Sunday, April 11, 2004

Saya sedang bercakap dengan kawan yang sedang berada di Toronto. Dia memperkatakan tentang kapitalism yang sedang mencengkam dunia dengan kuku budaya yang terwarna cantik. Yang tanpa disedari berjaya menarik sesiapa sahaja untuk menikmati (kebanyakannya mencuba menggunakan warna yang dipamer). Tanpa sedar juga telah berjaya diperdaya. natijahnya ... kita harus mencari resolusinya sendiri.

Persoalan kedua yang dihujahkan oleh kawan saya itu, 'artisan adalah tulang belakang sebuah peradaban'. Dia tanyakan kepada saya, apakah saya bersetuju atau tidak? Pada dasarnya memang saya bersetuju kerana tanpa 'artisan' saya tidak fikir candi borubudur, kota kuala kedah, artifak di lembah bujang, batu bersurat di terengganu, masjid kampung laut di kelantan itu wujud, langsung menjadi sebahagian kecil daripada tanda peradaban di bumi Melayu ini.

Sekadar dua cuplikan kecil yang mungkin dapat disambung menjadi rangkaian fikir yang menarik dan bermanfaat. Agaknya apa komen anda ya?

Friday, April 09, 2004

Memiliki seorang 'sahabat' membuatkan kita kerap kali tidak berasa bertuah. Adakah anda bersetuju dengan apa yang saya tulis ini? Saya tidak tahu, apakah anda setuju atau tidak tetapi yang pasti itulah yang sering saya rasakan 'pada ketika-ketika' nya. Saya fikir, ada masanya anda tertanya-tanya, kenapa saya 'berasa' begitu sedangkan saya telah memberikan status 'sahabat' kepada mereka. Pertanyaan itu mungkin disebabkan anda tidak atau 'menidakkan' perasaan begitu. Lalu di sini, biarlah saya jelaskan maksud pernyataan saya itu.

Saya selalu mengharapkan 'sahabat' saya itu 'seseorang' yang memiliki apa saja yang saya hajati. Dalam waktu-waktu tertentu, saya perlukan sebuah rumah besar. Jika 'sahabat' saya itu 'seseorang' dia dapat menghadiahkan saya sebuah rumah yang sebegitu atau sepaling tidak dia meminjamkan saya kamar besarnya yang menghadap laut. Dari situ seharian saya akan lepaskan segala kusut akal dan hati saya ke laut dari cermin jendelanya yang lapang. Meskipun hanya dari imiginasi, saya sudah bebas. Justeru sudah sekian lama saya inginkan sebuah kamar yang begitu. Kamar yang apabila saya bangun dari lena saya dapat melihat matahari menggeliat di ranjang pagi dari kaki langit yang memutihkan ombak berwarna kapas.

Ombak yang tentu sahaja tidak sama dengan awan yang saya lihat dari jendela pesawat tika saya terbang melepasi siruskumulus atau mana-mana awan yang sudah saya lupa namanya. Saya ingin lepaskan kesemua lelah di dada ke dada ombak. Lantas dari baringan di kamar itu saya bisa mentafsir makna baru tentang baringan juga ombak. Terlalu saya ingin. Dari kamar itu akan saya rakamkan warna laut dan langit yang bersatu di hujung mata. Dari debur ombak itu ingin saya pastikan makna zikir yang bertaut dari lidah jagat kepada Tuhan yang seru. Zikir ombak dan pasir. Zikir ikan dan air. Zikir angin dan hujan. Zikir darat dan lautan. Zikir siang dan malam.

Dari kamar itu juga akan saya nikmati bisikan bayu yang berpupuk lagu tawaduk rindu mahkluk yang naif dan fana kepada Allah Azawajalla. Saya rakamkan ritma rindu itu dengan nafas yang kerdil ini. aku ingin melihat segalanya dengan mata dan hati yang satu.

Tetapi semua itu belum terjadi ke muka hidup saya. Apakah kerana tiada
'sahabat' saya yang memiliki rumah di tepi laut, sudi menghadiahi saya rumahnya atau meminjamkan kamarnya kepada saya. Pun, selepas jaga dari satu lena di lengan sendiri yang abadi dengan diri (mungkin) saya sedar saya sebenarnya sudah lama 'bertuah' kerana memiliki 'sahabat' yang tidak memiliki puri bersisi bahari atau sebuah kamar besar menghadap laut.

