Friday, March 18, 2011

PULANG iv

RABU petang, sahabatku bertolak balik ke KB. Pulang untuk menginsafi kepergian paduka ayah yang ke 40, bilangnya padaku. Biar ibu tiriku tidak memberitahu apa-apa tentang tahlil, mungkin juga disebabkan beberapa kali panggilannya tak kujawab, katanya. Aku pulang untuk ayahku. Untuk menginsafi sebuah kematian untuk kehidupan.
Seperti biasa, dia memandu sendirian. Aku berpesan padanya supaya memandu dengan takbir dan dalam keadaan wuduk. Jika berlaku kemalangan dan kita meninggal, kita berharap mendapat pahala jihad (sepatutnya aku tidak usah berpesan kerana dia lebih baik daripadaku). Dia senyum, Begitulah selalunya dia. Senyum. Dia ajak aku balik, aku katakan berat hati. Biarlah dari tempat ini aku menginsafi diri. Akan kubacalah mengikut kadar mampuku dan kusedekahkan kepada paduka ayah. Dan, semalam alhamdulillah sempat kusedekahkan mengikut kadar sendiri. Bertahlil untuk ayah selepas Isyak. Sebenarnya - untuk menyedarkan diri tentang kubur yang telah ditamui ayah, tok nenek dan penasab-penasabku terdahulu hingga Junjungan hingga Adam.

Selamat beristirahat ayah. Kita bertemu di Mahsyar. Amin.

Thursday, March 17, 2011

PULANG iii

Begitu kisahnya mirip dengan kisahku. Kawanku itu bercerita tanpa setitik air mata. Itu sahaja yang membezakan kami. Dan, aku yakin kisah itu berlaku di mana-mana. Bukan pada kawanku, kawan kita atau aku tetapi kepada sesiapa sahaja. Tempat dan namatempat cuma satu kebetulan.

Itulah Islam, kan?

Thursday, March 10, 2011

PULANG ii

Wajah ayah kali akhir, aku melihatnya dalam ingatan semasa menjaga ayah ketika pulang bercuti Hari Raya Cina. Meski tak mampu kudengar suaranya tetapi aku telah bercakap kepadanya. Aku bercerita. Aku memberitahunya tentang hari, tentang waktu dan tentang semua yang aku ingin cerita. Aku yakin ayah mendengar walau ayah tidak membalas. Namun aku rasa lega, dapat bercakap dengannya. Sebenarnya terlalu sedikit yang mampu kuungkap. Justeru air mata yang mendahului. Belas melihat keadaan ayah. Semasa hidupnya aku tidak tahu, bahagiakah ayah. Dukakah ayah. Sedihkah ayah justeru kami terlalu lama dipisahkan takdir. Dan, aku terlupa menjenguk ke dalam hatinya. Ke dalam rasanya.

Barangkali kerana kejauhan atau mungkin kesal. Lalu aku tidak mendengar keluhnya. Tidak melihat ke dalam rasanya. Maafkan aku ayah. Maafkan. Akhirnya aku sedar, kesalku bukan pada ayah tetapi kepada orang lain. Lebih kesal lagi pabila mereka halang aku dari melihat ayah kali akhir. Memandang wajah ayah kali penghabisan. Aku katakan kepada emakku, aku pulang ke kampung pagi itu hanya untuk melihat ayah, bukan melihat rumah yang ditinggalkan, saudara mara yang bergelindingan dalam rupa sedih, atau tanah kubur. Aku pulang untuk ayah. Jadi mengapa aku harus singgah di mana-mana tahlil atau kenduri arwah yang dibuat?

Aku boleh hadiahkan zikir atau bacaan ayat suci untuk ayah di mana-mana tetapi apa alasan mereka menghalang aku melihat ayah pagi itu? Apakah aku masih bisa pulang dan membuka pintu kubur jika aku ingin menatap wajahnya pada hari raya? Hari-hari aku pulang kampung atau ketika-ketika aku ingat? Bolehkah? Tidak berakalkah mereka? Tidak berinsankah mereka? Hari masih pagi. Jam 1030 masih jauh dengan waktu Jumaat, tetapi mereka telah membawa ayah ke lahad sedang aku berada kira-kira 30 km dari perkuburan itu. Bukankah itu satu kezaliman rasa? Apakah mereka mahu katakan takdir aku tidak dapat bertemu ayah? Tuhan telah tetapkan?

