kadang aku gemas pada tatacaranya. Kadang-kadang aku bosan pada keberadaannya. Dia tegas. Keras dan ramai yang kata dia sadis. Selalu pabila bersamanya, aku cari kata teman-teman tentangnya tetapi belum kutemui.

Pada sorot matanya kulihat ada sedu yang banyak. Pada keras katanya seperti ada tersadur luka yang dalam. Pada lantang suaranya ada semangat yang tersembunyi. Dan, sadisnya berwajah lara. Seperti. Sebenarnya, dialah itu menyimpan kemaskejap sebuah hikayat rindu yang panjang dalam diam. Pernah kujumpai sekeping nota yang tertulis, "ya Allah jika cinta ini akan menghantarku ke neraka-Mu, tutuplah hatiku dari berkat cinta kecuali pada-Mu, Allahku walau hati meminta untuk menatap merahnya warna."

Aku pegang jejarinya. Aku bawa ke penadahan. Aku turut mendoakan; moga Allah selalu menerimanya. Menerimaku dan menerima dia, insan yang sedang kembali menatang cinta Tuhan.

Amin.

perempuan tanpa muka ii Dia cuba bangkit dalam payah. Ya, aku cuma melihat. Cuma. Aku tidak menghulurkan tangan. Tidak juga bersimpat...