'Sahabat' saya ramai dan ramai juga di kalangan mereka telah membuka mata yang benar untuk saya melihat ombak, pasir dan langit yang bersatu laut. Malah jauh lebih bermakna dari itu biarpun dia tidak memiliki apa-apa tetapi telah berjaya membuatkan saya mengenal makna syukur.

Terima kasih bukanlah bandingan yang cukup untuk menggambarkan perasaan kagum dan hormat kepada kawan yang telah kita tabalkan dia ke takhta 'sahabat'. Tetapi, itu sahajalah yang mampu saya katakan kepada mereka yang berasakan mereka 'sahabat' saya.

Terima kasih Zulhussin mengenalkan saya kepada dunia sebesar ini!

Tuesday, April 06, 2004

Tidak ... saya tidak percaya, bila kawan saya katakan dia mengharapkan ibu-bapanya cepat meninggal dunia! Berjurus-jurus saya terfikir kemudiannya - apakah sudah pupus sikap 'pemaaf' seorang anak? Ataukah dendam apakah yang telah membusut atau melangit dalam dada mereka sampai begitu hati mereka tergamak berharapan sedemikian.

Mengapa jadi begini? Bukan calang-calang kawan saya itu. Mereka terpelajar dan berjaya dalam hidup. Mereka ada nama dan reputasi mereka baik sebelum ini. Saya hanya mampu beristighfar dalam-dalam. Mungkin juga inilah petanda ... kita sedang menuju satu tingkat hidup yang agak sukar untuk dinamakan. Entahlah!

Saturday, April 03, 2004

Silakan bertamu ke Gapura Fikir anabalqis

"keberanian itu bukan kerana kita telah berjaya membunuh berjuta lasykar musuh. Keberanian adalah keputusan yang dibuat pada waktu yang tepat."

Saya selalu mendengar orang berkata-kata, tetapi itu tidak bermakna saya mendengar kata orang. Saya juga gemar membaca tetapi itu pun tidak bererti saya menerima apa sahaja yang saya baca. Saya kira, ramai di kalangan kita seperti saya. Kita suka mendengar kerana kebetulan kita miliki 'kesempurnaan' anugerah-Nya. Kita suka membaca mungkin disebabkan kita telah diajar mengenal huruf.

Sesudah dewasa ini, pernah saya tanyakan kepada beberapa kawan dan remaja, adakah mereka pernah berkelakuan seperti saya? Jawapan mereka, pernah. Saya tanyakan lagi, apakah yang mereka rasa pada ketika terkial-kial mengayuh basikal dari pelana? Mereka menjawab sebab kaki tKetika masih kecil, saya selalu berangan untuk cepat dewasa. Selalu saya pakai selipar kakak, abang atau kawan-kawan emak yang datang bertandang ke rumah kami. Pada masa itu, dalam fikiran saya - bilakah saya akan besar seperti mereka. Selalu saya undurkan kaki ke belakang selipar dan harapkan tiba-tiba kaki saya akan muat selipar itu. Tetapi, 'keajaiban' itu tidak pernah pernah berlaku!

ak sampai tetapi ingin mengayuhnya dari pelana.

Telah pergi kenangan itu bermiliar hari dari laluan kita. Kesimpulan dari persoalan kecil yang saya kemukakan itu amat mudah - kita jarang menjawab dengan jujur atau mungkin juga tidak pernah cuba untuk menggambarkan perasaan dengan jelas. Padahal, dari kejujuran itulah kita mengenal kekuatan dalaman diri. Sama ada kita percaya atau tidak, setuju atau tidak dengan apa yang saya jadikan mukadimah kecil ini, terserah pada akal fikir masing-masing. Tetapi, hasil kajian kecil saya itu; itulah kita.

Jadi pada saya, sebelum melangkah ke altar yang lebih lebar dan penuh cabaran; masa & takdir - wajar kita kenali terlebih dulu kaki sendiri. Itu juga yang disaran oleh-Nya dalam firman yang bermaksud, pertama mengenal Aku adalah kenalilah diri kamu. Bukankah itu bukti nyata yang tidak tersangkal?

Usah menari di lantai yang tidak rata nanti gerak dan rentak tidak sekata. Begitu iktibar yang dapat dikutip dari lidah moyang kita nan bijaksana. Apa yang bakal kita tinggalkan kepada anak cucu? Adakah kata-kata kita yang bakal diingat atau bisakan mereka membaca sepatah selidah dari bicara kita yang bermakna untuk dikenang atau dijadikan pedoman?

perempuan tanpa muka ii Dia cuba bangkit dalam payah. Ya, aku cuma melihat. Cuma. Aku tidak menghulurkan tangan. Tidak juga bersimpat...