Mereka? Mereka itu adalah saudara maraku termasuk isteri gemulah ayah dan adik-adikku sebelah ayah dan abang-abang kandungku. Cuma seorang abang dan kakak iparku berusaha menahan mereka membawa jenazah ke kubur tetapi permintaan mereka disingkirkan. KL-KB memandu sendirian dimulai dari jam 2:00am menuju tanah lahir tanpa rehat kecuali bersubuh di Merapuh adalah pejuangan. Walau kutahu Allah melihat tetapi aku kesal. Mereka masih mampu melakukan kezaliman.

Aku tidak singgah di kubur kerana seperti kukatakan kepada emak dalam kereta, perjalanan KL-KBku bukan untuk melihat tanah kubur. Aku, emak dan ayah tiriku tidak singgah di rumah gemulah ayah. Kami pulang ke PP. Kebalikannya, kami bertiga dikutuk. Konon saudara mara ramai. MasyaAllah. Dan, sejak itu aku sedar, aku telah dinafikan hak sebagai anak kepada ayahku oleh mereka. Lalu, untuk apa lagi aku berhubungan dengan mereka. Dan, andaian paling senang; jika salah seorang daripada anak gemulah ayah dengan isterinya itu tiada, apakah dia akan kebumikan ayah? Aku yakin dan sangat yakin, tidak. Tetapi, kerana aku anak dari isteri terdahulu dan jenazah ayah terlantar di rumah mereka maka inilah natijahnya.

Jadi, sekarang apa yang aku buat adalah takdir. Begitulah, aku juga boleh dan mahu sandarkan kepada takdir sebagaimana mereka mengatakan takdir sudah menentukan aku tidak dapat bertemu ayah kali akhir. Aku tidak akan malah telah tidak menyambut panggilan telefon daripada talian gemulah ayah yang kini digunakan oleh siapa (aku tidak tahu) juga sebagai takdir. Mudah, kan?

Ayah, saya tidak pernah menyalahkan ayah dalam hal ini. Telah saya pohon ampun dan maaf segala salah saya pada ayah dan saya harap ayah maafkan saya, ampunkan kelantangan pinta atau suara saya selama ini. Dan, telah juga saya maafkan segala kealpaan ayah. Semuanya tanpa mimpat. Tanpa kecuali kerana saya sedar dan yakin, apa-apa yang berlaku itu bukan dengan kehendak ayah. Saya yakin ayah telah dikongkong sekian waktu.

Tuhan, terimalah segala kebaikan ayah, pengorbanan ayah dan ampunilah dosa-dosa jika ayah lalai daripada sebarang tanggungjawab yang telah Kau amanahkan kepadanya. Janganlah Kau bangkitkan dia di Masyhar dalam keadaan bahu senget dan aku tidak mahu aku menjadi penyebab kepada senget itu. Ayah pernah berbuat baik kepada emaknya. Menjaga emaknya di saat-saat akhir hidup dan mengkebumikan tok dengan damai. Mudahan Kau tidak memungkiri janji-Mu pada manusia yang berbakti Allahku. Ya Allah, kurangkan sedih yang bertakung dalam dadaku. Tanpa bantu-Mu, tidak mungkin aku mampu kembali ke riangku. Amin.

Selamat beristirahat, paduka ayah. Tidak mereka benarkan saya menatap ayah kali akhir barangkali untuk memberikan saya ruang merindui ayah hingga saya mati dan kita bertemu di Masyhar. Rindu ini kudus, ayah.


Monday, February 21, 2011

PULANG





perjalananya panjang lebih dari biasa. Memandu malam sendirian. Aku pulang bukan untuk menatap saudara mara, adik abang atau rumah atau kubur. Aku mahu memandang ayahku kali terakhir. Tetapi, kenapa sekejam itu mereka. Mengapa ada dalam kalangan manusia yang lahir sedarah dengan darahku, senasab denganku itu lebih kejam dari Yahudi?

Kau fikir, Tuhan merestu perbuatan kalian kerana berjaya menghalang aku daripada menatap ayah kali akhir? Jangan datang meminta maaf padaku di sirat al-mustaqim. Kita jumpa di depan Tuhan. Biar Dia tunjukkan kepada kalian nikmat mengkhianati aku!


Monday, February 14, 2011

SUATU HARI BERNAMA UNGU

Mahu aku pilih suatu hari untuk kunamakan ungu. Biar, jika ada yang protes. Aku fikir protes itu hak kalian dan menamakan itu hakku. Biar aku dan ungu bersatu dalam kalimah tanpa kata. Dalam rindu tanpa resah. Dalam resah tanpa marah. Dalam marah tanpa dendam.

