Wednesday, May 25, 2011

RASA


bila diam angin pun kiam. Seperti mati, kataku. Katamu, itulah rindu. Pabila dua jiwa ditakdirkan berjalan mencari noktah abadi. Biarpun dipisahkan jarak sebenua, rasanya tetap mengalir. Rasa yang sama. - rindu pada-Mu, Rabbi.

Terima kasih Allahku, menghantar pesan-pesan sebegini. Terima kasih tuanhamba menjadi insan penyampai pesan. Mudahan Allah selalu merahmatimu. Selalu. Dunia sini dan dunia sana.

pj - 25 mei 2011


Monday, May 23, 2011

MELIHATMU

melalui blogmu. Membaca entri-entri lama mendekatkan aku pada mata akalmu. Pada caramu. Membaca entri-entri barumu, membawa aku ke harapan. Cita dan impi. Mudahan Allah beri yang terbaik untukmu, kasih. Amin.


Thursday, May 19, 2011

SESUDAH KAU

... serasa-rasanya tak lagi mampu kutari nafas
barangkali para malaikat ikut berduka
melihatku dan kesal
Tuhan ... ampuni aku tewas pada rindu manusia ini!

petaling jaya - mei 2011

Wednesday, May 18, 2011

KAU

... depani hari dan aku
meletakkanmu dalam pinta selepas sujudku.

pun, aku bimbang
pada keberangkatan waktu
kalau suatu detik
kita hilang di dalam rasa.

petaling jaya - mei 2011.



Tuesday, May 17, 2011

MENANTI KAU BERSUARA

hati dibadai seru
mata disepuh nanti meski tiada tanda.

pj - um
16/05/2011

Monday, May 16, 2011

KENAPA

"... tak call dia?"
"Dia tak ada fon."
"Kenapa tak tulis surat?"
"Dia tak reti baca"
"Kenapa tak datang kepadanya?"
"Dia seekor rerama yang selalu terbang berkeliling. Tidak mampu aku."
Kawan itu memandangku sambil menggeleng.
"Nampak diapun sudah cukup bagiku."
"Gila!" Balas temanku. Aku merenung ke luar jendela. Seekor rama-rama biru terbang menjauh. Pergilah jika itu mahumu.

Saturday, May 14, 2011

BAYANG


menyusup ke dasar jauh
memenjara aku dalam ingat tiada hingga

Tuhan, hilangkan bayang itu
aku mohon ...


Petaling Jaya - 14 Mei 2011.

Thursday, May 12, 2011

ANDAI

tak lagi kubisik bahasa ingat ke pelipismu
tahulah dikau
telah menyatu roh kita
karena setiap hela nafasku
menginginkan cinta yang tiada mati
malah tiada wujud.

Astaghfirullah ...


PJ - UM
tengah mei 2011

Wednesday, May 11, 2011

INGAT



yang sekuntum bertaktha
membiru di penjuru hatiku yang malu
tika mencari juzukmu.

PJ - DBP
11/05/2011


Monday, May 09, 2011

Sunday, May 08, 2011

BILA

kau diam, akupun malu. Akupun resah. Akupun berfikir, tugaskah yang memancung ingatmu padaku hingga sepi menyerkup ke petala alam. Atau barangkali, kau sedang berperang dengan tindak akal yang garing, yang marak, yang porak?

Jika kau kesal, maafkan waktumu. Maafkan aku. Aku selalu membisikkan ingat padamu. Selalu kupesan pada deru. Pada siang. Pada malam. Pada laut dan darat. Pada air dan api. Pada sunyi yang bergabung dengan sepi. Pun, percayalah, aku selalu menghargaimu, waktumu dan segala yang kauperbuat. Aku selalu mendoakan yang terbaik buatmu. Amin.

Dan, jika kau rasakan kita jauh, dekatilah. Sama-sama kita warnakan bulan dengan hijau atau ungu. Biru atau merah jambu. Kita saluti matahari dengan salju atau selimutinya dengan sutera dewangga. Agar harum seisi alam.

Berkaryakah aku? Tidak, aku sedang bicara denganmu kerana pabila bicara padamu, hatiku berbunga dan wangi. Jantungku berdetak indah. Langkahku tanpa layu dan aku kira itulah rindu. Asyik. Nikmat. Dan, menyedarkan kewujudanku. Terima kasih, Tuhan.



Thursday, May 05, 2011

KAU & AKU

KITA berlainan tetapi miliki satu rasa. Kasih. Aku tidak tahu rupa kasih itu dalam hatimu pun aku cukup maklum rona hatiku. Selalu aku basahkan lidah mengucap kata syukur bilamana Dia temukan kita. Dadaku tidak nyaman dari renik debar. Tidak diam dari getar rindu. Tidak luntur dari ingin mendengar suaramu. Melihat matamu. Memandang ke rautmu. Karena aku sedar aku sedang jatuh kasih, padamu.

Sungguh, aku rasa hati sedang berbunga.

Tuesday, May 03, 2011

SITI ZUBAIDAH


Zahari menelefon, aku tidak sempat menjawab. Aku membalas pesanan ringkas dan bertanya. Dia mempelawa menonton muzikal arahannya di dewan mewah milik Petronas di KLCC. Sabtu malam April 30, aku dan Sariah bertren ke KLCC. Tak suka jem. Tak mahu berkejar dengan maghrib.

Lucu juga, bila sudah lama tidak ke teater. Lupa sudah tidak boleh ber'jeans'. Pengalaman indah diminta tukar pakaian (bawah). Aku dan Sariah bergegas ke tempat persalinan dan pertama kali pakai kain belah. Nasib baik ada selendang panjang dan aku melindinginya dengan selendang. Janggal sungguh rasa di hati bila melangkah dan betis pun menyerlahkan wajah. Nasib baik, aku dan Sariah masuk paling akhir dan penonton lain sudah mengambil tempat. Duduk paling belakang. jadi tiadalah sesiapa melihat perihal kain belahku. Zahari di bangku belakang memberitahu, sengaja menjemputku untuk mendapat pandanganku tentang muzikal arahannya.

Terbaik. Itu pendapatku jujur. Bukan kerana masuk tanpa bayar tetapi memang kali ini aku benar-benar puas menonton walaupun tidak dapat luangkan masa dengan kasih yang tiba-tiba menghantar pesanan ringkas mahu bincangkan sesuatu.

Lakonan, fantastik. Muzik orkestra langsung yang bagus, vokal pelakon yang mantap malah nyanyian mereka juga baik. Busana, mewah. Warna-warna yang dipilih sesuai dengan persembahan dan lampu yang dikendalikan oleh Tomo (kawan lama semasa di ASK) juga membantu pembentukan mood persembahan. Gerak-gerak yang dipilih dan miss-en-scene MSZ menakluk pandangan.

Ceritanya jelas dan dialognya ekonomis malah tidak membazir. Ketika itu tiba-tiba teringat opera yang terkenal di Perancis sejak berabad lalu. Serasa-rasa aku sedang menonton opera di kota Paris. Begitulah anggapanku seketika. Persembahan berakhir dengan pengakhiran bahagia. Kisah isteri muda Siti Zubaidah yang berkorban kepada suami tercinta, Zainal Abidin. Seperti kebiasaan dalam kisah-kisah epik, penyamaran dan pengembaraan dan tuntut bela menjadi salah satu 'step' cerita.

Apapun terbaik dan tabik untuk sahabatku Zahari. Ketika melangkah ke tren di stesen KLCC, telefon berdecit lagi. Pesanan ringkas daripada kasih, minum malam kami ditangguhkan. Sariah menunjukkan ibu jarinya ke atas. Aku senyum dan membalas 'sms'. Ok, nite my dear.

perempuan tanpa muka ii Dia cuba bangkit dalam payah. Ya, aku cuma melihat. Cuma. Aku tidak menghulurkan tangan. Tidak juga bersimpat...