Biar mereka bilang aku insan tanpa tertib. Biar mereka kira aku insan tanpa segala. Aku hanya ingin menamakan hari itu ungu. Seperti aku mahu katakan begini; kasih, kaulah ungu itu. Mewarnakan hatiku yang kecil ini dengan ungu hingga rinduku tak bisa lagi berlari di padang rasaku.

Ungu, aku cinta ronamu. Biar dari dalamnya aku belajar menulis makna hidup. Biar dari indah warnamu aku belajar memahami pusaran nasib. Biar dari dalamnya kuingati jejak siapa yang tertinggal di halamanku.

Kata mereka ungu itu sayu yang terbujur kaku dalam sukma. Kataku, ungu itu aku.

Friday, February 11, 2011

SENYUM


SELALUnya aku senyum. Dalam apa keadaan pun, aku cuba tersenyum. Adakalanya rasa seperti pura-pura tetapi aku semat di hati, senyum itu sedekah. Tak mampu kuberi emas permata, cukuplah jika tersenyum. Begitu selalu fikirku. Bulan-bulan kebelakangan ini, tekanan agak membebankan hingga aku rasa begitu sukar tersenyum. Fitnah melanda bagaikan angin. Bertiup tanpa jeda. Seolah-olah manusia tidak punya pagar agama lagi. Dinding susila lagi. Jujur menjadi mainan. Kiblat adalah kemahuan yang jika dijelujur adalah nafsu.

Mengejar nama, pangkat dan harta hingga sanggup membelakangi nilai dan agama. Sanggup mengkhianati teman sendiri. Malah ada yang sudah sanggup ke tahap membunuhpun. Apakah ini tanda-tanda manusia sudah semakin sakit. Manusia sudah semakin tidak mahu mengutamakan Allah selain nafsu semata-mata? Mengapa hanya untuk sepampang nama yang tidak membawa kita ke mana itu manusia sanggup ketepikan nilai persahabatan? Kemuliaan hati dan kemurnian iman yang dituntut agama?

Duhai ... sedihnya menjadi manusia. Menjadi insan. Sudah tidak ramai orang mahu menjadi insan. Masing-masing mahu jadi manusia sahaja. Perempuan atau lelaki sama. Di rumah atau di tempat kerja. Di negeri sendiri atau di kota tempat mereka mencari rezeki atau ilmu. Kenapa semua ini berlaku? Apakah benar, sistem nilai sudah semakin runtuh sebagaimana yang termenifestasi melalui tindakan sebilangan besar mereka?

Tuhan, selamatkanlah ayahku.

Monday, January 17, 2011

TENTANG INGAT

Rakaman kenangan dan sebuah ingat. Menghadiri majlis perkahwinan di Universitas Malang, Indonesia, sekitar Mei 2010. Hampir setahun sudah berlalu. Dan, kenangan itu masih terasa baharu. Terima kasih Tuhan, memberikan ruang di hatiku mengingat tentang Malang.

Thursday, January 06, 2011

KENANGAN RINDU KEPADA SEORANG KASIH

...dan 'putu halba'. Puluhan tahun aku tidak sempat merasa putu halba kerana takdir hidup. Selalunya ubi kayu parut dikukus bersama manisan, halba dan dimakan bersama kelapa parut ini hanya ada pada musim hujan. Tetapi itulah, musim dan waktu telah memisahkan aku dari putu halba.

Suatu hari, kasihku bertanya. Apa yang hendak kumakan jika dia ke KL. Aku bilang putu halba. Dan, dia sampai di kota hidup ini sesudah jam bertukar hari. Aku menanti persis hamil anak pertama. Tuhan ... Kau takdirkan jauh ini untukku menalakan hidup dan kasihku datang dengan rindu berabad.

Suatu hari yang lain, aku ketemu kasihku di tanah lahir. Hari itu hujan. Ada orang menjual putu halba di tepi jalan. Dia katakan padaku, itu putu halba kesukaan awak, kan? Dia berhentikan kenderaan dan membelikan untukku. Hatiku luluh. Rupanya, masih dia ingat tentang aku walaupun kami sudah sekian waktu dipisahkan takdir. Barangkali dia juga parah mahu membuang ingat tentangku.

Kelmarin (02/01/2011), aku beli putu halba. Kutelan bersama deraian air yang gugur dari pengkalan rindu. Padanya seorang kasih yang telah pergi tetapi tidak pernah mati dari ingatku. Kerana jika ada cinta manusia, hanya dia yang aku cinta sebagai manusia.

Tuhan, alangkah peritnya menerima takdir-Mu. Keringkan air luka dari lubuk sukmaku. Mohon, ya Allah...

Wednesday, January 05, 2011

BERTEMU NIK AZIZ

TELAH KUABADIKAN nama dan juzuk sosok beliau di ingatan. Beliau datang melawat paduka ayahanda sekitar jam satu tiga puluh tengahari 02/01/2011. Menurutnya, beliau dari lapangan terbang, menunggu Al-Sultan Kelantan. Agak lewat lalu beliau datang ke HUSM, ke sisi paduka ayahandaku yang terlantar sejak 3/12/2010 sebelum kembali lagi ke lapangan terbang. Merdu mukanya. Syahdu renung mata tuanya. Aku beberapa kali menyeru nama ayah di telinga, dan beliau menegah, katanya biarkan ayah rehat. Beliau nampak sugul dan aku difahamkan beliau juga uzur. Datangnyapun bertongkat. Aku faham keakrabannya dengan ayah. Silaturahim tidak renggang meskipun mereka tidak seduduk sebangun.

Beliau beransur sesudah menghabiskan beberapa doa di sisi ayah. Aku renung mukanya. Aku lihat hamba di jiwanya. Perlahan suaranya, perlahan geraknya, anjur-anjur tapakannya. Dan, beliau mohon diri tengahari itu lalu menjenggah ke katil-katil pesakit lain di wad 8S dalam menuju pintu. Sepulangnya beliau, baharu kusedar, Tuhan mentakdirkan kami bertemu dalam keadaan bukan politik, bukan sensasi meskipun beliau tersohor serata alam. Tiada jurufoto (dan aku juga tidak mengambil foto biarpun dalam begku selalu ada kamera) yang mengelilingi kami, tiada wartawan mengikuti dan begitu rakyat beliau. Masih penjadi insan dalam lajuran nasab, beliau walau sibuk walau kelihatan uzur. Dan akupun bernekad; tidak jadi pemimpin politik kerana tahu aku tidak mampu laksanakan tugas sebegitu.

Tuhan, terima kasih menemukan kami dalam situasi terindah walau ketika itu ayah tidak perkenalkan siapa aku kepada Ayah Ziz.

Thursday, December 09, 2010

BENCI


PADA rindu. Rindu itu sakit. Pun membuang rindu ini juga sakit. Selalu aku berdoa, agar Tuhan membuang rasa ini dari sukma tetapi masih juga tidak hilang. Masih nyala bernyali. Aku berjalan cepat-cepat. Aku makan. Bercakap dan cuba menyibuk diri tetapi hakikatnya di hati paling dalam, paling jauh dan terhujung - rindu juga yang bergempar di situ.

Malah dialah yang datang dalam raup-raup kenangan. Aku akhirnya letak kau di depan mata dan hati walau pun kuujar ribuan benci.

Tuhan, berilah hamba kekuatan membuang rasa ini dengan kekuatan sedar. Tolonglah, hamba tidak mahu terus sesat. Mengikut jaluran resah yang panjang. Hamba mahu noktahkan rindu manusia ini. Hamba mahu jadi aku yang Kau sebelum langit menutup pintu taubat untukku!

Tuhan, terimalah hamba.

Wednesday, December 08, 2010

DOAKU AYAH ...

TIDAK pernah menulis tentang ayah. Tidak mahu menulis kerana tidak tahu perkataan apakah layak kupilih untuk menulis tentang paduka ayah. Aku kehilangan kata lalu aku diam dari mencoret. Balik dan melawat serta menjaga ayah membuatkan seluruh inderaku berkelana dan menjana titis kasih yang menitis. Tidak tahu kenapa mudah benar air itu mengalir. Tidak mampu kubisikkan ke telingannya; jika ada silapnya padaku sejak aku lahir, telah kumaafkan segala. Dan, aku memohon maaf di kupingnya perlahan-lahan waktu aku mahu melangkah meninggalkan beliau yang masih tidak sedar sejak Jumaat (4/12/2010).
Semalam, dalam perjalanan pulang ke kota hidup tahulah aku, kasih selalu ada dalam hati. Rindu berjuzuk dalam ingat. Walau sebesar mana berasa kesalan waktu lalu kami terkumpul di benak kenangan, pun sesudah melihat titis-titis mengalir di matamu, sejarah pedih terkambus oleh belas. Ayah, sekali lagi anakmu memohon restu kehidupan; maafkan daku.

Allahku, berilah yang terbaik untuk paduka ayah. Kasihani dan sayangilah beliau sebagaimana dia pernah memberi kasihnya padaku semasa aku masih bayi dan kecil. Amin. Amin. Amin.

perempuan tanpa muka ii Dia cuba bangkit dalam payah. Ya, aku cuma melihat. Cuma. Aku tidak menghulurkan tangan. Tidak juga bersimpat...